Share:
Share on Facebook
 Blog
Felda bina 2,146 unit rumah
Mei 27th, 2009 by Najib Razak

KUALA LUMPUR 26 Mei – Sebanyak 2,146 unit rumah akan dibina di bawah program Perumahan Warga Felda (PWF) melalui pakej rangsangan ekonomi kedua dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek tersebut merupakan salah satu program yang diberi penekanan oleh Felda khusus untuk generasi kedua di tanah rancangan.

Menurut beliau, enam tanah rancangan dikenal pasti melaksanakan projek itu iaitu di tanah rancangan Felda Jengka 19, Felda Triang 3, Felda Jengka 11, Felda Chiku 5, Felda Neram 1 dan Felda Chini 3.

Beliau berkata, peruntukan tersebut untuk menambah bilangan projek perumahan berikutan semakin ramai anak peneroka khususnya generasi kedua tinggal di tanah rancangan.

“Keperluan itu semakin ketara kerana ramai generasi kedua tinggal di tanah rancangan dan terpaksa menumpang di rumah ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran moto Felda, Felda Nombor 1 Di Dunia dan Felda Rally Team di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Felda Rally Team pula ditubuhkan dengan matlamat ke arah pembentukan bakat Malaysia glokal dan bertaraf antarabangsa dalam bidang pengurusan projek sukan serta mencungkil bakat profesional dalam bidang sukan rali.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan; Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Nor dan Pengarah Besar Felda, Datuk Ahmad Tarmizi Alias.

Projek tersebut menyediakan rumah teres satu tingkat berharga di antara RM35,000 dan RM60,000 seunit.

Najib berkata, jika Felda menghadapi masalah kekurangan kawasan tanah, agensi itu bercadang membina pangsapuri bagi membolehkan generasi tersebut memiliki kediaman mampu milik.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelancaran moto Felda itu akan membawa satu transformasi seluruh warga Felda.

Beliau menambah, perubahan itu perlu diusahakan supaya amalan-amalan baik dapat ditingkatkan bukan saja melibatkan sosial tetapi juga perniagaan.

“Moto itu akan merangsang pemikiran warga Felda dan perubahan transformasi itu perlu dilaksanakan dalam erti kata sebenar,” katanya.

Najib menambah, beberapa aspek akan dilaksanakan dengan menyediakan kemudahan sosial yang semakin meningkat.

Beliau berkata, masyarakat Felda juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan menitikberatkan aspek seperti sifar masalah sosial dan menjalani kehidupan dalam suasana aman dan harmoni.

Katanya, ia secara tidak langsung akan melahirkan masyarakat luar bandar contoh di negara ini dan memenuhi impian ‘Felda Nombor 1 Di Dunia’.

Perdana Menteri memberitahu, beberapa perubahan dilaksanakan oleh Felda untuk seluruh masyarakat peneroka terutama generasi kedua dan ketiga terutama dalam aspek pendidikan.

“Sejak 2005 hingga 2009, Felda telah membelanjakan RM187.6 juta kepada lebih 8,000 anak peneroka yang mendapat pelbagai faedah menerusi peluang pendidikan,” katanya.

Di samping itu, Najib memberitahu, Felda juga mempelbagai sumber pendapatan menerusi projek tanaman hijau bagi meningkatkan pendapatan peneroka.

Beliau berkata, salah satu projek tersebut ialah Taman Laman Dapur atau Edible Garden yang membolehkan peneroka menanam pelbagai jenis sayuran di halaman rumah mereka.

Katanya, bagi membolehkan tanaman itu dapat dipasarkan, agensi itu bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Beliau menambah, para peneroka digalakkan menceburi projek-projek keusahawanan bagi mempelbagai sumber pendapatan mereka.

“Setakat ini kira-kira 35,000 orang telah terlibat dalam pelbagai jenis usahawan,” katanya.

Pada masa yang sama, Najib mahu peneroka melabur dalam saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan mereka apabila pemberian dividen diumumkan nanti.

Sumber : Utusan Malaysia

|
← Go back