banner-about_0.jpg

Jun 7th, 2017

Sebuah keluarga Muslim dari China sentiasa bersemangat untuk menyambut Hari Raya di sini kerana ia lebih meriah berbanding di kampung halaman mereka. 

Ahli perniagaan dan pakar kaligrafi, Soleh Yu Xin Yue, 47, berkata sambutan Hari Raya di China lebih bersifat majlis peribadi kerana keluarga Islam di sana tiada budaya kunjung-mengunjungi atau membuat ‘rumah terbuka’ untuk tetamu.

“Tiada rumah terbuka, kami hanya melawat saudara rapat dan bukan kawan-kawan,” katanya dalam Bahasa Mandarin di bazar Hari Raya Aidilfitri di Angsana Mall, Johor Bahru.

Anak lelaki Yu, Jianming Abubaker, 26 yang boleh berbahasa Inggeris dan Melayu bertindak sebagai penterjemah untuk ayahnya.

Keluarga itu mempunyai sebuah gerai di bazar berkenaan, menjual rekaan seni kaligrafi Islam di atas kertas serta pinggan seramik dengan harga antara RM40 ke RM1,500.

Mereka sekeluarga berasal dari wilayah Gansu di tengah China dan menetap di Taman Mutiara Mas, Johor Bahru sejak tiga tahun lepas.

Keluarga itu juga mempunyai sebuah kedai menjual produk kaligrafi di Geylang, Singapura sejak 10 tahun lalu yang diuruskan seorang lagi anak lelaki Yu iaitu Mingying Idris, 32 yang juga telah berkahwin dengan seorang wanita Melayu dari Johor Bahru.

Yu berkata berus lukisan yang digunakan masyarakat Cina untuk kaligrafi terkenal di kalangan rakyat Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Saya sudah berkecimpung dalam dunia kaligrafi selama 26 tahun. Saya boleh menulis kaligrafi ayat Al-Quran di atas kertas kurang daripada 10 minit dan lama sedikit masa diperlukan untuk menulis di atas pinggan seramik,” jelas Yu yang juga fasih berbahasa Arab. 

Sementara itu, Jianming Abubaker berkata mee sup vegetarian, Lanzhou niu rou la mian dan teh hijau adalah menu wajib yang disediakan pada Hari Raya pertama keluarga Muslim di kampung halaman mereka.

Tambahnya, di sana juga mereka menghidangkan roti yang digoreng dengan inti madu sebagai snek, berbeza di Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis kuih raya.

“Sekarang, kami juga menyajikan briyani kambing, satay, ketupat dan rendang kepada tetamu Malaysia yang mengunjungi kami pada Hari Raya,” kata Jianming Abubaker sambil menambah yang keluarganya juga sudah biasa menggunakan pelbagai rempah-ratus tempatan.

 

(Artikel telah diterjemah dari artikel asal)

Share in: