Klinik Bergerak 1Malaysia Sedia Kemudahan Rawatan Di Pedalaman | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Klinik Bergerak 1Malaysia Sedia Kemudahan Rawatan Di Pedalaman
Disember 9th, 2010 by Najib Razak

IPOH, 9 Dis (Bernama) — Klinik Bergerak 1Malaysia akan memberi kemudahan rawatan percuma kepada penduduk di pedalaman yang belum mendapat kemudahan sepenuhnya klinik-klinik bergerak yang dikendalikan Kementerian Kesihatan sebelum ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata konsep berkenaan diperkenalkan bagi memastikan 25 peratus lagi kawasan pedalaman seluruh negara yang berada di luar lingkungan 25 kilometer dari pusat perubatan dan kesihatan terdekat menikmati kemudahan kesihatan.

Konsep klinik bergerak sudah disediakan Kementerian Kesihatan sebelum ini dengan 171 buah klinik udara, air dan darat iaitu 60 buah di Semenjanjung, 13 di Sabah dan 98 di Sarawak; yang memberi perkhidmatan kepada lebih 1,600 buah kampung pedalaman seluruh negara, katanya.

“Klinik Bergerak 1Malaysia adalah perkongsian antara Yayasan 1Malaysia Development Berhad dengan Kementerian Kesihatan. IMDB menyediakan bas manakala kementerian menyediakan doktor dan perubatan,” katanya berucap melancarkan Klinik Bergerak 1Malaysia di Kampung Orang Asli Pos Raya, Gopeng dekat sini Khamis.

Najib berkata Klinik Bergerak 1Malaysia akan dilancarkan di empat buah negeri iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Johor manakala klinik yang menggunakan bot pula akan dilancarkan di Sarawak tahun depan.

“Jika konsep ini berjaya, kita akan tubuhkan lagi. Kerajaan berazam terus menambah baik penjagaan kesihatan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan rakyat yang produktif, dua keutamaan kerajaan adalah dalam memastikan bidang kesihatan dan pendidikan kepada rakyat sentiasa ditambah baik.

Program Klinik 1Malaysia yang dilancarkan tahun ini sebagai contoh telah berjaya memberikan rawatan kepada 1.2 juta pesakit sejak Januari lepas, katanya.

Sehingga ini, sebanyak 51 buah Klinik 1Malaysia telah dibuka dan sebanyak 50 buah lagi akan dibuka pada tahun depan, katanya.

“Kita akan perjuangkan rakyat sepanjang masa dan ketika,” kata Najib yang kemudian mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi membiayai projek bekalan elektrik dan pembinaan sebuah jambatan sebagai kemudahan kepada masyarakat Orang Asli Pos Raya.

Turut hadir pada majlis itu, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Liow berkata klinik bergerak yang dilancarkan hari ini berbeza daripada 171 yang sedia ada kerana kemudahan rawatan yang disediakan lebih menyeluruh termasuk mampu membuat pembedahan kecil.

Katanya, bas yang diubahsuai kepada sebuah klinik itu dilengkapi dengan pelbagai kamudahan asas perubatan dan dikendalikan oleh doktor dan jururawat berpengalaman.

“Sebagai permulaan sebanyak empat buah bas disediakan untuk memberi perkhidmatan di Perak, Selangor, Pahang dan Johor. Ia akan mula beroperasi di 72 lokasi melibatkan 182 buah kampung dalam masa terdekat.

“Di Sarawak pula, bot yang dilengkapi dengan peralatan yang sama akan mula beroperasi di Sungai Baram pada bila-bila masa awal tahun depan,” katanya kepada selepas pelancaran berkenaan.

Sumber : Bernama

Tags: , ,

|
← Go back