banner-about_0.jpg

September 11th, 2017

Pembinaan rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), membuka ruang untuk lebih ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya golongan muda memiliki rumah pertama mereka di Kedah.

Seorang suri rumah, Norhalila Salleh, 47, berkata, rumah PR1MA yang dibina itu dijual pada harga lebih rendah daripada harga pasaran, dan dilihat mampu dimiliki oleh golongan muda.

“Ini kerana kebanyakan rumah yang dibina di kawasan berstatus bandar seperti Sungai Petani, dijual pada harga RM100,000 ke atas dan ia melebihi kemampuan golongan yang berpendapatan rendah dengan purata gaji sekitar lebih RM1,000 sebulan.

“Harga yang tinggi ini menyebabkan ramai golongan muda memilih untuk menyewa atau terpaksa tinggal di rumah ibu bapa, termasuklah pasangan muda yang sudah mendirikan rumah tangga. Namun apabila rumah PR1MA dibina, mereka berpeluang memiliki rumah sendiri dan dapat hidup dalam keadaan lebih selesa,” katanya kepada Bernama, di sini.

Bagi penuntut jurusan Sains Komputer, sebuah institut pengajian tinggi (IPT) awam tempatan, Nur Fazira Ibrahim, 21, pula, pembangunan rumah PR1MA dilihat dapat membantu siswazah-siswazah yang baharu memasuki alam pekerjaan untuk mula membeli aset.

“Selepas tamat pengajian dan mula bekerja, selain perlu melunaskan pinjaman pengajian, lepasan IPT kini dilihat cenderung membeli sama ada kenderaan sebagai pengangkutan ke tempat kerja, atau rumah untuk didiami.

“Dengan penawaran harga yang mampu milik menerusi pembinaan rumah PR1MA, kami boleh memiliki aset sendiri pada usia muda, untuk dijadikan tempat berlindung di hari tua,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Mohamad Hafiz Jamil, 30, berkata, dia tertarik memohon rumah PR1MA bagi memenuhi impiannya memiliki rumah pertama.

“Harganya mampu milik malah rekaan juga moden, lalu saya mengemukakan permohonan menerusi laman web rasmi PR1MA untuk mendaftar berdasarkan kehendak dan kelayakan.

Permohonannya juga sangat mudah, selepas mendaftar, saya tunggu jemputan untuk menghadiri hari terbuka, di situ semua urusan dibuat secara sistematik termasuklah cabutan nombor rumah selain turut disediakan kaunter bagi memudahkan urusan pinjaman dengan pihak bank,” katanya.

Katanya lagi, dalam keadaan ekonomi semasa, adalah baik untuk golongan muda memiliki aset sendiri lebih awal.
“Pembinaan rumah PR1MA perlu diteruskan dan perhebatkan lagi pada masa hadapan dengan beberapa penambahbaikan seperti membina lebih banyak rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar utama.

Mungkin perubahan dapat dilakukan dari segi reka bentuk rumah, yang dilihat berupaya menarik minat lebih ramai golongan muda untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, terdapat 25,000 unit rumah PR1MA telah dan sedang dibina di seluruh daerah di negeri ini.

“Lebih tiga ribu unit rumah PR1MA di Sungai Petani sudah siap manakala projek-projek lain seperti di Pendang, Kulim, Alor Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap, sedang dalam proses pembinaan.

“Lebih banyak rumah PR1MA akan dibina untuk rakyat, termasuklah di Langkawi, dalam usaha membantu rakyat memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik untuk kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Menurutnya, manifesto kerajaan negeri menyediakan 40,000 unit rumah mampu kini hampir dipenuhi menerusi pelaksanaan rumah PR1MA serta projek pembangunan lain seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

“Selain 25,000 unit rumah PR1MA dan 8,000 unit rumah PPA1M, terdapat juga pembinaan rumah PPR yang melibatkan lebih 6,000 unit dan rumah-rumah yang dibina di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), justeru kita semakin hampir memenuhi sasaran pembinaan 40,000 unit rumah mampu milik di negeri ini.

Rumah-rumah ini pula dijual pada harga 20 hingga 30 peratus lebih murah dari harga pasaran, bahkan bagi memenuhi permintaan rakyat dari segi ciri keselamatan, terdapat juga kawasan perumahan yang berpagar dan berpengawal,” katanya. – BERNAMA

Share in: