Felda, Sime Darby tambah hasil peneroka | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Felda, Sime Darby tambah hasil peneroka
Mei 13th, 2009 by Najib Razak

KUALA LUMPUR 12 Mei – Felda akan bekerjasama dengan Sime Darby Berhad (Sime Darby) bagi meningkatkan pendapatan peneroka melalui penanaman baka baru pokok kelapa sawit yang dihasilkan syarikat berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, baka baru itu agak unik kerana ia boleh menghasilkan buah sawit dan perahan minyak lebih banyak serta mengurangkan penggunaan tenaga buruh.

“Kita akan berbincang dengan Sime Darby ketika Felda membuat penanaman semula nanti untuk menggunakan benih baru ini.

“Dari segi pengeluaran kita boleh menggandakan hasil dengan jumlah keluasan sedia ada supaya terdapat peningkatan dalam produktiviti 100 peratus,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan kejayaan Sime Darby menterjemahkan secara keseluruhan kod genetik pokok kelapa sawit di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam.

Kejayaan itu yang merupakan kali pertama di dunia akan membolehkan syarikat berkenaan menghasilkan baka baru sawit yang tahan penyakit dan mengeluarkan hasil yang banyak.

Menurut Najib, kerjasama antara Felda dan syarikat itu akan dilakukan secara adil termasuk kemungkinan lembaga berkenaan membuat bayaran bagi membeli benih baka baru itu.

”Kita difahamkan Sime Darby telah membelanjakan lebih RM40 juta bagi melakukan penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan baka ini dan sudah tentu kita perlu membayar kosnya,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak bercadang menghapuskan cukai yang dikenakan ke atas keuntungan berlebihan yang diperoleh oleh penanam kelapa sawit.

Bagaimanapun, berikutan rungutan yang diterima daripada penanam kelapa sawit, katanya, kerajaan baru-baru ini menaikkan had yang dikenakan cukai kepada RM2,500 setan metrik bagi Semenanjung Malaysia dan RM3,000 bagi Sabah dan Sarawak.

Baru-baru ini, beberapa persatuan dan syarikat yang terlibat dalam industri sawit telah mencadangkan supaya kerajaan menimbang untuk menghapuskan cukai keuntungan berlebihan itu memandangkan ia boleh menjadi penghalang kepada peningkatan pelaburan dalam sektor berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, baka baru yang dihasilkan oleh Sime Darby itu akan membolehkan hasil kelapa sawit ditingkatkan tanpa memerlukan ladang-ladang baru dibuka.

“Ketika kerajaan meneruskan usaha untuk meningkatkan pendapatan penanam kelapa sawit, kita juga perlu memastikan hutan tropika tidak diteroka semata-mata untuk aktiviti peladangan.

”Penemuan baru ini juga akan meningkatkan hasil kelapa sawit berlipat kali ganda sekali gus membolehkan minyaknya turut digunakan bagi menghasilkan biodiesel dan dalam masa sama tidak menjejaskan keperluan untuk makanan,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

|
← Go back