Perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54 | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54
Jun 13th, 2011 by Najib Razak

1.         Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda sekalian. Saya memanjatkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan Inayah-Nya dapat kita bersama-sama menjayakan serta menghayati Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54 Tahun 1432 Hijrah bersamaan 2011 Masehi ini.

2.         Setulusnya, majlis yang diadakan setiap tahun ini merupakan satu simbol kepada komitmen murni berterusan pihak kerajaan dalam memartabatkan al-Quran di negara ini. Kerajaan juga turut menganjurkan Majlis Tilawah peringkat antarabangsa saban tahun dengan penuh istiqamah. Ini adalah kerana, Majlis yang sepenting ini sudah semestinya akan membawa impak berterusan kepada kekuatan1Ummah.

3.         Sesungguhnya, Allah SWT telah menyatakan dengan tegas bahawa Al-Quran itu adalah pedoman untuk seluruh umat manusia bagi mencapai kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Tuntunan qurani yang dibawa oleh wahyu suci ini, telah memerdekakan manusia daripada pemikiran dan kegelapan jahiliyah kepada cahaya keimanan dan kemuliaan insan.

4.         Umumnya mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah dimuliakan dengan berpuluh mukjizat, namun Al-Quran merupakan mukjizat baginda yang paling agung. Al-Quran akan tetap relevan untuk setiap tempat dan sepanjang zaman. Mukjizat Al-Quran tidak terhenti untuk suatu masa atau tempat, malah mukjizat ini akan kekal memandu kepada kesejahteraan dan kemajuan hidup umat manusia sejagat. Apa yang tinggal, terpulang kepada kitalah untuk terus menggali dan menggarap kandungan kitab suci yang merupakan Kalam Allah ini.

5.         Mendasari itu, antara asas terpenting yang diajarkan oleh Al-Quran bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran ialah perpaduan dan keharmonian. Inilah ramuan terpenting yang perlu dirukuni mana-mana bangsa atau negara yang inginkan kemajuan. Walau seindah mana tema dan slogan, sehebat mana pun gagasan dan wawasan; tanpa perpaduan dan keharmonian ini, semuanya tidak akan bermakna sama sekali.

6.         Inilah sunnah yang telah ditunjukkan dalam sirah Rasulullah SAW ketika Baginda tiba di bumi Madinah. Bagi membangunkan masyarakat Madinah ketika itu, pertamanya Rasulullah SAW telah mengukuhkan persaudaraan sesama Islam dan mengharmonikan hubungan antara kabilah. Ini adalah manifestasi ajaran Al-Quran yang telah diterjemahkan secara nyata melalui Piagam Madinah oleh Rasulullah SAW dan warga Madinah yang majmuk sifatnya.

7.         Hakikatnya, keunikan negara Malaysia adalah kerana kemajmukannya. Sebagai satu masyarakat berbilang kaum, amat penting untuk mempertahankan dan mengukuhkan persefahaman dan keharmonian antara kita. Sebagaimana di Madinah dahulu, Rasulullah SAW mengukuhkan dua sisi perpaduan, iaitu perpaduan sesama umat Islam dan perpaduan warga pelbagai kabilah; maka formula ini juga perlu dihayati di Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

(Keharmonian Melalui Kepelbagaian)

8.         Sesungguhnya, harga sebuah keamanan terlalu tinggi nilainya. Sebab itulah kerajaan sentiasa memantau dan memelihara sensitiviti rakyat terhadap isu-isu agama yang dicetuskan oleh pihak tertentu yang sengaja mencurah minyak ke dalam api. Bahkan ada segelintir pihak yang suka melihat api di dalam sekam semakin marak, walaupun kelihatan elok pada zahirnya, tetapi bara yang membakar di dalamnya, boleh menjadi api yang semakin membesar dan akan memusnahkan segala harta benda, malah nyawa akan melayang.

9.         Saya berkeyakinan, dalam menangani isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama, antara pendekatan paling sesuai bagi mewujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama ialah membudayakan pendekatan secara dialog. Dialog ini mestilah berasaskan keikhlasan dan kematangan bagi mencapai persefahaman dan keharmonian. Saya melihat, dalam konteks hubungan antara-agama, sekiranya dialog ini didukungi dan disantuni oleh golongan tokoh agama masing-masing, ia pasti akan melahirkan impak positif yang berganda kepada rakyat .

