Masyarakat Malaysia Capai Tahap Tertinggi Dalam Gagasan 1Malaysia, Kata Najib | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Masyarakat Malaysia Capai Tahap Tertinggi Dalam Gagasan 1Malaysia, Kata Najib
Januari 20th, 2011 by Najib Razak

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis berkata masyarakat Malaysia telah mencapai tahap tertinggi dalam gagasan 1Malaysia iaitu keupayaan mereka meraikan kepelbagaian budaya dalam negara ini.

Katanya sifat ini juga harus dijadikan satu kelebihan dan kekuatan untuk rakyat menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan berjaya.

“Jika kita dapat meraikan kepelbagaian, kita mencapai kemuncak dalam soal menerima kepelbagaian sebagai satu sumber kekuatan bagi negara kita,” katanya ketika menyaksikan sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini, hari ini.

Ini merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke Batu Caves sempena sambutan Hari Thaipusam. Lawatan pertama pada tahun lepas.

Najib berkata dua lagi peringkat gagasan itu ialah paling asasnya sifat bertoleransi dan keduanya “penerima secara total”, di mana masyarakat tidak lagi ragu-ragu bahawa kepelbagaian itu adalah sesuatu yang baik.

Katanya, untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan berjaya, perjuangannya mesti bersandarkan kepada ikatan semua kaum dalam negara ini dengan rakyatnya “perlu memberi kepercayaan yang Malaysia akan menjadi satu negara yang maju dan berjaya kalau kita mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil.

“Hanya kerajaan yang kuat dan stabil sahaja yang boleh menentukan masa depan negara kita,” katanya.

Najib berkata kerajaan juga sentiasa menghormati masyarakat India serta sumbangan mereka dalam pembangunan negara ini, dan sebagai pengiktirafan, kerajaan baru-baru ini telah melancarkan projek menarik taraf Brickfields sebagai Little India yang mampu menjadi destinasi pelancongan dan memberi pendapatan yang lebih lumayan kepada peniaga di kawasan itu.

“Kita percaya Little India akan merupakan satu simbol bahawa kita menghormati kepelbagaian dan budaya dalam negara ini,” katanya.

Najib berkata kerajaan juga telah memberi peruntukan RM6.9 juta untuk memajukan dan memperindahkan landskap di perkarangan Batu Caves, termasuk pembinaan sebuah blok baru untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Batu Caves yang telah siap Disember lepas.

Perdana Menteri berkata dalam masa yang sama, kerajaan dengan kerjasama MIC serta badan-badan bukan kerajaan akan meneruskan usaha membantu masyarakat Malaysia berketurunan India mengatasi masalah seperti yang berkaitan dengan kewarganegaraan dan penambahbaikan taraf sosio-ekonomi.

Katanya, usaha kerajaan membantu rakyat Malaysia berketurunan India juga mendapat pengiktirafan oleh Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh yang melawat negara ini pada tahun lepas.

“Saya ingin melahirkan penghargaan saya kepada Dr Manmohan atas penghargaan positif beliau ke atas apa yang kita lakukan di Malaysia.

“Dan sudah tentu saat-saat membanggakan kata beliau adalah apabila kita menghadiri pelancaran Little India. Ini merupakan kenyataan yang paling bermakna,” katanya.

Baru-baru ini semasa berucap pada konvensyen Pravasi Bharatiya Divas (PBD) di Delhi, India, Dr Manmohan menyatakan pelancaran Little India di Kuala Lumpur pada Oktober lepas memahatkan kenangan paling istimewa dan menyentuh perasaannya.

Dr Manmohan berkata beliau telah diberikan penghormatan istimewa untuk melancarkan Litte India bersama Najib dan ia suatu lambang pengiktirafan terhadap sumbangan yang dilakukan oleh banyak lagi “Little India” kepada masyarakat tempatan di seluruh dunia, dan ini sangat membanggakan melihat peranan masyarakat India dalam usaha-usaha pembinaan Malaysia dihargai.

Pada majlis hari ini, Najib juga turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman antara pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman dan Damodar Ropeways and Constructions Pty Ltd untuk membina perkhidmatan kereta kabel sepanjang 250 meter di Batu Caves.

Pembinaan projek RM10 juta itu yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi dan siap pada 2012 akan memudahkan warga emas, masyarakat Orang Kelainan Upaya dan para pelancong melawat gua paling atas di Batu Caves tanpa perlu memanjat 272 anak tangga untuk sampai ke sana.

Najib berkata ini adalah satu tarikan kepada Batu Caves dan beliau percaya dengan adanya kemudahan itu nanti, jumlah pelancong ke Batu Caves akan bertambah.

Hampir 1.5 juta orang termasuk pelancong asing telah mengungungi Batu Caves semasa perayaan tersebut kali ini.

Sumber : Bernama

Tags: , , , ,

|
← Go back