Najib Lancar Inisiatif Untuk Pemegang Biasiswa JPA Majukan Kerjaya | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Najib Lancar Inisiatif Untuk Pemegang Biasiswa JPA Majukan Kerjaya
Ogos 22nd, 2011 by Najib Razak

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin melancarkan dua inisiatif utama untuk membolehkan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memainkan peranan penting dalam menggerakkan transformasi negara.

Program dikenali Talent Acceleration in Public Service (TAPS) dan Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR) dirangka untuk menyediakan peluang-peluang menarik kepada pemegang biasiswa memajukan kerjaya masing-masing dalam bidang-bidang utama menerusi Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) apabila mereka tamat pengajian, kata Perdana Menteri ketika melancarkan kedua-dua program itu di sini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib beekata TAPS adalah satu inisiatif JPA sebagai sebahagian daripada usaha mentransformasi perkhidmatan awam menjadi satu kerjaya pilihan, dan menerusi program ini, pemegang biasiswa JPA yang cemerlang, akan dipilih untuk mengendalikan isu-isu dasar awam dan projek berkeutamaan tinggi.

“Saya pasti ramai daripada anda di sini mengagumi kedudukan dalam perkhidmatan awam dan ianya adalah platform yang tepat,” katanya sambil menjelaskan bahawa ini akan membolehkan mereka mengambil bahagian secara aktif dalam proses membuat dasar negara.

TAPS adalah inisiatif bersama diketuai JPA bersama Razak School of Government (RSOG) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi menarik dan membimbing pemegang-pemegang biasiswa JPA yang cemerlang menyertai perkhidmatan awam.

Najib berkata menerusi TAPS, pelajar-pelajar pintar ini akan disandarkan kepada pegawai-pegawai kanan awam yang akan menjadi mentor mereka.

Kumpulan pertama melibatkan 40 pelajar cemerlang dan ianya akan dimulakan Oktober ini.

“Ia (TAPS) akan diperluaskan secara berperingkat bagi melibatkan juga pemegang biasiswa JPA dari institusi pengajian tinggi lain di Malaysia di luar negara,” kata Perdana Menteri.

Pemegang biasiswa lain yang tidak dipilih menyertai perkhidmatan awam akan menyertai program STAR, yang merupakan satu inisiatif antara JPA dan TalentCorp, untuk memenuhi syarat biasiswa mereka, dengan bekerja di syarkat-syarikat utama bagi memacu ETP.

Perdana Menteri berkata menerusi inisiatif ini, pemegang biasiswa itu akan diberi peluang memajukan kerjaya mereka dalam sektor-sektor penting ekonomi, dan pada masa yang sama, menjadi sebahagian daripada transformasi ekonomi Malaysia.

“Dengan cara ini, negara mendapat hasil optimum daripada bakat dalam kalangan pemegang biasiswa dengan menentukan mereka diserap dan dibimbing untuk menyumbang kepada bidang-bidang penting dalam ekonomi Malaysia,” katanya.

Sehingga kini, STAR telah menarik penyertaan 50 badan termasuk Bank Negara Malaysia, Khazanah Nasional, Intel, Shell Malaysia, Maxis, CIMB Bank dan Teach for Malaysia.

Menerusi program yang dilancarkan itu, TalentCorp akan membantu dalam penglibatan pemegang biasiswa JPA dengan majikan.

“Kepada pemegang biasiswa yang hadir di sini hari ini, hasil bekerja dengan kerajaan dan syarikat dalam Bidang Ekonomi Utama Negara, anda sebenarnya adalah pemacu PTK dan PTE,” kata Najib.

Sumber : Bernama

Tags: , , , ,

|
← Go back