Share:
Share on Facebook
 Blog
Program KAR1SMA Warga Emas
Mei 28th, 2012 by Najib Razak
  1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan berkat kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di hari yang penuh bermakna ini sempena Program KAR1SMA Warga Emas.Program ini telah memberi saya peluang untuk berdampingan bersama tuan-tuan dan puan-puan warga emas yang diraikan. Saya gembira kerana berpeluang hadir di Rumah Sejahtera Seri Kembangan ini yang mana saya difahamkan telah ditubuhkan sejak tahun 1950an lagi. Rumah Sejahtera ini telah banyak berjasa dalam memberi penjagaan dan perlindungan kepada warga emas yang tidak berwaris.
  2. Tidak dapat dinafikan bahawa peranan dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh warga emas dalam usaha mengajar, mengasuh dan mendidik generasi muda tidak ternilai. Tanggungjawab kita sebagai individu kepada emak, bapak yang bergelar warga emas tidak boleh dikompromi. Generasi muda harus berterima kasih kepada warga emas yang semakin meningkat di negara ini.

Para hadirin sekalian,

  1. Bilangan warga emas di Malaysia atau mereka yang berumur lebih daripada 60 tahun adalah seramai 2.2 juta orang atau 7.7 peratus daripada 28.3 juta penduduk Malaysia. Bilangan ini akan meningkat sejajar dengan peningkatan taraf kesihatan penduduk, dan Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warga emas.
  2. Sehaluan dengan senario demografi ini, Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menggantikan Dasar Warga Tua Negara 1995 dengan Dasar Warga Emas Negara pada 5 Januari 2011. Penggubalan Dasar Warga Emas yang baharu ini adalah bukti komitmen Kerajaan dan sebagai persediaan negara menghadapi cabaranpenuaan masa kini dan yang mendatang bagi memastikan warga emas dapat terus hidup aktif dan bermaruah serta dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara secara inklusif. Seiring itu, Pelan Tindakan Warga Emas Negara turut digubal sebagai landasan kerjasama multisektoral ke arah usaha penambahbaikan sistem penyampaian demi kepentingan dan kesejahteraan warga emas.
  3. Berlandaskan kepada semangat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Kerajaan telah melancarkan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) pada bulan Ogos 2011 sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada kelompok rakyat, termasuk warga emas, tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran negara.
  4. Justeru, bagi meneruskan agenda kebajikan rakyat, Kerajaan turut memberikan bantuan kebajikan masyarakat kepada warga emas yang miskin. Ini terbukti di mana  KAR1SMA Warga Emas atau Bantuan Orang Tua merupakan skim bantuan kebajikan yang terbesar pada tahun 2011, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM478 juta bagi membantu sejumlah 135,217 orang warga emas di seluruh negara. Ini merupakan 35.3 peratus daripada keseluruhan bantuan kebajikan masyarakat berbanding dengan 28.4 peratus pada tahun 2010. Bagi tahun 2012, peruntukan kewangan sebanyak RM496 juta disediakan bagi memberi manfaat kepada 150,000 orang warga emas miskin.

Para hadirin sekalian,

  1. Kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas. Sehubungan itu, adalah menjadi obligasi sosial dan komitmen Kerajaan dalam menyediakan persekitaran kondusif sebagai tanda pengiktirafan bagi membolehkan warga emas kita menua secara aktif, produktif dan sihat.
  2. Bajet tahun 2012 turut membawa harapan kepada golongan warga emas di mana Kerajaan telah memberikan pelbagai insentif dan kemudahan untuk manfaat golongan warga emas khususnya. Antaranya, golongan warga emas dapat menikmati pengecualian caj pendaftaran pesakit luar (sebanyak RM1) di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia serta pergigian milik Kerajaan mulai 1 Januari 2012. Bukan setakat ini sahaja, malahan warga emas juga dikecualikan caj pendaftaran rawatan pakar (sebanyak RM5) dan pengurangan caj pesakit kelas 3 sebanyak 50 peratus dengan caj maksimum sebanyak RM250 bagi setiap kemasukan berkuat kuasa 1 Mei 2012.

Para hadirin sekalian,

  1. Warga emas merupakan golongan yang berpengalaman, berpengetahuan serta kaya dengan petua, kemahiran dan buah fikiran. Seperti kata pepatah, “orang tua lebih dulu makan garam”. Bagi mengiktiraf kepakaran dan pengalaman warga emas, Kerajaan juga telah meningkatkan umur persaraan dalam kalangan penjawat awam daripada umur 58 tahun kepada 60 tahun berkuat kuasa tahun 2012.
  2. Selain itu, bagi mengoptimumkan kepakaran golongan warga emas agar mereka terus menyumbang kepada ekonomi negara, Kerajaan telah meluluskan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja-Pekerja Separa Masa) dan diwartakan pada 1 Oktober 2010. Peraturan ini memberi jaminan kepada warga emas, orang kurang upaya serta wanita sebagai tenaga kerja untuk melindungi mereka dari segi terma-terma perburuhan sebagai pekerja separa masa.
  3. Agenda pembangunan dan kesejahteraan sosial negara pasti tidak akan lengkap tanpa penglibatan secara inklusif dan menyeluruh antara Kerajaan dengan masyarakat. Dalam hal ini, penjagaan golongan warga emas adalah tanggungjawab bersama. Sebagai tanda penghargaan dan bagi meringankan kos membiayai perbelanjaan penjagaan ibu bapa, Kerajaan memberikan pelepasan cukai sehingga RM5,000, yang meliputi bayaran rawatan perubatan, menghantar ibu bapa ke pusat jagaan harian, bayaran menggaji pembantu khusus untuk menjaga ibu bapa serta keperluan harian.
  4. Golongan warga emas juga diberi pelbagai keistimewaan bagi menggunakan pengangkutan awam. Sebagai contoh, mereka diberikan potongan harga antara 25 peratus hingga 50 peratus ke atas kos tambang meliputi ketiga-tiga mod pengangkutan darat, air dan udara. Antaranya, diskaun sebanyak 50 peratus ke atas tambang KTM Komuter, kereta api, Rapid KL dan Penang, tidak ketinggalan juga tambang kapal terbang Penerbangan Malaysia (MAS) bagi penerbangan dalam negara. Sebagai tambahan, mulai tahun 2012, potongan 50 peratus ini dipanjangkan kepada golongan warga emas yang menggunakan Monorel dan LRT.
  5. Kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan untuk memenuhi keperluan warga emas serta meringankan beban mereka dalam beberapa bidang termasuk kesihatan. Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana telah menyediakan perkhidmatan untuk warga emas di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara. Saya difahamkan bahawa sepanjang tahun 2011, jumlah kedatangan baru warga emas ke klinik kesihatan telah mencecah sebanyak 491,859 orang dan kedatangan ulangan adalah 1.4 juta lawatan.
  6. Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan bukan sahaja akan merawat warga emas yang hadir ke klinik kesihatan tetapi juga akan melawat kesemua 48 buah Pusat Jagaan Warga Emas di bawah naungan Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat. Anggota kesihatan akan melawat sebulan sekali untuk menjalankan saringan kesihatan dan melakukan tindakan susulan kepada warga-emas yang memerlukan rawatan atau jagaan lanjut.
  7. Kita sedia maklum bahawa lima penyakit utama yang dialami oleh warga emas adalah penyakit hipertensi, diabetes, masalah sendi, masalah mata dan paru-paru. Pemeriksaan oleh anggota kesihatan ini akan memberi ruang dan peluang yang lebih baik bagi warga emas menikmati kesihatan dengan lebih terpelihara.
  8. Dalam pada itu, warga emas juga memerlukan beberapa aktiviti untuk mengisi masa dan mendapat maklumat terkini. Untuk itu, pihak ASTRO sedang melengkapkan perkhidmatan satelit ASTRO percuma di setiap Pusat Jagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara. Dengan produk dan perkhidmatan 1Malaysia ini warga emas dapat memanfaatkan masa lapang mereka dengan mendapat informasi terkini, hiburan dan sukan melalui rancangan TV dan radio.

Para hadirin sekalian,

  1. Perubahan sosial yang melanda negara berikutan modernisasi dan globalisasi sentiasa mengugut nilai-nilai ketimuran yang menjadi asas pegangan kita. Justeru, hubungan antara generasi perlu dipupuk agar golongan muda sentiasa menghormati golongan warga emas. Pepatah Melayu juga menyebut bahawa “orang muda dikasihi, orang tua dihormati”, yang membawa maksud generasi yang lebih muda perlu sentiasa menghayati erti kehidupan warga emas dan sentiasa menghormati mereka. Justeru, bersempena Sambutan Hari Ibu pada bulan Mei dan Hari Bapa pada bulan Jun, saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu dan Bapa kepada warga emas yang telah banyak berjasa dalam melahir dan membesarkan generasi cemerlang yang diwarisi kita pada hari ini.
  2. Akhir kata, perjuangan murni oleh Kerajaan untuk menjamin kesejahteraan dan kebajikan golongan warga emas akan terus diberi penekanan agar golongan warga emas dapat menjalani kehidupan yang berdikari, berintegriti dan bermaruah sebagai sebahagian daripada anggota penting dalam keluarga, komuniti dan masyarakat.Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA merupakan satu penanda kepada komitmen dan kesungguhan Kerajaan dalam menyemarakkan semangat 1Malaysia.

Sekian.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

|
← Go back