10.       Percayalah bahawa keharmonian dan keamanan ini mestilah dipertahankan dan dikekalkan dengan meraikan kepelbagaian dan kemajmukan yang sedia ada. Inilah keunikan negara Malaysia kita. Janganlah disebabkan nyamuk seekor, kelambu dibakar. Dan janganlah disebabkan dua-tiga isu remeh-temeh yang tidak sependapat, maka kita sanggup menggadaikan keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Pertelingkahan dan persengketaan hanya akan menatijahkan kelemahan, sebagaimana ingatan Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud:

” …dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

11.       Bersulamkan benang kedamaian, makanya kerajaan telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia bagi mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat berpaksikan keutuhan perpaduan. Jika diteliti dengan menggunakan minda yang terbuka, Gagasan 1Malaysia adalah manifestasi konsep 1Ummah yang dituntut oleh Islam; sebagaimana pembinaan Kota Madinah oleh Rasulullah SAW yang mengutamakan kesatuan rakyat dengan menghormati kepelbagaian agama dan bangsa yang wujud ketika itu. Manakala melalui Piagam Madinah, dengan tuntas mendasarkan soal hak dan tanggungjawab penduduk Madinah tanpa mengira kabilah dan agama.

12.       Pada ketika itu, kesemua warga mempunyai hak keselamatan, keadilan dan mendapat pembelaan serta kebebasan beragama selagi mana tidak mengancam keselamatan negara. Maka dalam konteks negara, kita mestilah mengadaptasi kebijaksanaan nabawi ini melalui gagasan 1Malaysia dalam mewujudkan satu sistem nilai, toleransi dan budaya hidup setiap rakyat Malaysia tanpa mengira ras, bahasa dan agama.

Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian,

(Kekuatan 1Malaysia 1Ummah Melalui Kesederhanaan)

13.       Pada hemat saya, ungkapan ’1Malaysia 1Ummah’ yang menjadi tema Majlis kita pada kali ini, mempunyai hikmah yang mendalam dan amat menepati keperluan semasa rakyat Malaysia dan umat Islam keseluruhannya. Kita semestinya akur bahawa Malaysia mempunyai rakyat yang terdiri dari pelbagai bahasa, budaya, agama dan tradisi kehidupan. Maka, hanya dengan jaminan keharmonian kaum di negara ini sahaja kita akan dapat memastikan segala usaha untuk terus membangunkan dan memajukan negara ini akan dapat dicapai.

14.       Berlatarkan senario ini, memupuk sikap toleransi dan penerimaan kaum dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Melanau, Iban, Kadazan-Dusun, Bidayuh, Bajau, Senoi dan lebih 200 suku etnik perlu terus menerus diperkasakan. Menyentuh dan mempolemikkan perkara-perkara yang sensitif dalam hubungan kaum dan agama ini perlulah dielakkan. Kontrak sosial, latar belakang sejarah dan Perlembagaan negara perlu menjadi kerangka panduan dalam membina1Malaysia yang maju dan harmoni, seterusnya menjadi 1Ummah yang hebat.

15.       Sememangnya, pemimpin awal negara telah merintis jalan dengan penuh kebijaksanaan menerusi penerapan konsep wasatiyyah dalam mengurustadbir negara ini. Melalui Perlembagaan Persekutuan amat jelas asas kesederhanaan ini telah digariskan. Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan pula, menjadi pengukuh kepada konsep kesederhanaan dan keseimbangan yang disebutkan sebelum ini.

16.       Jika diamati, konsep inilah yang menjadi ramuan utama kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai ‘Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain dijamin kebebasan untuk diamalkan oleh penganutnya’. Sejak sekian lama, kita juga mengamalkan keseimbangan dalam pengagihan kekayaan, kuasa politik dan penggunaan bahasa kebangsaan.

17.       Pastinya, merujuk kepada ajaran Al-Quran yang suci, pengotaan perpaduan dan keharmonian ini akan hanya menjadi realiti apabila kita berpegang dengan konsep kesederhanaan tersebut. Penghayatan kepada konsep ini akan memupuk integriti dan membajai keadilan untuk rakyat jelata secara keseluruhannya.

18.       Ketika memberikan ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ketujuh di Astana, Kazakhstan minggu lalu, saya juga turut berkongsi hal ini dengan 50 pemimpin negara Islam yang hadir, tentang peri pentingnya tadbir urus Islam yang baik melalui  prinsip keterbukaan, kejujuran dan ketelusan. Resipi ini amat perlu bagi menjadikan kita sebagai 1Ummah yang maju, moderate dan dihormati oleh negara –negara luar yang lain.

19.       Bertatahkan prinsip itu, di kesempatan ini, saya menyeru umat Islam agar sentiasa meningkatkan lonjakan minda melalui penguasaan ilmu. Kita mahu melahirkan umat Islam yang mampu berijtihad menepati tuntutan al-Quran. Generasi ini amat diperlukan kerana mereka berupaya menyelami hikmah dan tuntutan syariah semasa. Seterusnya masyarakat Islam akan berjaya melakar jati diri unggul meliputi aspek sosial, politik, ekonomi, pendidikan, kenegaraan dan sebagainya.

Tuan-Tuan dan puan-puan sekalian,

(Mengutamakan KEBAJIKAN Rakyat Menerusi Agenda Transformasi Negara)

20.       Pihak kerajaan  merencanakan Gagasan 1Malaysia menerusi slogan ‘Rakyat Didahulukan’ demi memastikan kemakmuran negara dan  menjamin kebajikan rakyat. Komitmen ini sememangnya menjadi teras perjuangan kerajaan sejak dulu hingga kini dan semakin terserlah di dalam bajet-bajet tahunan yang dibentangkan saban tahun. Di mana bajet untuk kebajikan, pendidikan dan pembangunan ekonomi sememangnya diberikan keutamaan.

21.       Justeru, mempertahankan kemakmuran dan kebajikan rakyat bukanlah perkara dan agenda baru, bahkan merupakan antara akar utama perjuangan kerajaan sekian lama. Bagi memperjelaskan lagi hal ini dalam bentuk yang lebih tangible, saya telah memperkenalkan program-program transformasi yang holistik, baik dari segi tadbir urus kerajaan, sosial mahupun ekonomi.

22.       Biarpun kita menyasarkan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, namun begitu, agenda pembangunan Islam tidak kita pinggirkan. Malah kita mengiktiraf sepenuhnya peranan golongan agama dalam memacu negara kepada wawasan 2020 yang disasarkan. Ini terbukti  apabila kerajaan telah memastikan pendapatan guru KAFA, guru takmir masjid dan para imam kita benar-benar melepasi tahap kemiskinan melalui kenaikan elaun bulanan mereka mulai tahun 2011 ini, jelas menunjukkan kita benar-benar mendahulukan kebajikan rakyat!!

23.       Tambahan pula, bagi mencapai negara berpendapatan tinggi; maka antara kandungan utama program pengisiannya ialah peningkatan kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara realistik dan mapan. Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang telah dilaksanakan menyasarkan program dan aktiviti ekonomi yang jelas matlamat dan impaknya. Justeru agenda kebajikan dan kemakmuran negara yang seimbang telah menjadi natijah akhir yang ingin dicapai. Ini sesuai dengan saranan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang tidak meninggalkan akhiratnya kerana dunianya; dan tidak meninggalkan dunianya kerana akhiratnya, dan tidak menjadi beban kesusahan ke atas manusia.” (Hadis riwayat al-Khatib)

24.        Akhir kalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para Qari dan Qariah seramai 29 orang ini, agar persembahkanlah dan hayatilah bacaan anda semua dengan sebaik-baiknya. Kepada bakal Qari dan Qariah yang akan dinobatkan sebagai Johan nanti, buatlah persediaan yang terbaik pula untuk bersaing di di dalam Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa bagi mengharumkan nama negara di persada dunia. Insya-Allah. Saya ucapkan setinggi syabas dan tahniah kepada JAKIM dan kerajaan Negeri Sarawak serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran tilawah Al-Quran pada malam ini.

25.       Bersamalah kita memohon dan memanjatkan keizinan serta keredhaan dari Allah SWT, agar cita-cita dan usaha kita dalam membina generasi Al-Quran  serta membangun 1 negara bangsa yang harmoni dan aman akan diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT jua, Insya-Allah.

26.       Berlandaskan iltizam dan doa tersebut, dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim”, sukacitanya sayamerasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat KebangsaanKali Ke-54 Bagi Tahun 1432 Hijriah bersamaan Tahun 2011 Masihi.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

|
← Go back