Hubungan Malaysia-China Ada Erti Tersendiri Bagi Najib | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Hubungan Malaysia-China Ada Erti Tersendiri Bagi Najib
Jun 3rd, 2009 by Najib Razak

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) — Hubungan Malaysia-China mempunyai erti yang amat istimewa bagi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata beliau masih menuntut ketika ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak melakukan kunjungan bersejarah ke Beijing pada 1974 bagi menemui Zhou Enlai, perdana menteri Republik Rakyat China ketika itu.

“Hasil wawasan mereka, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin secara rasmi.

“Apabila Malaysia memperkukuhkan hubungannya dengan China, ia bukan semata-mata atas dasar hubungan luar, tetapi juga bagi mencerminkan kehidupan bernegara kita yang sebenar.

“Masyarakat Cina Malaysia umpama sehelai benang yang amat penting dalam fabrik nasional kita dan inilah yang menjadikan hubungan erat antara kedua-dua negara ini begitu penting dan tidak dapat dikesampingkan,” demikian menurut prakata Najib bagi buku beliau bertajuk “Moving Ahead: Malaysia-China Relations”.

Buku 250 halaman terbitan MPH Group itu mengandungi ucapan terpilih yang telah disampaikan oleh Najib semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Buku ini dijual pada harga RM25 senaskhah.

Buku berkenaan juga menampilkan hasrat Najib untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada negara melalui konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan serta dasar beliau yang dinamik berhubung Asia Timur, dengan memberi fokus terhadap hubungan Malaysia-China.

Dalam prakatanya, Najib berkata semasa menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Pelajaran, beliau telah banyak kali melawat China dan menjalin persahabatan dengan banyak orang, hasil daripada hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

“Bukanlah suatu kebetulan bahawa apabila menjadi Perdana Menteri, negara di luar Asean yang pertama yang lawati adalah China,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata setelah Malaysia dan China menjalin ikatan kerjasama selama 35 tahun, hasil yang dapat dilihat dengan ketara ialah kedua-dua negara berjaya melihara keharmonian dan kestabilan di rantau ini, di samping meningkatkan pembangunan ekonomi, yang memberi manfaat kepada masyarakat serta dunia, walaupun cabaran terus mendatang dan tugas yang ada, tidak pernah selesai.

“Pada era yang menuntut kita saling bergantung, hasil daripada globalisasi dan liberalisasi, dunia akan menuntut kita melakukan lebih banyak usaha pada tahun-tahun akan datang.

“Tidak cukup bagi kita untuk hanya mengagumi kekuatan satu sama lain tetapi kita perlu memanfaatkannya demi kebaikan bersama,” kata beliau.

Dalam satu daripada ucapannya, Najib berkata Allahyarham ayahanda beliau telah membuat keputusan berani dan berpandangan jauh 35 tahun lepas kerana mendapati bahawa China amat penting bagi Malaysia walaupun kebanyakan negara di rantau ini memandang serong terhadap China dan berasa tidak selesa dengan kerajaan China.

Ketika itu, katanya, kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) masih menjadi ancaman terhadap negara ini.

“Saya masih ingat kata-kata arwah ayah saya kepada saya iaitu kita boleh mempercayai orang China,” katanya.

Jika direnung kembali, kata Najib, seseorang akan dapat melihat betapa eratnya hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara ini, bukan saja dalam bidang politik, tetapi juga dalam bidang ekonomi, pelaburan perniagaan, pelancongan, pendidikan, interaksi budaya dan semua bidang lain.

Sumber : Bernama

|
← Go back