Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Baru-baru ini saya telah melancarkan ikon 1Malaysia Negaraku yang merupakan gabungan falsafah 1Malaysia dan inisiatif Negaraku, yang dilancarkan Mac lalu.

Kedua-dua inisiatif yang membawa makna mendalam; falsafah 1Malaysia membawa idea perpaduan yang meraikan kepelbagaian sesama rakyat, sementara istimewanya inisiatif Negaraku pula adalah setiap laungannya pasti disambut dengan sahutan ‘Malaysia!’ oleh rakyat yang cintakan negara.

Tambahan pula, pelbagai produk dan perkhidmatan telah diilhamkan dari falsafah 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, Skim Latihan 1Malaysia, yang banyak membantu kehidupan rakyat.

Natijah penggabungan kedua-dua konsep ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan yang seolah-olah falsafah 1Malaysia yang diperkenalkan sejak 2009 ini telah diabaikan.

Sebaliknya konsep 1Malaysia Negaraku ini mampu menjadi titik tolak penyatuan yang baru sesama rakyat bersempena sambutan ke-60 Hari Kebangsaan kita.

Di bawah konsep 1Malaysia Negaraku ini, segala fahaman yang hanya menggalakkan perpecahan kini, akan kita buang jauh-jauh kerana memahami yang seluruh Malaysia ini adalah milik kita bersama.

Segala bentuk hasutan melampau yang meletakkan kepentingan diri dan kumpulan sendiri semata-mata sebagai agenda utama haruslah kita nyahkan dari pemikiran rakyat Malaysia.

Saya berharap di bawah konsep 1Malaysia Negaraku ini agar rakyat bukan sahaja boleh bersatu padu tanpa mengira perbezaan mereka tetapi juga bersama-sama mengekalkan kesejahteraan negara kerana bangga dengan tanah air kita sendiri.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh