banner-about_0.jpg

Jun 5th, 2017

SUNGAI SIPUT: Penganjuran majlis berbuka puasa berkonsepkan percampuran kaum bersama masyarakat bukan Islam perlu digalakkan dan diperbanyakkan dalam usaha memupuk perpaduan.

Penceramah terkenal, Datuk Mohammad Kazim Elias, berkata ia sekali gus mampu menjadi satu bentuk pendekatan dakwah dalam mendekatkan bukan Islam kepada Islam. 

"Rasulullah sendiri pun menyuruh kita membuat jamuan makan kerana dengan mengadakan perkara demikian akan menarik hati dan mendatangkan perasaan sayang. 

"Jadi, apa yang dibuat ini (majlis berbuka pelbagai kaum) adalah satu usaha yang bagus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Datuk Ustaz Kazim Elias (DUKE) di Warisan Coffee House di Hotel MH di sini malam ini. 

Yang turut hadir, Guru Bahasa Mandarin Pusat Pendidikan Al Barakah, Lim Yean Meng dan Pemilik Warisan Coffee House, Nazeri Hussain. Mohammad Kazim berkata, beliau melihat sejak kebelakangan ini masyarakat bukan Islam turut menonton dan mengikuti program ceramahnya di televisyen. 

Mengenai majlis berbuka puasa itu, katanya, lebih 100 hadirin daripada pelbagai kaum termasuk keturunan Sikh menghadirinya yang menunjukkan sikap keterbukaan Islam terhadap penganut agama lain. 

"Program berbuka malam ini juga adalah satu peluang mereka bertemu saya dan secara tidak langsung dapat menerangkan apa itu puasa kepada yang berlainan agama dan bangsa," katanya.

Beliau berkata selain daripada program itu, ramai orang bukan Islam turut menyertai program keagamaan bersamanya yang lain seperti menaiki kapal pelayaran dan program ziarah di beberapa negeri termasuk di Sabah.
 

Share in: