banner-about_0.jpg

Ogos 30th, 2017

PADA suatu ketika dahulu Malaysia begitu terkenal dengan kejohanan bola sepak Piala Merdeka yang diadakan ketika negara mahu menyambut Hari Kebangsaan. Pertandingan itu merupakan antara kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia.

Setiap tahun negara berjaya menarik minat Korea Selatan, Kuwait, Iran, Iraq serta negara-negara Asia Tenggara untuk menyertai pertandingan itu.

Stadium Merdeka akan sentiasa dibanjiri oleh penyokong bola sepak yang terdiri dari pelbagai kaum. Mereka akan menyorak dan memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pasukan Malaysia.

Menang atau kalah bukan isunya. Yang penting ialah semangat menyokong pasukan negara hingga ke wisel penamat. Kemenangan dan kekalahan dirasai bersama.

Dan kini negara berada di akhir pencapaian gemilang Sukan SEA 2017.

Penulis masih ingat lagi bagaimana Stadium Merdeka begitu meriah dengan sorak gempita para penyokong Malaysia apabila Malaysia memungut pingat emas dalam acara terakhir Sukan SEA 1977 iaitu bola sepak apabila menewaskan Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir.

Ketika itu wira-wira Malaysia terdiri daripada ketua pasukan Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukur Salleh, Bakri Ibni, Mokhtar Dahari, Isa Bakar dan juga James Wong. Sebelum itu, dalam perlawanan separuh akhir, Malaysia menewaskan Burma 9-1.

Apa yang membuatkan perlawanan bola sepak itu sa­ngat istimewa berbanding sukan lain yang dipertandingkan dalam Sukan SEA ialah sorakan dan sokongan yang kuat dan padu daripada para penyokong Malaysia terdiri dari pelbagai kaum.

Pada hari itu, walaupun tidak kenal dengan siapa di se­belah, namun apabila Malaysia menjaringkan gol, sama-sama penonton meraikannya dan ada berpelukan kegembiraan sebagai satu suara iaitu sebagai suara rakyat Malaysia.

Pastinya ada kalangan kita masih ingat perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 1989 apabila Malaysia bertemu musuh tradisi Singapura di Stadium Merdeka juga.

Malaysia memenangi perlawanan itu dengan jaringan 3-1 dan sekali lagi disaksikan sokongan tidak berbelah bahagi diberikan kepada pasukan bola sepak Malaysia dari semua rakyat tanpa mengira kaum serta fahaman politik.

Pada era itu, Malaysia merupakan kuasa besar bola sepak di rantau Asia dan telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali pada 1972 di Munich dan 1980 di Moscow.

Sayangnya pasukan bola sepak Malaysia tidak dapat beraksi berikutan penarikan diri Malaysia dari sukan tersebut kerana membantah tindakan Rusia me­nyerang Afghanistan.

Apabila kita melihat ahli-ahli sukan negara berlatih bersama, duduk sebilik, kemudian duduk semeja apabila makan tanpa pengasingan tempat mengikut bangsa, menunjukkan semangat dalam sukan boleh dipraktikkan dengan lebih meluas dalam kehidupan seharian.

Dan bagaimana pula dengan pasukan badminton yang telah menjuarai Piala Thomas pada 1992 dahulu. Apabila Rashid Sidek masuk ke gelanggang, seluruh rakyat Malaysia mahukan beliau mengutip mata yang pertama untuk negara. Begitu juga ketika Foo Kok Keong melayangkan badannya menyelamatkan mata, seluruh Malaysia menjerit ke­gembiraan mahukan Foo Kok Keong mencapai kemena­ngan.

Para penyokong tidak melihat Rashid Sidek sebagai pemain badminton Melayu dan Foo Kok Keong sebagai pemain badminton bangsa China. Mereka melihat kedua-dua pemain ini sebagai pemain Malaysia yang sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja untuk memastikan Piala Thomas kembali ke negara kita.

Dan saya berasa gembira apabila melihat hari ini di Sukan SEA bagaimana rakyat Malaysia tanpa mengira kaum masih memberikan sokongan sepenuhnya kepada para atlet negara.

Janganlah ada pihak menggunakan isu perkauman sebagai agenda untuk menaikkan nama mereka serta menjadikan mereka sebagai wira yang disayangi oleh bangsa mereka.

Tarikh 30 Ogos adalah hari akhir Sukan SEA dan esok Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan. Malaysia telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Pastinya sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih meriah.

PENULIS ialah Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Share in: