Majlis Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Majlis Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera
November 26th, 2011 by Najib Razak

1.          Pertama-tamanya marilah kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan berkat dan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama di Majlis ini untuk meneruskan satu lagi program transformasi negara, iaitu pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

2.          Pada esok hari, kita akan meraikan Maal Hijrah, peristiwa bersejarah yang perlu kita jadikan iktibar di atas maknanya yang nyata dan yang tersirat. Hijrah membawa kita kepada satu kekuatan dan kemenangan. Ianya memerlukan perubahan dan pemindahan, pengorbanan dan keberanian berteraskan nilai murni, berpaksikan keadilan sosial, bertongkatkan prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian.

3.          Satu demi satu program transformasi sedang dilaksanakan oleh Kerajaan sepanjang lebih daripada dua setengah tahun lalu. Kerajaan akan terus memikul tanggungjawab yang telah dimandatkan oleh rakyat dalam memastikan kejayaan setiap program transformasi yang dilaksanakan, dengan melalui proses penilaian secara teliti dan objektif serta inklusif. Inilah penghijrahan kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

4.          Kita sedang berdepan dengan situasi sosioekonomi global yang kian mencabar di mana kita harus bersedia menghadapi segala kemungkinan dan mengambil langkah proaktif sewajarnya. Seperti yang kita sedia maklum, negara-negara Eropah dan Amerika sedang menghadapi kemelut ekonomi. Sekiranya krisis ekonomi dunia ini semakin meruncing, Malaysia juga tidak terlepas daripada terkena tempiasnya. Kita tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh malah perlu mencari jalan baru untuk terus mampan. Oleh kerana itulah, kita amat memerlukan program transformasi.

5.          Kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali jemu mengulangi tentang perlunya negara melakukan transformasi daripada pelbagai aspek, untuk memastikan negara kita bergerak seiring dengan arus perubahan semasa global. Ini termasuklah Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar, yang semuanya digubal berlandaskanprinsip 1Malaysia: “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

6.          Saya amat yakin bahawa kesemua transformasi yang kita usahakan bersama ini, akan juga mengangkat martabat Bumiputera dan negara ke tahap yang lebih tinggi bukan sahaja di rantau ini malah di persada antarabangsa. Transformasi ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang tahun 2020. Setiap satu program transformasi ini berhubung kait dan saling melengkapi. Semuanya adalah sama penting sebagai komponen untuk merealisasikan aspirasi negara menjelang tahun 2020 dan seterusnya.

7.          Hari ini, kita memperhebatkan lagi arus transformasi Bumiputera dengan memperkenalkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera. Hala Tuju ini merangkumi dimensi baru dasar dan strategi bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sedia ada dari segi tahap pendapatan dan pemilikan kekayaan. Matlamat khususnya ialah memastikan bahawa, apabila Malaysia mencapai Wawasan 2020, penyertaan Bumiputera dalam ekonomi lebih seimbang, terutamanya di dalam sektor pertumbuhan tinggi, pekerjaan berpendapatan tinggi, dan pemilikan syarikat besar. Pada intipatinya, Hala Tuju ini menggariskan dasar, strategi serta inisiatif khusus untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.

8.          Justeru, kita perlu sedar bahawa meskipun Hala Tuju Transformasi ini melibatkan Bumiputera secara langsung, manfaatnya akan dikecapi oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini adalah kerana Bumiputera merupakan sebahagian besar penduduk negara. Aspirasi untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai dengan penglibatan bersama Bumiputera.

9.          Ingin saya tekankan di sini bahawa Hala Tuju ini berbentuk dinamik dan akan terus diubahsuai dan dikemaskini dari semasa ke semasa untuk memastikan ianya kekal relevan dengan perubahan landskap sosioekonomi di dalam dan luar negara. Dalam erti kata lain, dokumen Hala Tuju ini ialah “living document”. Hala Tuju ini merupakan pelan tindakan yang mengandungi inisiatif-inisiatif kukuh termasuk Quick Wins yang akan mendatangkan impak dalam masa terdekat.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

10.       Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengimbas sejarah 40 tahun lalu apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan. Matlamat DEB merupakan serampang dua mata. Tujuan utamanya ialah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat bagi menghapuskan pengenalan etnik mengikut aktiviti ekonomi.

11.       Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera adalah berlandaskan kepada asas kejayaan kukuh yang telah diperolehi di bawah DEB. Sesungguhnya, banyak kejayaan telah dicapai. Kejayaan utama DEB adalah menghapuskan kemiskinan tegar. Sementara itu, kadar kemiskinan keseluruhan telah menurun daripada 49.3% pada tahun 1970 kepada 3.8 peratus pada tahun 2009, manakala bagi Bumiputera pula, peratus ini telah menurun daripada 64.8 peratus kepada 5.3 peratus. Dari segi purata pendapatan kasar isi rumah Bumiputera, DEB telah berjaya meningkatkan pendapatan kasar daripada RM172 pada tahun 1970 kepada RM3,624 pada tahun 2009, merupakan pertambahan 20 kali ganda.

12.       Kejayaan DEB juga telah menyaksikan penyertaan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat meningkat hampir 10 kali ganda. Daripada 2.4 peratus penyertaan pada 1970, ianya meningkat kepada 21.9 peratus pada 2008. Dari segi nilai, ianya melonjak daripada RM125 juta kepada RM127 bilion.

13.       Bilangan profesional Bumiputera yang berdaftar telah meningkat daripada 225 orang pada tahun 1970 kepada 51,306 pada tahun 2008, merupakan peningkatan sebanyak 228 kali ganda. Dengan pertambahan ini, peratusan profesional Bumiputera meningkat daripada 5 peratus kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan golongan profesional di seluruh negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

14.       Walaupun terdapat banyak kejayaan semenjak DEB dilaksanakan, namun masih terdapat ketidakseimbangan semasa, dari segi tahap pendapatan dan pemilikan aset ekonomi.    Penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi masih tidak berpadanan dengan peratusan bilangan penduduk Bumiputera dalam negara.   Sungguhpun isi rumah Bumiputera merupakan 65% keseluruhan isi rumah negara, sebahagian besar daripada mereka adalah di dalam kumpulan berpendapatan rendah. Pada masa yang sama, pegangan ekuiti korporat Bumiputera (pada nilai tara) syarikat berhad kekal pada 21.9% pada tahun 2008. Peratusan ini masih tidak mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti korporat yang ditetapkan. Oleh kerana itulah satu anjakan dan lonjakan besar perlu dilaksanakan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera secara menyeluruh.

15.       Komitmen Kerajaan untuk memperkasakan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara jelas terbukti dengan penubuhan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) pada Jun 2010. Sebagai badan tertinggi yang bertanggungjawab mengenai agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera, mandat MTAB ialah untuk mengkaji semula dan menggubal dasar serta strategi, di samping melaksanakan inisiatif baru, yang akan menjadi Game Changer dalam usaha menjayakan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera. Dengan pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera hari ini, saya yakin yang ianya menjadi titik permulaan kepada lonjakan ekonomi Negara amnya, dan kaum Bumiputera khususnya.

16.       Dalam merangka Hala Tuju transformasi ini, wakil-wakil dari sektor awam dan swasta, termasuk NGO, telah terlibat sama memberi pandangan yang amat bernilai. Di samping itu juga, TERAJU telah menganjurkan program Memacu Agenda Bumiputera untuk meneliti program sedia ada dan mengenal pasti cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh Organisasi Pembangunan Usahawan (EDO), Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), dan Organisasi Pembangunan Industri (IDO). Semua ini telah diambil kira dalam merangka Hala Tuju ini.

17.       Hasilnya, Hala tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera berlandaskan kepada enam prinsip; iaitu mesra pasaran, berasaskan keperluan, merit, ketelusan, pro-pertumbuhan, serta daya saing mampan. Prinsip mesra pasaran dan pro-pertumbuhan adalah penting kerana kita mahu usaha memperkasakan agenda Bumiputera seiring dengan arus pembangunan perdana negara, terutamanya dalam konteks Program Transformasi Ekonomi Negara dan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) yang sedang giat dilaksanakan. Prinsip merit dan daya saing mampan pula menjurus kepada usaha menyokong gagasan Bumiputera yang telah membuktikan kemampuan mereka untuk maju ke tahap yang lebih tinggi lagi.

18.       Pelancaran dokumen Hala Tuju ini mencerminkan iltizam Kerajaan dalam menyokong agenda pembangunan Bumiputera, selaras dengan pendekatan inklusif yang diamalkan oleh Kerajaan. Sehubungan ini, kumpulan isi rumah 40% terendah yang turut melibatkan bukan Bumiputera, akan terus diberi tumpuan berasaskan keperluan masing-masing, agar tiada pihak yang tercicir daripada menikmati manfaat kemakmuran ekonomi negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

PEMBAHARUAN INSTRUMEN DASAR DAN RASIONALISASI SISTEM PENYAMPAIAN

19.       Dalam melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera, tiga fokus strategik telah dikenalpasti. Yang pertamanya ialah pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian. Fokus strategik ini melibatkan kajian semula serta penambahbaikan instrumen dasar serta sistem penyampaian sedia ada untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya.

20.       Berikutan ini, beberapa langkah akan diambil untuk meningkatkan keberkesanan instrumen dan sistem penyampaian. Antaranya, program pembangunan perlu mengkhusus kepada sesebuah sektor tertentu memandangkan kebanyakan program latihan adalah umum dan generik. Program masa hadapan akan memastikan pertindihan dikurangkan dan, pada masa yang sama, dikhususkan pada sektor tertentu dan mengikut keperluan pasaran. Objektif masa hadapan akan memberi tumpuan kepada sektor berpertumbuhan tinggi dan mengurangkan fragmentasi pembiayaan.

21.       Salah satu inisiatif yang telah dikenalpasti di bawah bidang ini ialah mewujudkan One Stop Centre di peringkat Koridor atau Negeri. Pusat ini akan menyelaraskan semua program daripada pelbagai agensi, termasuk Organisasi Pembangunan Usahawan dan Institusi Kewangan Pembangunan, di satu lokasi di peringkat negeri atau wilayah.

22.       Dengan adanya One Stop Centre ini, usahawan tempatan boleh mendapat sokongan yang diperlukan tanpa perlu berkunjung ke setiap agensi berkenaan secara berasingan. Ini termasuklah sokongan untuk membangunkan kapasiti dan keupayaan, sokongan infrastruktur dan akses kepada pembiayaan. Justeru, saya amat berharap supaya para usahawan Bumiputera akan memanfaatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada One Stop Centre ini untuk mengembang dan memajukan lagi perniagaan masing-masing. Sukacita saya memaklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, One Stop Centre yang pertama iaitu di Wilayah Ekonomi Koridor Utara akan bersedia untuk memulakan perkhidmatan pada suku pertama tahun 2012.

 

PENGUKUHAN PENDIDIKAN DAN PEMBINAAN KEUPAYAAN BUMIPUTERA

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

23.       Fokus strategik yang kedua ialah pengukuhan pendidikan dan pembinaan keupayaan Bumiputera. Di sini, tiga perkara akan diberikan penekanan :

  • Memperbaiki kualiti pendidikan di kawasan yang berprestasi rendah, memandangkan kebanyakan kawasan yang berprestasi rendah adalah kawasan di mana majoriti penduduknya adalah Bumiputera;
  • Menambah pilihan bidang pendidikan bukan aliran utama dengan mentransformasikan beberapa sekolah terpilih, kepada sekolah-sekolah pakar yang mempunyai nilai strategik yang tinggi untuk memenuhi keperluan ekonomi Negara; dan
  • Menambah bidang pendidikan yang mempunyai permintaan yang tinggi, contohnya, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT). Ini akan juga dapat memberi peluang kedua kepada mereka yang sebelumnya tidak berkemampuan untuk meneruskan pelajaran, termasuk pelajar tercicir, untuk mendapatkan latihan.

24.         Salah satu inisiatif utama yang akan dilaksanakan di bawah strategi ini ialah penubuhan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang akan dilancarkan sebentar lagi. Yayasan ini adalah satu dana amanah pendidikan swasta yang bertujuan menggembleng dan memanfaatkan pembiayaan swasta untuk meningkatkan tahap pendidikan di kalangan Bumiputera.

