Program Menu Rakyat 1Malaysia: Makanan Murah, Buka Peluang Pekerjaan | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Program Menu Rakyat 1Malaysia: Makanan Murah, Buka Peluang Pekerjaan
April 15th, 2012 by Najib Razak

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Pengenalan Menu Rakyat 1Malaysia di pelbagai restoran bukan sekadar membantu meringankan perbelanjaan sarapan dan makan tengah hari, malah turut menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan.

Kebanyakan pelanggan restoran yang menawarkan menu sarapan berharga RM2 dan makan tengah hari RM4 itu mengakui faedah daripada program itu yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 7 Julai 2011 bertujuan meringankan bebanan perbelanjaan harian rakyat.

Namun, tanpa disedari, mereka juga membantu pengusaha restoran-restoran itu menyediakan pekerjaan kepada golongan miskin dan memerlukan mata pencarian untuk menampung hidup.

Yang Dipertua Koperasi Ukhwah, Datuk Rahim Baba berkata restoran milik koperasi itu kini tidak menang tangan melayani pelanggannya berikutan permintaan daripada orang ramai cukup memberangsangkan.

“Kita mengambil golongan ini untuk bekerja dengan kita bukan saja untuk memastikan mereka ada pendapatan tetap tetapi juga bertujuan melatih mereka menceburi bidang usahawan suatu masa kelak. Selain itu, restoran ini turut dibantu oleh kakitangan Koperasi Ukhwah sendiri,” katanya kepada Bernama.

Beroperasi seawal pukul 7 pagi hingga 11 malam setiap hari kecuali Ahad, kedatangan orang ramai ke restoran tersebut pada hari bekerja mampu mencecah 4,000 orang sehari. Meja, pinggan, cawan dan gelas perlu dibersihkan segera dan itulah yang dilakukan oleh pekerja yang diambilnya.

Pekerja restoran itu yang terdiri daripada rakyat tempatan kelihatan tidak henti-henti membersihkan meja demi meja serta mengangkat pinggan dan gelas sebaik saja pelanggan selesai makan kerana ramai lagi pelanggan lain menunggu giliran.

“Meskipun restoran ini mampu memuatkan hanya 160 orang pada satu-satu masa, namun kedatangan pelanggan tidak pernah putus, bukan sahaja untuk makan tengah hari tetapi juga sarapan pagi yang kita tawarkan serendah RM1 bagi set roti canai dan teh tarik, roti bakar dan teh tarik atau nasi lemak bersama teh tarik atau kopi,” kata Rahim.

Restoran Ukhwah yang terletak di Jalan Medan Tuanku dekat sini, menawarkan tiga jenis menu utama dalam Menu Rakyat 1Malaysianya yang semuanya berharga RM4 iaitu nasi putih dengan ayam masak merah atau kurma, papadom dan dalca; nasi ayam; dan set mee kari berserta air sirap.

Rahim berkata untuk Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan tiga set itu, pihaknya mampu menyediakan kira-kira 200 hidangan bagi setiap satu set dan sambutan yang diberi pelanggan terhadap Menu Rakyat 1Malaysia ini sangat menggalakkan.

“Kita dah mulakan menu rakyat ini sebenarnya pada tahun 2009 dan kini ia sebagai menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan Program Menu Rakyat 1Malaysia diperluaskan,” katanya.

Sementara itu, menafikan tohmahan pihak tertentu kononnya harga RM4 itu hanya boleh didapati pada ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja, Rahim berkata dakwaan itu adalah tidak berasas.

“Harga kita sentiasa macam itu… tidak berubah. Sama ada Perdana Menteri ke Timbalan Perdana Menteri datang ke tidak, harga tetap sama dan konsisten. Mereka boleh datang tengok dan cuba sendiri,” katanya.

Restoran Ukhwah adalah sebuah daripada 1,254 restoran di seluruh negara yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia termasuk bagi 42 buah di Kuala Lumpur. Namun setiap restoran menyediakan menu masing-masing yang berbeza antara satu sama lain.

Seorang pemuda tidak berumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 23, memberitahu Bernama, beliau bersyukur dapat bekerja di situ sebagai pelayan yang kini membolehkannya menggunakan wang gaji untuk membiayai keperluan keluarga di kampung.

Bernama yang turut menikmati makan tengah hari RM4 di Restoran Ukhwah mendapati masakan ayam kurmanya sangat enak dan ternyata bukan dimasak ala kadar walaupun dijual dengan harga murah, dan air sirapnya juga manis walaupun percuma dan boleh ditambah.

Kunjungan pelanggan yang terdiri daripada pekerja di sekitar restoran itu juga tidak putus-putus sehingga penuh sesak dan ramai yang sanggup beratur untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan set juadah makan tengah hari dengan harga murah.

Slip bayaran RM4 diberi kepada pelanggan yang mengambil dua ketul ayam kurma, manakala RM3 pula bagi yang hanya mengambil seketul ayam yang dipotong sederhana tetapi cukup untuk mengenyangkan.

Restoran Menu Rakyat 1Malaysia itu juga benar-benar didokong oleh rakyat pelbagai kaum apabila bukan saja orang Melayu tetapi juga Cina dan India juga turut melangganinya, sekali gus menjadikannya tempat untuk saling berkenalan dan memanjangkan silaturahim.

Seorang pelanggan, Noor Bait Mohd Noor, 76, berkata beliau berpuas hati dengan kualiti masakan yang ditawarkan dalam Menu Rakyat 1Malaysia yang nyata tidak mengecewakannya.

“Set makanan tengah hari seperti ini boleh dikatakan antara yang termurah dengan ayamnya, nasi yang banyak serta sayur. Usaha sebegini adalah baik bagi mereka yang duduk di bandar-bandar kerana hidangan yang sama di restoran biasa boleh mencecah RM7.

“Ini adalah kali kedua saya datang ke restoran ini untuk menikmati Menu Rakyat 1Malaysia. Rasa masakannya enak. Saya amat puas hati dengan apa yang ditawarkan dalam menu itu,” katanya kepada Bernama.

Turut berkongsi pandangan ialah isteri Noor Bait, Mardiana Adnan, 66, yang menyifatkan harga yang ditawarkan itu amat berpatutan dan murah.

“Saya rasa masakan yang dimasak itu ok dan sedap. Jadi saya rasa berbaloi harganya yang termasuk sekali dengan air sirap dan ia membolehkan saya berjimat-cermat,” katanya.

Bagi L.Mageswari pula, dia sering membuat temu janji makan tengah hari di situ untuk berjumpa dengan rakan-rakan yang bekerja di pejabat-pejabat berdekatan sambil bertanya khabar dan mengikuti perkembangan mereka, apatah lagi menu yang ditawarkan menjadi kegemaran mereka.

Ternyata, pandangan jauh kerajaan Barisan Nasional bukan saja menjadikan Menu Rakyat 1Malaysia kaedah untuk membolehkan golongan pekerja jimat berbelanja untuk makan minum tetapi berupa serampang banyak mata apabila ia juga menjadi tempat rakyat pelbagai kaum berjumpa dan memberi peluang pekerjaan pula kepada golongan yang memerlukan.

Sumber : Bernama

Tags: , ,

|
← Go back