MAJLIS PELANCARAN PROGRAM SKIM LATIHAN 1MALAYSIA | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM SKIM LATIHAN 1MALAYSIA
Jun 1st, 2011 by Najib Razak

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Petang dan Salam Satu Malaysia.

1.         Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) dan semua wakil GLC yang hadir pada hari ini.

2.         Bagi menjayakan aspirasi mentransformasikan Malaysia kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan modal insan adalah asas yang penting. Dalam usaha menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi, kita memerlukan sebilangan besar modal insan berkualiti dan bertaraf dunia iaitu mempunyai pengetahuan tinggi, memiliki pelbagai kemahiran dan sahsiah yang utuh.

3.         Pada tahun 2010, hanya 29% sahaja daripada pekerja di Malaysia terdiri daripada kalangan pekerja mahir berbanding 38% purata bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Oleh itu, untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, kita telah menetapkan sasaran 50% daripada pekerjaan pada tahun 2020 terdiri daripada pekerja mahir. Pelaburan melalui projek NKEA sahaja akan menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan baru dalam tempoh 10 tahun akan datang. Daripada jumlah ini, 1.3 juta atau 40% terdiri daripada  pekerja mahir berkelulusan ijazah.

4.         Justeru itu, para graduan kita perlu dilengkapkan dengan tahap kompetensi yang tinggi dalam bidang masing-masing dan juga kemahiran soft skills bagi meningkatkan keterampilan dan keyakinan diri sesuai dengan keperluan pasaran pekerjaan. Para lulusan kejuruteraan misalnya, bukan sahaja perlu tinggi kemahiran teknikalnya, malah harus juga tinggi kebolehan dalam berkomunikasi. Kajian dan maklumat yang diperoleh dalam forum-forum yang diadakan dengan pihak majikan dan persatuan industri menyatakan bahawa masalah kompetensi soft skills di kalangan graduan adalah faktor utama yang menjejaskan kebolehpasaran mereka.

5.         Kementerian Pengajian Tinggi telah menjalankan Tracer Study pada tahun 2010 dan mendapati lebih kurang 73,000 daripada 93,000 graduan Ijazah Sarjana Muda telah mendapat pekerjaan atau melanjutkan pengajian dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian. Manakala selebihnya, iaitu lebih kurang 20,000 graduan didapati masih menganggur dalam tempoh tersebut.

6.         Hakikatnya, graduan yang dapat memenuhi keperluan pasaran merupakan elemen penting dalam menentukan keupayaan Negara menarik pelaburan langsung asing dan memacu pertumbuhan sumber domestik yang baru. Justeru, Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi sedang melaksanakan langkah jangka panjang bagi meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan; antaranya, menjadikan graduate employability sebagai KPI setiap Naib Canselor universiti awam, mengadakan kurikulum keusahawanan, menjalankan program soft skills, dan melaksanakan program internship pelajar di syarikat awam dan swasta sebelum mereka graduat. Dialog berterusan antara universiti dengan industri diadakan dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti graduan. Pendekatan-pendekatan ini dijangka akan mengurangkan mismatch di antara penawaran dan permintaan.

7.         Kerajaan juga telah mengadakan program-program khas sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan berkenaan. Antaranya, program latihan telah dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Khazanah, dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi menyediakan peluang latihan kepada sejumlah 12,000 graduan. Ini bermakna, daripada sejumlah 20,000 graduan yang menganggur, seramai 8,000 orang tidak berpeluang menjalani latihan tambahan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

8.         Sebahagian mereka ini datangnya dari luar bandar dan pedalaman, dan juga daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah. Latar belakang ini mempengaruhi sifat dan keyakinan diri mereka dan telah menjejaskan keupayaan mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan melaksanakan sedikit last mile dalam bentuk finishing school, saya yakin mereka akan menjadi lebih berkeyakinan. Oleh itu, mereka ini akan dijadikan kumpulan sasaran bagi Program Skim Latihan 1Malaysia.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

9.         Pendekatan ini terbukti berkesan apabila pihak Bank Negara Malaysia melalui program latihan singkat yang diberikan kepada seramai 500 graduan telah membolehkan kesemua graduan tersebut mendapat pekerjaan yang bersesuaian. Mereka merupakan graduan cemerlang yang mencapai skor CGPA sekurang-kurangnya 3.0. Kebanyakan mereka ini datangnya daripada kalangan keluarga miskin dan dari kawasan pedalaman.

10.       Mereka pada awalnya sukar mendapat pekerjaan kerana kurang keyakinan diri. Setelah mereka menjalani latihan soft skills dan internship, mereka mendapat keyakinan diri sehingga terpilih untuk bekerja dalam syarikat-syarikat besar. Justeru itu, saya melihat program seumpama ini wajar diperluaskan dan dijadikan sebahagian daripada corporate sosial responsibility (CSR) syarikat GLC dan syarikat-syarikat besar. Program ini menyasarkan graduan yang tidak mendapat pekerjaan selepas 6 bulan menerima ijazah. Graduan yang telah bekerja tetapi pekerjaannya tidak setaraf dengan kelulusan (underemployed) juga layak dipertimbangkan.

11.       Struktur program latihan akan mengandungi 2 elemen iaitu soft skills dan on-the-job training. Tempoh latihan ialah selama 12 bulan dan mereka akan dibayar elaun sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan. Latihan soft skills mengandungi  communications, creative & analytical thinking, organisational adaptability dan grooming & etiquette. Setelah tamat program ini, peserta akan dibantu untuk mendapat pekerjaan. Saya yakin berdasarkan pengalaman Bank Negara Malaysia, dengan sedikit sentuhan daripada program ini, mereka akan mampu mendapat pekerjaan yang bersesuaian.

12.       Maka pada hari ini, saya amat gembira apabila GLC yang kita jemput untuk menyertai program ini telah menyatakan kesediaan untuk menyumbang CSR masing-masing. Buat permulaan, Bank Negara Malaysia bersama 25 GLC akan menyertai program ini yang akan melibatkan sejumlah 3,000 graduan. Terdapat beberapa GLC lain juga telah menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam fasa kedua. Bagi fasa kedua, kita menyasarkan 5,000 graduan lagi pada bulan September nanti. Di samping itu, syarikat-syarikat swasta juga akan dijemput menyertai program ini.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

13.       Selaras dengan semangat “1Malaysia”: “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, kita harus komited dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing demi menjayakan pelan transformasi negara. Dengan ini, saya menyeru supaya lebih banyak GLC dan pihak swasta untuk tampil ke hadapan bagi menjayakan program yang memberi manfaat kepada rakyat. Kepada GLC yang hadir pada hari ini, saya berharap agar jumlah peserta akan dapat ditingkatkan bagi memastikan lebih ramai graduan mendapat manfaat.

Akhir sekali, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya berbesar hati melancarkan Program Skim Latihan 1 Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

|
← Go back