Bersandarkan dasar yang membentuk negara kita, satu set nilai bersama diperlukan dalam menjadikan 1Malaysia sebuah kenyataan. Kesemua 8 nilai 1Malaysia penting dalam usaha kita membawa nilai tambah kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun. Kesemua nilai ini bergantung antara satu sama lain untuk membentuk 1Malaysia. Ia telah dipupuk dalam jiwa di kalangan rakyat Malaysia yang sejak sekian lama meliputi semua bangsa, bahasa dan agama. 

Dalam usaha mengubah dan membawa Malaysia memperoleh kejayaan dan pencapaian ke tahap yang lebih tinggi, satu nilai yang menaungi dan akan memastikan Malaysia berada dalam landasan yang betul adalah dengan menanam Budaya Kecemerlangan dalam diri kita.

Meritokrasi, ketepatan dan kepimpinan berasaskan prestasi adalah antara kualiti yang berkait rapat dengan Budaya Kecemerlangan. Kesemua ini penting untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara yang menekankan kualiti dan kecemerlangan dalam setiap perkara yang kita lakukan; untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Ketabahan ialah nilai kedua 1Malaysia yang juga menjadi tulang belakang negara-negara yang berjaya menempuh cabaran dalam sejarah masing-masing. 

Ketabahan dalam menghadapi apa jua cabaran adalah antara perjuangan yang kita hadapi sebagai individu dan negara. Semangat juang ini membantu kita untuk tidak mudah mengalah dalam menghadapi kesukaran.

Sebagai sebuah negara, pelbagai rintangan dan cabaran telah kita harungi. Sama ada krisis kewangan, ancaman kepada kedaulatan negara atau tragedi-tragedi yang tidak dapat dielakkan. Kita tabah menghadapinya setiap kali ia berlaku, menjadikan negara ini lebih kuat. Kita telah sekian lama kekal dan berusaha sekali gus cekal menghadapi rintangan dan menangkis ketidakyakinan pihak tertentu.

Kerendahan diri ialah satu ciri penting untuk dimiliki.  Ianya satu sifat yang dihargai oleh masyarakat di negara ini. Kerendahan diri atau tawaduk, bukan sahaja sebuah perilaku sederhana semata-mata tetapi mengingatkan diri bahawa kita bukanlah lebih baik daripada orang lain hanya kerana perbezaan kita.

Sebaliknya, merendah diri juga adalah tentang pemahaman kita sebagai rakyat Malaysia yang perlu menerima kelainan satu sama lain. Kepelbagaian antara kita sentiasa menjadi ikatan antara kita dan harus dijadikan sebagai satu kelebihan. Ini bukanlah sebuah tanda kelemahan tapi sebaliknya ia sebuah kekuatan. 

Meritokrasi bukan sahaja satu prinsip yang murni, tetapi ia prinsip yang diwajibkan untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Jika kita memberi ganjaran kepada individu yang melakukan sesuatu perkara terbaik, masyarakat akan menyedari mereka juga telah mencapai suatu tahap terbaik. Meritokrasi adalah suatu unsur untuk memaksimumkan potensi kita yang berada di Malaysia. 

Terdapat perbezaan besar antara toleransi dan penerimaan. Penerimaan bermakna persediaan minda untuk menerima sesuatu secara positif. Amat penting untuk kita berhijrah dari mengamalkan konsep toleransi semata-mata kepada penerimaan.

Kita tidak harus terpengaruh dengan pemikiran negatif, sebaliknya terus berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam memajukan Malaysia. Kita harus mencungkil yang terbaik daripada masyarakat Melayu, Cina, India serta kaum lain dan mengacu kebaikan ini secara kolektif untuk mendapatkan hasil terbaik secara keseluruhan. Hanya kerana perbezaan latar belakang kaum, tidak bermakna ada had di antara kita.

Kesetiaan penting sebagai satu amanah dan sebagai sebuah negara, kita harus kekal setia bagi memastikan kita boleh sama-sama bergerak maju menuju masa hadapan. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus setia kepada negara ini dan bersedia untuk berkhidmat dan berbakti apabila diperlukan.

Tetapi kesetiaan bukanlah nilai yang wujud bersendirian. Ia harus disertai dengan keupayaan untuk melakukannya. Kesetiaan sahaja tidak mencukupi jika kita tidak berupaya melakukannya. 

Visi 1Malaysia ialah untuk menjadi sebuah negara di mana rakyatnya telah memperkasakan hidup mereka melalui usaha dan aplikasi pengetahuan secara positif.

Proses pembelajaran sepanjang hayat yang berlaku di dalam dan luar kelas akan melahirkan rakyat Malaysia yang mampu berfikir dan bersikap tidak mementingkan diri, malah dapat menyumbangkan lebih banyak lagi kepada komuniti mereka.

Pendidikan  dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk menentukan kejayaan sesebuah negara dan berdasarkan sejarah, empayar yang kekal kukuh berdiri hanyalah empayar menguasai minda, terutamanya jika dilihat dalam konteks masa kini.

Sebuah empayar yang dibina berasaskan kekuatan tentera sahaja tidak akan dan tidak boleh bertahan. Maka, apabila berbicara mengenai pendidikan dan pengetahuan, ia mesti dilihat secara holistik. Ia harus diterapkan dengan nilai-nilai lain. Kita harus mempunyai sebuah masyarakat yang menempatkan pendidikan berilmu dalam segalanya. 

Integriti melengkapkan set nilai-nilai murni ini dan ia adalah satu kunci utama yang memastikan segala janji ditepati dan dasar didukung. Sebaik sahaja kita mampu menyampaikan apa dijanjikan dan menjadi lebih telus serta terbuka dengan yang lain, kita boleh membina satu asas yang kukuh sebagai sebuah negara.

 

 

 

Share in: