Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Meriah Dihadiri 20,000 Pengunjung | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Meriah Dihadiri 20,000 Pengunjung
Januari 24th, 2012 by Najib Razak

GEORGE TOWN, 24 Jan (Bernama) — Rakyat pelbagai kaum dari merata kawasan di utara semenanjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) negeri di Tanjung Marina Bay, di sini Selasa.

Rumah terbuka yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor itu diraikan dengan meriah dan disertai lebih 20,000 pengunjung.

Sambutan ketibaan Perdana Menteri itu dimeriahkan dengan paluan gendang, tarian naga dan singa serta laungan 1Malaysia dan Najib bersama para pemimpin BN memulakan acara mengaul ‘Yee Sang’.

Turut menyertai menggaul “Yee Sang” itu ialah Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Perdana Menteri ketika berucap berkata beliau tidak menyangka kehadiran orang ramai di luar daripada jangkaan.

“Sambutan yang begitu hangat dan orang ramai yang hadir pada hari ini semuanya dalam keadaan ceria untuk menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.

Majlis itu dihadiri Pengerusi BN Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan, Pengerusi Badan Perhubungan MCA negeri Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman.

Turut hadir pada majlis yang bermula pada pukul 5 petang hingga 7 malam itu Presiden PPP Datuk Seri M. Kayveas dan Pengerusi MIC negeri Datuk P.K Subbaiyah.

Sebelum meninggalkan majlis, Perdana Menteri dan isteri serta pemimpin BN turut menyertai kumpulan koir Satu Hati menyanyikan lagu 1Malaysia dan Rasa Sayang.

Sumber : Bernama

Tags: , ,

|
← Go back