banner-about_0.jpg

Januari 19th, 2017

SUNGAI PETANI 17 Jan. - Lebih ramai rakyat golo­ngan pertengahan kini berpeluang memiliki rumah menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) apabila syarat kelayakan pemohon serta tempoh menjual dan menyewa dikemaskini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, perubahan dua dasar itu membabitkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000 dan memendekkan tempoh menjual dan menyewa (moratorium) kediaman dari 10 kepada lima tahun.

Menurut beliau, langkah itu dilakukan sebagai usaha kerajaan untuk membolehkan hasrat rakyat memiliki rumah dapat direalisasikan.

“Perubahan ini membolehkan rumah PR1MA lebih mudah dimiliki dan boleh dipasarkan kepada golongan sasar. Walaupun kita melakukan perubahan ini, harga rumah PR1MA masih kekal rendah 20 peratus daripada harga pasaran. Saya lihat di sini, harga rumah PR1MA adalah RM270,000 berbanding RM470,000 harga untuk jenis kediaman yang hampir sama ditawarkan pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Komuniti PR1MA@Sungai Petani di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Terdahulu, Najib melawat rumah contoh Residensi PR1MA Sungai Petani 1 dan 2 sebelum menyerahkan replika kunci kepada 10 pemilik PR1MA@Sungai Petani.

Sebanyak 2,744 unit rumah dibina di kawasan tersebut berharga RM100,000 hingga RM400,000.

Dalam pada itu, Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa konsep 'satu bumbung' yang diperkenalkan Perbadanan PR1MA mampu membantu mempercepatkan proses pemilikan rumah.

“Di situ, pemohon boleh memilih lot rumah, memohon pinjaman dan khidmat guaman di bawah satu bumbung. Jadi, semua urusan (pemilikan rumah PR1MA) akan dapat diselesaikan dengan pantas dan menjimatkan masa. Selain itu, dalam pembentangan bajet lalu, saya juga ada mengumumkan mengenai skim pembiayaan akhir bagi membolehkan pembelian rumah oleh golongan sasar menjadi lebih mudah. Kita bukan sahaja nak membina rumah tetapi mahu memastikan mereka boleh memiliki rumah,” ujarnya.\

Katanya, kerajaan menyasarkan sebanyak 500,000 unit rumah PR1MA dapat dibina oleh Perbadanan PR1MA Malaysia pada masa akan datang.

Share in: