banner-about_0.jpg

Oktober 23rd, 2017

KUALA LUMPUR - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang digunakan secara berhemah terbukti mampu mengubah taraf hidup mereka yang berpendapatan rendah.

Suri rumah Rafizai Zahruddin, 43, berkata, beliau memanfaatkan BR1M yang diterima dengan melaburkan wang tersebut dalam pengusahaan perniagaan biskut cip coklat secara kecil-kecilan.

"Ketika memulakan perniagaan biskut itu, saya bekerja di sebuah kedai kek di ibu kota dan suami merupakan kakitangan awam. Suami telah mencadangkan kepada saya untuk gunakan wang BR1M yang diterimanya bagi menambah pendapatan.

"Pada mulanya saya buntu nak berniaga apa sebab suami pesan mudah-mudahan wang itu boleh dikembangkan untuk keluar daripada kehidupan yang perlu berhutang serta sentiasa perlukan bantuan," katanya kepada Bernama.
 
Beliau berkata setelah berbincang mereka akhirnya nekad ingin memasarkan biskut cip coklat kegemaran tiga anaknya di beberapa kedai kek termasuk di tempat beliau bekerja.
 
Rafizai berkata beliau amat bersyukur kerana tidak menyangka dalam tempoh hanya tiga bulan perniagaannya mendapat sambutan luar biasa.
 
"Tidak sampai lima bulan saya sudah balik modal. Keistimewaan biskut resepi keluarga itu ialah menggunakan bahan yang ringkas dan tidak mahal serta dijual dalam pek bungkusan bercorak kartun yang digemari kanak-kanak.
 
"Saya cuma berbelanja lebih (modal) untuk konsep bungkusan biskut itu yang direka oleh suami agar kelihatan unik serta mudah disimpan selepas dibuka kerana bungkusan itu jenis zip kedap udara," katanya yang memutuskan untuk berhenti kerja dan memberi fokus sepenuhnya terhadap perniagaan itu.
 
Beliau berkata biskut keluarannya itu turut mendapat permintaan tinggi dari pasar raya kecil di ibu kota dan beberapa negeri lain selain menanam cita-cita menjadikan produknya lebih eksklusif dalam bentuk cenderahati.
 
Rafizai yang kini memiliki empat pekerja dan beroperasi dari rumahnya di Ampang sedang merancang untuk beralih daripada sistem manual kepada pengoperasian menggunakan mesin serta berazam untuk membuka kilang biskut suatu hari nanti.
 
Menurut laporan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 BR1M yang dimulakan sejak 2012 dengan peruntukan RM19.33 bilion telah disalurkan kepada individu dan isi rumah berpendapatan rendah.
 
BR1M direalisasikan bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam arus transformasi negara ke arah mencapai ekonomi yang inklusif, selain menambah baik kehidupan termasuk penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar, menurut laporan itu. - Bernama
Share in: