Najib Perjelas 1Malaysia Dari Segi Pelaksanaan Dan Penerapan | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Najib Perjelas 1Malaysia Dari Segi Pelaksanaan Dan Penerapan
Jun 15th, 2009 by Najib Razak

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin memberi penjelasan mengenai gagasan “IMalaysia” dari segi pelaksanaan dan penerapannya kepada masyarakat majmuk di negara ini serta bagaimana gagasan ini akan dapat lebih bermanfaat dalam menterjemahkan kejayaan Wawasan 2020.

Beliau berkata sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April lepas, konsep 1Malaysia diketengahkannya dan perkara itu sering dibincang dan dibahaskan di kalangan rakyat di semua peringkat.

“Malah pihak pembangkang tidak membuang masa untuk memutarbelit dan mentafsirkan gagasan ini mengikut definisi mereka sendiri, semata-mata dengan niat mengelirukan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Perdana Menteri berkata 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

“Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata 1Malaysia bukan satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara.

“Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

“Jika `Bangsa Malaysia’ yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat itu,” katanya.

Najib berkata perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.

Katanya 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep “Malaysian Malaysia” parti pembangkang kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada ruh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat.

Gagasan 1Malaysia, katanya kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.

“Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata 1Malaysia menekankan sikap “penerimaan” di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

“Ia adalah peningkatan ketara daripada sikap toleransi semata-mata,” kata beliau.

Najib berkata apa yang menjadi asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum dan ini bermaksud nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan.

“Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza.

“Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh.

Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar, katanya.

Najib berkata formula 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama dengan yang pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.

“Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan ketiga adalah keadilan sosial,” katanya.

Beliau berkata teras-teras perpaduan ini pula didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Katanya aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya.

Elemen-elemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru serta meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Najib berkata pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan Masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.

Beliau berkata dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia.

“Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat.

“Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat.

“Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri.

Beliau berkata seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan menteri berkenaan akan memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemahkan hasrat kerajaan.

“Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.

“Di atas segalanya, 1Malaysia `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia,” katanya lagi.

Sumber : Bernama

|
← Go back