Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama YAB Perdana Menteri | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama YAB Perdana Menteri
Mac 8th, 2012 by Najib Razak
PENDAHULUAN
1.         Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah SWT, atas limpah kurnia-Nya yang mengizinkan kita berhimpun di dalam Perhimpunan Khas pada pagi ini.
2.         Ucapan penghargaan dan terima kasih saya kepada semua penjawat awam yang hadir, kepada pihak CUEPACS kerana mengatur ruang dan kesempatan yang amat bermakna untuk saya berinteraksi dengan tuan-tuan dan puan-puan.
3.         Anggota perkhidmatan Awam merupakan Tiang Sri keramat Kerajaan. Sebaik mana pun dasar-dasar yang digubal kerajaan, betapa bermanfaat pun dasar-dasar yang digubal, ia tidak akan bermakna jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap. Peranan para Penjawat sebagai pelaksana dasar amatlah penting.
4.         Sejarah negara menyaksikan betapa pentingnya peranan para penjawat awam dalam setiap era sejarah negara. Ketika era awal kemerdekaan di mana kita masih bertatih mencari-cari formula terbaik untuk membangunkan negara, ketika era darurat ,era konfrontasi, era insurgensi, era Dasar Ekonomi Baru, era perindustrian, era teknologi maklumat, semasa krisis kewangan, kemelesetan ekonomi pendek dalam semua fasa sejarah negara kesemuanya mempunyai kesan sumbangan jasa dan khidmat bakti para penjawat awam. Daripada peringkat Malaya sebagai sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada peringkat hari ini Malaysia sebuah negara perindustrian yang warga negaranya berpendapatan sederhana tinggi. Penjawat Awam juga akan terus memainkan peranan dalam usaha kita menelusuri wawasan kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
5.         Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi Yang Bersandarkan Model Baru Ekonomi Dan Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMKe-10), Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar merupakan agenda utama negara yang diatur dengan begitu terancang, menuntut kefahaman, penghayatan dan kerjasama jitu dan usaha bersepadu pelbagai pihak, awam, swasta dan rakyat secara keseluruhannya.
6.         Bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan kita menuju matlamat tersebut, peranan yang amat penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya. Sudah tiba masanya kita bersama-sama mentransformasikan perkhidmatan awam supaya menjadi lebih cekap, responsif dan berani berubah. Transformasi yang berasaskan landasan yang telah digarap dan dinukilkan amat memerlukan dokongan padu penjawat awam.
SBPA
7.         Dalam hal ini, perlu diingatkan bahawa kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan isu-isu saraan yang dibangkitkan oleh penjawat awam. Atas keprihatinan ini, Kerajaan telah melaksanakan semakan semula atau pelarasan gaji anggota perkhidmatan awam secara berkalaSemakan gaji yang terakhir telah dilakukan pada tahun 2007 di mana penjawat awam telah diberikan kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus, dengan Kumpulan Sokongan menikmati kenaikan sebanyak 35 peratus dan Kumpulan Tertinggi 7.5 peratus.
8.         Maka, pada tahun 2012 ini, sebagaimana komitmen kerajaan, penjawat awam sekali lagi dipertimbangkan semakan semula atau pelarasan gaji atau satu bentuk sistem saraan yang baru bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
9.         Namun demikian, struktur saraan baru yang diperkenalkan pada 1 Januari 2012, telah mengundang keresahan, terkilan dan perasaan tidak puas hati di kalangan penjawat awam. Kerajaan yang ada hari ini merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini kerajaan yang prihatin, kerajaan ini kerajaan yang mendengar keluh-kesah rakyat, kita sebuah kerajaan yang mengenang jasa dan budi. Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam.
10.       Saya telah lama berkata bahawa era kerajaan tahu segala-galanya, era kerajaan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan telah lama berakhir. Maka sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi mereka, sebagai kerajaan yang mendengar keluh kesah para penjawat awam melalui wakil mereka CUEPACS maka kita telah ambil keputusan pada 12 Januari 2012 telah memutuskan supaya struktur saraan baru yang diperkenalkan dikaji semula.
11.       Berikutan keputusan tersebut, sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Ismail Adam, mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah ditubuhkan pada 15 Januari 2012 dengan dianggotai oleh 4 Orang Pegawai Kanan Jabatan Perkhidmatan Awam dan 3 Orang Pegawai Kanan Kementerian Kewangan serta 4 Orang Exco CUEPACS. Tempoh masa tiga (3) bulan diberikan kepada pasukan petugas ini untuk meneliti semua aduan dan maklum balas yang dikemukakan dan mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.
12.       Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut dan bagi memastikan semua pihak dapat mengemukakan aduan/ maklum balas, pasukan petugas telah membuka talian aduan selama satu bulan mulai 14 Januari 2012 hingga 15 Februari 2012.  Sebanyak 1,087 aduan/maklum balas telah diterima di samping beberapa memorandum. Sebanyak 23 kesatuan telah kemukakan cadangan dan sebanyak 8 kesatuan telah membentangkan cadangan seperti berikut;
i.          National Union Of The Teaching Profession Malaysia (NUTP);
ii.         Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS);
iii.        Polis Diraja Malaysia (PDRM);
iv.        Angkatan Tentera Malaysia (ATM);
v. Malaysian Medical Association (MMA);
vi.        Malaysian Dental Association (MDA);
vii.       Majlis Persatuan Akademik Malaysia; dan
viii.      Majlis Pendaftar IPTA.
13.       Pihak CUEPACS juga telah menyenaraikan 7 perkara untuk diteliti semula oleh kerajaan iaitu;
i.          Pemindahan Mata Gaji Yang Kurang Adil;
ii.         Kekananan Tidak Diberi Pengiktirafan;
iii.        Gaji Maksimum;
iv.        Gred Yang Kekal Dan Tiada Pergerakan;
v.         Kenaikan Gaji 7 – 13%;
vi         Penukaran Gelaran Jawatan; dan
vii.       Jurang Gaji Antara Kumpulan Pengurusan Tertinggi Dan Kumpulan Pelaksana.
14.       Kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk sama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu. Sungguhpun kita telah berjaya mengeluarkan negara daripada gelora ekonomi global ini, namun usaha perlu digandakan bagi memastikan tahun-tahun mendatang negara kita akan terus bebas dari belenggu ini. Ingatlah bahawa apa yang kita lakukan hari ini sudah tentu akan mempunyai kesan jangka panjangnya. Kerajaan tidak rela Malaysia menjadi sebuah tragedi kewangan seperti Negara Greece.
15.       Justeru, Kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan, perlu memikirkan langkah terbaik yang mana pada satu masa perlu mendahulukan kepentingan rakyat tetapi dalam masa yang sama faktor-faktor lain tidak boleh dikesampingkan terutamanya kelestarian kestabilan ekonomi negara atau dalam kata lainnya keupayaan kewangan Kerajaan.
16.       Untuk menjamin ekonomi negara tidak terkesan oleh senario ekonomi global yang tidak menentu ini, kerajaan perlu mengekalkan defisit fiskal negara di tahap 4.7%.
PENGUMUMAN
17.       Setelah meneliti cadangan CUEPACS dan implikasi kewangan yang terlibat, kerajaan memutuskan supaya:
Ø struktur saraan baru perkhidmatan awam atau SBPA yang diperkenalkan pada 1 Januari 2012, dibatalkan dan sistem saraan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia atau SSM yang ditambah baik;
Ø Penubuhan sebuah Suruhanjaya yang akan dianggotai oleh semua pihak berkepentingan yang bekerja melalui prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara. Sebarang cadangan yang disyorkan oleh Suruhanjaya Khas ini akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan Kerajaan.
Ø selaras dengan komitmen Kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2012 suka saya mengumumkan pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) Sistem Saraan Malaysia (SSM)mengikut peratusan bagi gred – gred seperti berikut:
(i)         Pelarasan gaji sebanyak 13% bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54.
(ii)        Pelarasan gaji sebanyak 9% untuk Gred Utama dan Gred Khas C, B serta A.
(iii)       Pelarasan gaji sebanyak 8 % untuk Turus III dan Turus II dan
(iv)       Pelarasan gaji sebanyak 7% untuk Turus I dan KSN;
Ø Struktur gaji Sistem Saraan Malaysia akan diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan di antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. Kadar Kenaikan Gaji Tahunan bagi JUSA dan ke atas ditetapkan kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.
Ø Kerajaan juga bersetuju kadar Bantuan Sara Hidup atau COLA bagi Kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250 sebulan, dan bagi Kawasan C, kadarnya dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150 sebulan.
Ø Kerajaan juga bersetuju Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkanpelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah Sistem Saraan Malaysia.
Ø Kepada para guru jangan gundah gulana. Kerajaan amat komited terhadap kebajikan dan prihatin terhadap kebimbangan tuan-tuan dan puan-puan. Di sini suka saya mengumumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip time-based Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012.
PENUTUP
18.       Saya berharap dengan keputusan ini, dapat meredakan ketidakpuasan hati yang wujud di kalangan penjawat awam di pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh Suruhanjaya yang saya umumkan sebentar tadi. Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar keputusan yang dibuat ini mudah-mudahan menjadi penyelesaian terbaik bagi manfaat dan maslahah seluruh penjawat awam.
19.       Akhir kata saya berharap agar penjawat awam dapat terus bersama-sama kerajaan bagi mencipta lebih banyak sejarah kejayaan dalam menuju masa depan Malaysia yang lebih baik untuk kita, keluarga dan anak-anak.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Terima kasih.

|
← Go back