Share:
Share on Facebook
 Blog
Balik Kampung
Ogos 27th, 2011 by Najib Razak

Tidak lama lagi, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan seperti biasa, lebuhraya di seluruh negara sudahpun sesak penuh dengan kereta yang menghala keluar dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Sudah menjadi kelaziman setiap tahun, pada waktu cuti perayaan begini, warga kota akan beramai-ramai “berhijrah” buat sementara ke kampung halaman masing-masing.

“Penghijrahan” secara besar-besaran ini, yang lazimnya berlaku pada cuti Hari Raya Aifidlfitri dan Tahun Baru Cina, telah secara tidak rasminya menjadi sesuatu penting dalam budaya rakyat Malaysia. Fenomena balik kampung ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia akan tetap kembali ke kampung halaman mereka biarpun sudah mempunyai kehidupan yang selesa di bandar. Walaupun ramai antara generasi baru kita yang telah dilahirkan dan dibesarkan di bandar, konsep “balik kampung” sudah terlalu manatap dalam budaya kita sehinggakan generasi ini turut menerimanya sebagai sebahagian daripada cara hidup mereka sebagai rakyat Malaysia.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa ada juga diantara kita yang sudah menganggap bandar itu sebagai kampung halaman mereka kerana tidak lagi mempunyai kampung. Keadaan ini semakin jelas di Kuala Lumpur, yang pada dahulunya, pada sekitar tahun 80-an, akan menjadi sebuah bandaraya yang sunyi sepi pada musim Hari Raya. Kini, Kuala Lumpur sudah pula menjadi kampung halaman mereka. Selain itu, ada juga yang mengambil cuti panjang ini sebagai satu peluang untuk pergi bercuti ke luar negara. Bagi saya dan keluarga pula, seperti tahun-tahun lepas, kami akan berada di Putrajaya dan Kuala Lumpur pada beberapa hari pertama Aidilfitri. Walau bagaimanapun saya amat berterima kasih kerana mempunyai banyak sebab dan peluang untuk balik ke kampung halaman saya di Pekan sepanjang tahun dan bukan untuk Hari Raya Aidilfitri sahaja.

Pada masa yang sama, kawasan kampung ini sedang mengalami satu perubahan sosio-ekonomi. Pada Oktober tahun lepas, Kerajaan telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar dan penduduk kampung, serta mentransformasikan kawasan-kawasan luar bandar di seluruh negara. Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan peluang ekonomi dan keusahawanan bagi rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar, tanpa mengorbankan alam sekitar dan tradisi serta budaya yang dinilai tinggi yang berpunca dari persekitaran ini.

Walaupun sudah semakin banyak kawasan luar bandar yang telah mengalami transformasi dan pembangunan, konotasi unik pada konsep “kampung” ini kekal menjadi elemen yang penting dalam budaya dan ekonomi kita. Industri kampung contohnya, dalam peranannya menghasilkan produk-produk tempatan seperti batik, kraftangan dan produk makanan seperti dodol dan keropok, tetap menjadi satu bahagian yang penting dalam ekonomi kita. Kini, produk-produk tersebut sudah tidak semestinya dibuat dalam keadaan kampung yang tradisional seperti dahulu lagi. Kini kebanyakannya industri ini disusahakan di bengkel-bengkel dan kilanga-kilang perindustrian kecil yang dilengkapkan dengan teknologi terkini. Walaupun begitu, produk-produk ini tetap mempunyai daya tarikannya yang tersendiri yang dikaitkan dengan gaya hidup “kampung”, dan akan terus dihasilkan dalam lingkungan dan struktur kampung yang kita kenali.

Arwah ayahanda saya telah giat memperjuangkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar, khususnya sewaktu beliau memagang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar. Di bawah pimpinannya, jalan dan jambatan telah dibina untuk memperbaiki hubungan darat; sekolah, klinik, dan dewan komuniti dibina; jaringan bekalan air dan elektrik diluaskan, dan proses pertanian moden telah diperkenalkan. Hari ini, program-program seperti Karnival Usahawan Desa yang diadakan setiap tahun menyambung usaha untuk menaiktaraf kedudukan ekonomi usahawan desa melalui bantuan dan nasihat agar mereka dapat merealisasikan potensi pasaran produk mereka, termasuk ke pasaran luar negara.

Dalam kita bergerak ke hadapan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, kita tidak seharusnya melupakan kampung halaman kita, walau sejauh mana kemodenan yang telah dilalui oleh kampung kita itu. Tidak kira di mana destinasi kampung halaman anda samada di kawasan bandar mahupun luar bandar, saya doakan agar perjalanan anda selamat hendaknya pada Aidilfitri ini. Kepada rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, semoga anda menikmati hari cuti ini, dan diharap anda juga dapat turut serta bersama rakan-rakan beragama Islam dalam menyambut Aidilfitri yang indah ini.

Tags:

|
← Go back