25.         Yayasan ini mensasarkan pembiayaan seramai 12,000 pelajar dalam tempoh 5 tahun ini. Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada pembiayaan kursus latihan dan profesional bagi tenaga kerja Bumiputera untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman kerja. Peningkatan keupayaan sebegini adalah penting agar tenaga kerja Bumiputera dapat meningkatkan potensi pendapatan masing-masing, selaras dengan objektif negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

26.         Dalam hal ini, fokus akan diberikan kepada latihan dan pembangunan profesional dalam sektor yang menjanjikan landasan kerjaya yang berpendapatan dan berpotensi tinggi. Bidang pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi dan juga sukar ditembusi juga akan turut diberikan keutamaan, termasuk juga bidang pekerjaan yang berbentuk teknikal. Mereka yang perlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran dalam peringkat pasca sarjana seperti PhD akan juga diberi pertimbangan yang sewajarnya. Dengan ini, penggunaan dana ini akan bertindak sebagai tipping point untuk modal insan Bumiputera berkelayakan dan berpotensi untuk memperolehi masa depan yang lebih cerah.

27.         Sumber dana Yayasan ini termasuklah peruntukan endowment daripada Kerajaan sebanyak RM30 juta, sumbangan korporat dan individu. Yayasan ini telah mensasarkan dana berjumlah RM500 juta dalam jangkamasa 5 tahun. Sukacita saya maklumkan bahawa setakat hari ini, Yayasan telah mendapat pledge sebanyak RM 158 juta daripada 21 syarikat dan institusi serta peruntukan endowment. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang. Sokongan padu ini mencerminkan kesediaan pelbagai pihak untuk tampil ke hadapan menjayakan usaha murni ini. Semangat seperti inilah yang saya harap akan berterusan dalam usaha kita menjayakan semua program dan inisiatif di bawah Transformasi ini.

28.         Yayasan ini akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan. Sehubungan dengan ini, saya juga ingin menjemput dan mengalu-alukan pihak-pihak untuk turut tampil dan membantu ke arah bersama-sama menjayakan inisiatif ini.

 

PENUMPUAN KEPADA PEMEROLEHAN, PENCIPTAAN DAN PEMBANGUNAN PERNIAGAAN BERSKALA MENCUKUPI

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

29.       Syarikat PKS Bumiputera merupakan 25.4 peratus daripada anggaran 800 ribu syarikat berdaftar di negara ini. Walau bagaimanapun, majoriti syarikat Bumiputera adalah bersaiz kecil, dengan 65 peratus daripadanya cuma menjana pendapatan kurang daripada RM250,000 setahun. Perniagaan syarikat Bumiputera lebih kepada berskala kecil, contohnya 42 peratus mempunyai kurang daripada 5 pekerja manakala 21 peratus lagi menggaji 5 hingga 50 pekerja.

30.       Oleh itu, fokus strategik ketiga Hala Tuju ini adalah penumpuan kepada pemerolehan, pewujudan dan pembangunan perniagaan berskala besar. Antara langkah utama yang akan diambil ialah menggalakkan penyertaan syarikat melalui penggabungan dan pemerolehan. Di samping itu, pelupusan penglibatan GLCs yang merupakan bukan teras (non core) akan dapat mewujudkan peluang perniagaan kepada syarikat Bumiputera.

31.       Di antara konsep yang akan ditekankan di sini adalahmenggalakkan usahawan Bumiputera menjalin perkongsian dengan syarikat asing dan bukan Bumiputera bagi memperluaskan akses pasaran, memperolehi teknologi baru dan mendapat akses modal untuk tujuan pembangunan.

32.       Selain dari itu, kita juga akan mewujudkan ekosistem ekonomi Bumiputera yang lebih meluas di mana syarikat Bumiputera berskala besar akan dapat membantu penyertaan syarikat Bumiputera yang lain dengan membangunkan lebih banyak vendor Bumiputera.

33.       Sebagai contoh, baru-baru ini saya mengumumkan pengagihan 43 peratus daripada keselurahan nilai projek MyMRT kepada Bumiputera. Projek ini merupakan antara projek terbesar dalam negara dan boleh digunakan sebagai pemangkin kepada peningkatan penyertaan Bumiputera dalam setiap peringkat rantaian nilai berkenaan.

34.       Sehubungan dengan ini juga, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa satu Unit Bumiputera telah ditubuhkan di bawah MRT Corporation yang merupakan pemilik projek dan sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan. Unit ini dengan kerjasama TERAJU akan menguruskan proses pemilihan, pengagihan dan pembangunan keupayaan Bumiputera dalam projek MyMRT.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

35.       Bagi memastikan pemilikan ekuiti korporat syarikat Bumiputera dapat dikekalkan secara mampan dalam jangka masa yang lebih panjang, pelaburan melalui institusi akan diberi penekanan. Ini termasuklah inisiatif untuk melabur dalam syarikat berprestasi tinggi samada di dalam atau di luar negara oleh institusi-institusi Bumiputera. Kaedah ini akan dilaksanakan oleh beberapa institusi pelaburan Bumiputera yang telah ditubuhkan, seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (LTH), dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS). Institusi-institusi ini akan menggembleng dana dan aset Bumiputera bagi tujuan memastikan pemilikan secara kekal dan berterusan dalam syarikat besar.

36.       Kita berbangga dengan kemampuan institusi ini dalam menguruskan tabung yang besar, contohnya, lebih daripada RM120 bilion aset kewangan (unit amanah dan dana terurus) telah dikumpulkan melalui institusi pelaburan Bumiputera, seperti PNB dan LTH. Aset ini telah menunjukkan pertumbuhan ketara. Dana PNB terus meningkat daripada sekitar RM30 bilion pada tahun 1999 kepada sekitar RM150 bilion pada awal tahun 2010, yang merupakan 15% daripada modal pasaran keseluruhan.

37.       Penglibatan institusi-institusi ini dapat menyediakan kesan limpahan positif terutamanya dari segi peluang perniagaan kepada syarikat Bumiputera yang lain serta memperkasakan peluang tenaga kerja Bumiputera dalam pengurusan tertinggi syarikat.

 

SYARIKAT BUMIPUTERA BERPRESTASI TINGGI (TERAS)

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

38.       Program syarikat Bumiputera berprestasi tinggi atau TeraS telah dilancarkan pada 20 Julai 2011. Objektif TeraS adalah untuk mengenal pasti syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi dan membantu syarikat ini mencapai peningkatan perniagaan dengan memberi peluang perniagaan berasaskan merit. Di bawah program ini,  1,100 syarikat Bumiputera akan dibantu untuk mengembangkan perniagaan di peringkat serantau. Syarikat yang besar dalam TeraS juga akan memainkan peranan sebagai syarikat induk dalam menyokong pertumbuhan perniagaan syarikat TeraS lain.

39.       Istimewanya program TeraS ini ialah, melalui pembaharuan instrumen dasar, syarikat TeraS akan mendapat akses kepada peluang perniagaan baru, pembiayaan, guna tenaga berbakat dan perkhidmatan nasihat perniagaan. Ini termasuk perolehan Kerajaan di mana Kementerian Kewangan dan Kementerian yang lain akan mengenal pasti peluang yang khusus dari projek yang tersedia. Syarikat TeraS akan diberi keutamaan untuk membuat bidaan, dengan syarat syarikat berkenaan mengemukakan bidaan yang berdaya saing.

40.       TERAJU mensasarkan sekurang-kurang 100 syarikat TeraS akan dipilih dalam tempoh tiga bulan ini. Pelantikan syarikat berprestasi tinggi ini juga akan diumumkan dari semasa ke semasa. Sukacita saya maklumkan bahawa pada hari ini kita akan mengumumkan kumpulan pertama syarikat TeraS sebanyak 30 syarikat. Kumpulan pertama ini yang mempunyai seramai 3,350 orang pekerja, telah menjana RM900 juta perolehan pada tahun 2010.

41.       Kerajaan juga akan mewujudkan peluang melalui Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melalui penyumberan luar fungsi perniagaan dan perkhidmatan serta pemerolehan aset GLC yang dilupuskan, kepada syarikat TeraS.

42.       Bagi mencapai objektif yang ditetapkan di dalam Hala Tuju, adalah amat penting bagi kita fahami bagaimana caranya untuk sampai ke destinasi tersebut. Sepertimana yang telah didokumenkan dalam RMK10, secara terperincinya, sektor terpilih yang berpotensi bagi penyertaan Bumiputera termasuklah teknologi ‘oil recovery’ dalam sektor minyak dan gas, industri pembinaan, industri halal, kewangan Islam, pelancongan dan hospitaliti serta industri tenaga. Sektor-sektor tersebut adalah sektor yang mempunyai peluang besar dan amat lumayan bagi usahawan Bumiputera. Tidak rugi sekiranya tuan-tuan dan puan-puan menjenguk ke dalam peluang-peluang yang saya sebutkan tadi.

