banner-about_0.jpg

September 6th, 2017

Lapan tahun lalu, konsep 1Malaysia diperkenalkan dengan membawa idea perpaduan dalam kepelbagaian atau ‘unity in diversity’. Menerusi idea ini, perpaduan tanpa mengira bangsa, latar belakang atau perbezaan agama diutamakan demi masa hadapan yang lebih baik.

Konsep ini diterima sebagai sebuah pendekatan bagi mencapai perpaduan nasional sejak ia dilancarkan pada Jun 2009 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebagai salah satu inisiatif yang merangkumi prinsip berasaskan kebersamaan dan kesatuan, lapan nilai-nilai aspirasi telah diperkenalkan bagi mendukung 1Malaysia yang bukan sahaja sebuah konsep malah asas dalam proses membina sebuah negara.

Menerusi konsep itu, produk-produk 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Klinik 1Malaysia (K1M), Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diperkenalkan untuk kesejahteraan bersama rakyat selain membantu mereka menangani kos sara hidup.

Inisiatif-inisiatif ini akan diteruskan lagi dan ditambah baik bagi memastikan setiap orang mendapat manfaatnya. Dengan adanya Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan ekspo serta kembara yang giat dijalankan kerajaan, kemudahan-kemudahan ini lebih mudah diakses dan dicapai oleh rakyat Malaysia.

Contohnya dengan pengenalan KR1M 2.0 yang sedang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, penambahan K1M seluruh negara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta SL1M yang menawarkan ribuan pekerjaan di bawah kendalian Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Seiring dengan usaha-usaha yang dijalankan, ikon 1Malaysia kini diperbaharui dan dijenamakan semula sebagai ‘1Malaysia Negaraku’. Kehadiran ikon baru ini membuktikan identiti 1Malaysia masih wujud dan ia tidak pernah diketepikan.

Malah, pengenalan baru ini memperkukuhkan lagi idea nilai-nilai adat dan budaya rakyat Malaysia yang membawakan mesej kebersamaan, kebersatuan, kerjasama dan saling hormat-menghormati telah dikongsi sejak sekian lama.  

1Malaysia Negaraku adalah simbol kekuatan perpaduan yang sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup kita. Ia bukan sekadar sebuah konsep tapi ia adalah identiti kita, legasi perpaduan yang telah kita pegang sejak sekian lama.

Identiti perpaduan rakyat Malaysia.

 

 

Share in: