banner-about_0.jpg

September 13th, 2017

GEORGE TOWN: Dek rasa cinta yang mendalam kepada negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah menangis bagaikan seorang anak kecil ketika berlaku rusuhan 13 Mei 1969.

ASP Owen Chung, bekas pegawai pengiring Tunku yang mendedahkan perkara itu berkata kesedihan Tunku tidak lagi dapat dibendung kerana Bapa Kemerdekaan Negara itu sangat mementingkan perpaduan nasional.

“Tunku hanya akan menangis apabila terlalu sedih. Beliau bercerita kepada saya mengenai kesedihannya.

“Rusuhan-rusuhan ini membuatkan beliau berasa kerja keras dan usahanya untuk menyatukan rakyat hanyalah sia-sia.

Jelas Chung yang berusia 85 tahun, Perdana Menteri pertama itu tidak pernah mengharapkan sebarang balasan terhadap usaha-usahanya.

“Beliau berkata kita mesti menyatukan Melayu, Cina, India malah Eurasian. Barulah negara makmur. Beliau langsung tak mengharapkan perkara lain,” kata Chung, cicit Kapitan Chung Keng Kwee yang merupakan seorang pemimpin dalam komuniti Cina di Pulau Pinang dan Perak pada lewat 1880-an. 

Chung yang menjadi pegawai pengiring Tunku pada tahun 1972, juga bercerita mengenai sebuah insiden di mana Tunku telah membantu ibu seorang kontraktor yang mahu berhijrah dari China ke Malaysia.

Kontraktor itu terhutang budi dengan Tunku tapi beliau menolak untuk menerima apa-apa. 

“Tunku berulang kali memberitahu saya, ‘Owen, apa yang bukan hak milik kita, jangan ambil'. Beliau adalah seorang lelaki yang berprinsip. Beliau selalu berpesan kepada saya, jangan ambil apa-apa,” tambah Owen, yang berkhidmat untuk Tunku sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1990. 

Chung malah berkata apa yang ada pada hari ini adalah hasil pengorbanan besar Tunku. 

Katanya di akhir hayat Tunku, beliau hanya membenarkan enam orang sahaja berada dalam biliknya semasa dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya antara yang Tunku panggil. Saya rasa dihormati,” tambahnya lagi. 

(Artikel telah diterjemah daripada artikel asal)

Share in: