Produk 1Malaysia

Konsep 1Malaysia bermatlamat untuk membawa perubahan dan kejayaan yang besar. Oleh itu, beberapa inisiatif telah pun dilaksanakan untuk rakyat di negara ini.

Pelbagai produk 1Malaysia telah diperkenalkan dan mendapat sambutan yang baik oleh jutaan rakyat Malaysia sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

*Klik pada mana-mana inisiatif di bawah untuk maklumat lanjut.

  • Amanah Saham 1Malaysia (AS1M)

    AS1M merupakan satu pelaburan saham yang disokong oleh Kerajaan. Ia menawarkan 10 billion unit dana dengan harga tetap pada RM1 seunit kepada semua rakyat Malaysia dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak 100 unit. Purata bagi pulangan AS1M ini di antara lima peratus hingga 10 peratus setahun.

  • Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M)

    Di bawah projek ini, setiap pelajar di seluruh negara menerima baucar buku bernilai RM200.  Antara 5.4 juta orang pelajar yang menikmati bantuan ini termasuk dari institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej-kolej matrikulasi dan juga pelajar-pelajar Tingkatan 6.

  • Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M)

    BL1M adalah program khusus untuk membantu rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda untuk mendapatkan lesen kelas B2 pada harga yang rendah iaitu RM199.

  • Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

    Bantuan kewangan bernilai RM700 ini diberikan secara terus kepada rakyat Malaysia yang pendapatan isi rumahnya kurang daripada RM4,000 sebulan. Bayaran secara sekali (one-off) ini dilaksanakan sejak tahun 2012 dan telah memberi manfaat kepada 75 peratus daripada seluruh isi rumah di negara ini.

    Dalam perlaksanaan BR1M 2014 baru-baru ini, penerima bantuan ini turut menerima Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bernilai RM50 dengan perlindungan minimum RM1,000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 bagi kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

  • eKasih

    Program ini telah memenangi hadiah pertama di Anugerah Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2012. eKasih adalah sistem pengkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional. Ia digunakan oleh agensi-agensi yang terbabit untuk memastikan agihan bantuan yang adil dan saksama dan tidak bertindih dengan program bantuan kemiskinan yang lain. Setakat ini, kelajuan pemprosesan telah dipertingkatkan. Sejumlah 317,359 kes tertunggak sebelum ini selesai diproses. Ini menjadikan 96 peratus daripada semua kes eKasih berjaya diproses.

  • Inisiatif Kembali Ke Sekolah

    Inisiatif ini bertumpu kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Setiap pelajar di sekolah rendah dan menengah - dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 - menerima sebanyak RM100 sebelum berakhirnya semester pertama persekolahan.

    Lebih 5.3 juta pelajar telah mendapat faedah melalui bantuan ini. Selain itu, Kerajaan juga telah memansuhkan yuran sekolah, sekaligus membenarkan rakyat Malaysia menikmati pendidikan awam secara percuma buat pertama kalinya.

  • Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M)

    i-TR1M adalah program pembelajaran selepas waktu sekolah dengan menyediakan kelas bimbingan secara percuma kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk mata pelajaran UPSR, PMR dan SPM secara online mahupun melalui cara konvensional. Program ini juga mensasarkan pelajar yang lemah dalam mata pelajaran penting seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Projek ini dijangkakan dapat memupuk budaya belajar sendiri di kalangan para pelajar di samping mengajar untuk menjadi lebih berdikari di kemudian hari.

    Kaedah pembelajaran online yang digunakan di dalam program ini bertindak sebagai tambahan kepada apa yang telah dipelajari di dalam kelas. Pembelajaran dan pencapaian para pelajar dapat diawasi dan diselia berdasarkan kepada laporan-laporan yang diperolehi melalui sistem tersebut.

    Projek ini telah dimulakan dengan 4,000 pelajar UPSR dan 5,300 pelajar PMR dan SPM di Selangor. Jumlah ini adalah dua kali ganda daripada jangkaan asal. Dana sebanyak RM2 juta telah ditambah untuk mencapai bilangan 200,000 pelajar di seluruh negara.

  • Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M)

    Kad ini bertindak sebagai kad diskaun kepada lebih 10 juta rakyat Malaysia. Pemilik kad ini layak menikmati potongan harga sebanyak 10 peratus hingga 50 peratus di lebih 4,500  premis perniagaan terpilih di seluruh negara. KDR1M meliputi klinik perubatan; restoran; hotel; arena sukan dan kecergasan; pemborong dan peruncit; taman tema dalam dan luar bangunan, pembinaan dan hiasan dalaman; gedung pakaian dan aksesori kereta; perlindungan insurans am dan banyak lagi.

  • Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M)

    Di bawah program ini, kad diskaun diberi secara percuma khusus untuk pelajar-pelajar Malaysia di institusi-institusi pengajian tinggi yang sedang megikuti pengajian lebih daripada satu tahun bagi program sijil, diploma, ijazah dan ke atas. Para pelajar dapat menikmati potongan harga sebanyak lima peratus hingga 60 peratus untuk barangan dan perkhidmatan di lebih 2,600 premis perniagaan yang ditawarkan oleh 264 syarikat yang menyertainya. Barangan dan perkhidmatan yang dimaksudkan termasuk buku, alat tulis, pakaian sukan, pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman, klinik kesihatan, bengkel automotif dan perkhidmatan rekreasi.

  • Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M)

    Kedai ini menjual pelbagai ikan segar, ayam, daging dan sayur-sayuran pada harga lebih kurang 40 peratus lebih murah daripada harga pasaran tanpa menjejaskan kualiti. Ini adalah satu inisiatif yang disasarkan kepada pengguna dan syarikat persendirian dengan cara membantu mereka membeli bekalan pada harga yang berpatutan.

  • Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M)

    Kedai-kedai di bawah projek ini menawarkan kain dan pakaian yang berkualiti tinggi pada harga yang rendah, dengan diskaun sehingga 70 peratus. Ia bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah membeli kain untuk dijadikan pakaian harian, pakaian seragam sekolah, langsir dan keperluan-keperluan lain. Pada masa ini, terdapat 19 buah kedai seumpamanya di seluruh negara dan sebanyak 50 buah kedai lagi akan dibuka pada tahun ini.

  • Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)

    Kira-kira 99 kedai seumpama ini telah dibuka di seluruh negara buat masa ini. Setiap kedai ini, yang berformatkan seperti pasar mini, menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan  harian dengan harga yang rendah. KR1M sememangnya dapat mengurangkan beban rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.

    Buat masa ini, terdapat lebih 250 barangan runcit dijual di KR1M dan kesemua barangan ini   dibungkus dan dilabel dengan logo ‘Kedai Rakyat 1Malaysia’. Barangan runcit yang dijual di KR1M ini adalah 30 peratus hingga 50 peratus lebih murah berbanding kedai-kedai atau pasar raya yang lain. 

  • Klinik 1Malaysia

    Kini, rakyat Malaysia boleh menikmati perkhidmatan kesihatan dengan bayaran sebanyak RM1 sahaja. Terdapat lebih 50 Klinik 1Malaysia di seluruh negara dan kesemua klinik ini terletak di kawasan yang strategik seperti di dalam kawasan perumahan. Buat masa ini, tiga hingga empay klinik seumpamanya beroperasi di setiap negeri.

    Klinik 1Malaysia menyediakan perkhidmatan kesihatan yang asas kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukannya. Ia dikendalikan oleh jururawat-jururawat dan pembantu perubatan yang berpengalaman dan mempunyai rekod perkhidmatan sekurang-kurangnya lima tahun. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah pembedahan kecil, jahitan, cuci luka dan  balutan, serta rawatan bagi penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, demam, kencing manis dan darah tinggi.

    Warga emas dikecualikan daripada sebarang bayaran.

  • Klinik Bergerak 1Malaysia

    Ini merupakan inisiatif Kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman. Pada ketika ini, kira-kira 25 peratus daripada rakyat Malaysia masih lagi tinggal di kawasan pedalaman dan mengalami kesukaran dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang asas. Sebanyak 171 unit klinik bergerak beroperasi di kawasan-kawasan pedalaman ini dari hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8am hingga 5pm. Program ini memberi manfaat kepada 1,600 buah kampung di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia turut menyediakan perkhidmatan mata dan gigi kepada orang ramai. Setiap unit klinik bergerak ini dilengkapi dengan bilik pemeriksaan serta kemudahan untuk menjalankan pembedahan kecil.

  • Menu Rakyat 1Malaysia

    Program subsidi ini menawarkan menu RM2 untuk sarapan pagi dan RM4 untuk hidangan  tengah hari. Ia bertujuan untuk mengurangkan beban orang ramai. Sebanyak 3,000 kedai makan di seluruh negara menawarkan menu ini sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia untuk menikmati hidangan dengan harga yang rendah melalui pakej-pakej menu yang disediakan. Berikut adalah contoh-contoh:

    Sarapan Pagi

    Nasi Lemak + Teh O = RM1.60 Roti Canai Kosong + Teh Tarik = RM2.00 Roti Bakar (1 set) + Kopi O = RM2.00

    Hidangan Tengah Hari

    Nasi Putih + Ayam Goreng + Sayur + Sirap = RM4.00 Nasi Ayam + Teh O Ais = RM3.80 Mee Goreng Mamak + Sirap Limau = RM3.00
  • Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)

    Kepada mereka yang sentiasa menginginkan rumah idaman selama ini, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) adalah jalan penyelesaiannya. Di bawah inisiatif ini, pihak Kerajaan membangun, membina dan menyenggara projek perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana (dengan pendapatan isi rumah di antara RM2,500 dan RM7,500).

    Projek-projek PR1MA kini sedang dibangunkan di bandar-bandar utama seperti  Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Setiap unit hartanah ini dijual dengan harga dari RM100,000 hingga RM400,000 serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan dan prasarana untuk kehidupan yang lestari.

    Projek-projek PR1MA ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain tidak lama lagi.

  • Program 1AZAM (1AZAM)

    Program 1AZAM diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.

  • Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA)

    Program ini bertujuan untuk memberi bantuan kewangan bulanan kepada golongan warga emas yang berpendapatan rendah, kanak-kanak miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal dan balu kepada anggota tentera dan polis. Bantuan ini disalurkan untuk menampung hidup golongan tersebut agar mereka tidak merasa tersisih oleh masyarakat. Setiap seorang atau isi rumah menerima sebanyak RM100 hingga RM450 .

  • Program Susu 1Malaysia (PS1M)

    Ini merupakan program susu percuma yang diberikan kepada lebih tiga juta pelajar di sekolah rendah di seluruh negara dengan tujuan untuk membina generasi Malaysia yang kuat dan sihat. Ia juga dapat menggalakkan lagi pertumbuhan industri tenusu di Sabah dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk kampung demi memenuhi permintaan untuk susu segar.

  • Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR)

    TUKAR adalah inisiatif yang bermatlamat untuk memodenkan kedai-kedai runcit tradisional sehingga mampu berdaya saing dalam persekitaran runcit dan citarasa pengguna yang kerap berubah agar dapat menarik minat pengguna.

  • Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia

    Kini, ibu-ibu mengandung boleh menikmati kemudahan kelas pertama untuk bersalin dengan hanya RM3 sahaja. Sejak dibuka pada tahun 2012, pusat bersalin ini menawarkan perkhidmatan rawatan, bilik, ubat-ubatan dan makanan yang sama standardnya dengan kemudahan wad kelas pertama untuk bayaran yang jauh lebih murah. Penjawat awam boleh menikmati kemudahan ini tanpa perlu dikenakan sebarang bayaran.

    Pusat bersalin ini juga dilengkapi dengan kemudahan rawatan fototerapi dan perkhidmatan klinik antenatal dan ginekologi. Selain itu, pakar-pakar obstetrik, ginekologi dan pediatrik akan bertugas setiap hari demi memastikan para pesakit mendapat rawatan yang profesional, berkualiti tinggi dan berkesan. Inisiatif ini merupakan salah satu langkah kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

  • Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC)

    1MOCC ialah pusat talian tunggal yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu untuk menjawab sebarang pertanyaan awam, aduan, cadangan mahupun tindakbalas melalui panggilan telefon, perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), faks, emel dan media sosial.

  • Rawatan Perubatan Percuma bagi Warga Emas

    Kini, warga emas boleh menikmati rawatan perubatan secara percuma sejak bayaran RM1 yang dikenakan di hospital-hospital awam sebelum ini telah dimansuhkan oleh Kerajaan pada tahun 2012. Inisiatif ini memberi manfaat kepada lebih 1.5 juta rakyat Malaysia.

  • Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia)

    Ini merupakan tabung pelaburan amanah yang disokong oleh Kerajaan untuk golongan yang pendapatan isi rumahnya kurang daripada RM3,000 sebulan. Melalui kerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad, skim ini memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 isi rumah dan membolehkan mereka yang layak melabur sehingga RM5,000, dengan pulangan bulanan sebanyak RM134. Pinjaman juga boleh dibuat untuk membeli unit Amanah Saham 1Malaysia.

  • Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M)

    SK1M adalah satu inisiatif yang berterusan untuk memeriksa semua barangan makanan yang dikeluarkan oleh industri kecil dan sederhana sebelum memasuki pasaran. Langkah ini bertujuan untuk memastikan 35,000 pengusaha makanan di negara ini menghasilkan produk yang berkualiti tinggi, selamat dan bersih melalui pelaksanaan peraturan yang ketat.

  • Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)

    Program ini menyediakan keperluan latihan/internship kepada para graduan baru oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.

    Selain daripada pelbagai bentuk latihan, projek ini juga menawarkan kursus kemahiran Bahasa Inggeris dan kursus-kursus komunikasi yang lain untuk beberapa bulan sebelum mereka diserapkan ke bidang-bidang yang mereka pilih. Syarikat-syarikat yang memberi latihan di dalam program ini menerima potongan cukai dua kali ganda ke atas elaun dan perbelanjaan latihan. Setakat ini, sebanyak 100  buah syarikat telah menyertai SL1M.

  • Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma)

    Di bawah skim ini, sebanyak 2,264 pemandu teksi dan van sewa telah menerima baucar bernilai RM520 bagi menampung kos menukar tayar. Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk membantu golongan ini dalam menangani peningkatan kos  penyelengaraan kenderaan mereka.

    Selain itu, skim ini juga dapat menggalakkan lagi industri melalui kerjasama di antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Proton Holdings Berhad dan Bank Simpanan Nasional (BSN). Melalui kerjasama ini, pemandu teksi berpeluang menikmati harga pakej kenderaan istimewa selepas cukai jualan dan duti kastam dikecualikan.  

    Antara faedah lain termasuk pinjaman tanpa deposit, kadar faedah serendah dua peratus  yang ditawarkan oleh BSN, pakej penyelengaraan kenderaan pada harga pasaran dan perlindungan insurans yang komprehensif untuk tahun pertama.