43.         Saya juga ingin menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan baru. Ini termasuk penyertaan dalam sektor kesejahteraan kesihatan, pendidikan swasta, teknologi hijau, sektor kreatif dan media. Sebagai contoh, potensi menukar buangan sisa biomassa hijau kepada bionutrien dalam biokimia untuk pasaran Malaysia dan global. Kerajaan juga mensasarkan peningkatan penyertaan Bumiputera yang lebih tinggi dalam sektor pertumbuhan tinggi. Sebagai contoh, penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih (MRO) dalam industri Aero Angkasa di mana nilai global industri ini yang merangkumi perbelanjaan sivil dan ketenteraan, dianggarkan bernilai RM28 bilion pada tahun 2010. Matlamat kita ialah untuk membolehkan syarikat Bumiputera menjadi antara yang terbesar di dunia dalam bidang ini.

 

PROGRAM INSENTIF BERBENTUK EKUITI (SWEAT EQUITY)

44.       Selain itu, program pemberian insentif berbentuk ekuiti (Sweat Equity) yang melibatkan individu Bumiputera yang berkebolehan dan berkepakaran akan dilaksanakan. Saya yakin langkah ini akan memastikan syarikat tersebut akan terus diterajui dengan baik, dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pemilikan ekuiti Bumiputera secara langsung.

45.       Salah satu contoh kolaborasi ke arah ini telah termeterai antara TERAJU, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Johor Corporation. Ini termasuk kerjasama dalam usaha mempertingkatkan pemilikan ekuiti dan membangunkan usahawan korporat Bumiputera. Saya berharap kolaborasi sebegini akan menjadi contoh dan membuka jalan di kalangan Syarikat Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan serta agensi lain untuk menjalin kerjasama.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

46.       Di antara komponen penting yang akan distrukturkan oleh TERAJU dalam usaha mentransformasikan ekonomi Bumiputera ialah program untuk menangani keperluan modal insan berkualiti di dalam sesuatu industri. Ini bakal distrukturkan dengan memastikan aliran bakat Bumiputera yang mencukupi untuk memenuhi keperluan syarikat Bumiputera yang berkembang, terutamanya pada tahap pakar dan pengurusan bagi jangka masa panjang.

47.       Bagi mencapai objektif tersebut, perlulah kita menyesuaikan inisiatif pelaksanaan kepada sektor tertentu dengan mengambil kira kekuatan, cabaran dan instrumen dasar yang memberi impak kepada Bumiputera di dalam setiap sektor. Untuk ini, kekuatan yang sedia ada sentiasa akan diperkukuhkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

48.       Syarikat Bumiputera digalakkan untuk menerap budaya inovasi dalam perniagaan. Transformasi Ekonomi Bumiputera juga menuntut usahawan Bumiputera untuk lebih kreatif serta sentiasa melakukan perubahan, penambaikan, penciptaan dan penemuan baru untuk tampilkan kelainan. Bumiputera perlu fikir cara baru untuk membuat sesuatu yang unik jika mahu pergi lebih jauh serta tidak ketinggalan dalam ekonomi global.

49.       Usahawan Bumiputera juga perlu berani mengambil risiko. Jatuh bangun perniagaan perlu dihadapi dengan cekal dan lebih tinggi risiko yang berani diambil, akan memberi ganjaran yang lebih tinggi pada Bumiputera. Cuba teroka bidang-bidang ekonomi baru. Risiko dapat dikurangkan jika Bumiputera lebih berinovasi dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

50.       Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera memerlukan kesungguhan dan kerjasama semua pihak untuk berjaya. Peranan dan penyertaan Bumiputera di setiap peringkat amat diperlukan. Survival Bumiputera bergantung kepada kejayaan melaksanakan transformasi ini.

51.       Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada usaha untuk membentuk Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

52.       Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan rasminya melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera ini.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

|
← Go back