Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Sambutan Maal Hijrah 1434H / 2012 | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Sambutan Maal Hijrah 1434H / 2012
November 14th, 2012 by Najib Razak

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim

Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Saudara dan saudari sekalian

  1. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya maka dapatlah kita menyambut  Maal Hijrah 1434H bersamaan 2012M pada tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat. Ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada kali ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.
  2. Syariat Islam secara fitrahnya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat dari kesatuan dan kepimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit. Kita telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah. Ia telah digarapkan dalam segenap perkara di dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya.
  3. Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan.Kita juga telah mengamalkan konsep kesederhanaan ini dan telah mengenengahkannya dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam dan luar negara. Baru-baru ini Kerajaan Malaysia bertindak sebagai pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Moro dan Kerajaan Filipina. Kita juga telah mengambil pendekatan serupa dalam isu keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, Barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan di Rakhine tanpa mengira latar belakang dan agama mereka.
  4. Berpegang dengan definisi hijrah yang memberi maksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik, kita telah mengislah dan menterjemahkan pendekatan hijrah dalam  program transformasi negara. Hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif. Baru-baru ini ulama terkemuka dunia iaitu Dr. Yusuf Al-Qaradawi telah memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia di atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Ghaza.
  5. Berhijrah adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan. Ianya adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa. Kita mestilah sentiasa berhijrah setiap masa bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat. Kita mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah. Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat dari-Nya.”
  6. Mengakhiri perutusan, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1434 kepada semua seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua berada dan raikanlah sambutan ini bersama rakan-rakan kita daripada pelbagai bangsa demi menjayakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”.

Wabillahit-Taufiik wal-Hidayah, wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh.

|
← Go back