banner-about_0.jpg

September 5th, 2017

Masih belum terlambat untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kontinjen negara yang telah melakar begitu banyak kejayaan manis serta luar biasa sepanjang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Kejayaan temasya ini bukan sahaja dilihat dari segi pencapaian jumlah pingat yang telah diraih tetapi juga sebagai sebuah acara yang telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, etnik, agama, budaya, warna kulit mahupun fahaman politik.

Semuanya bersama-sama hadir dan memberikan sokongan jitu buat wira dan wirawati negara sepanjang penganjuran temasya dari 14 hingga 30 Ogos lepas yang memperlihatkan penyertaan 404 acara oleh skuad negara.

Bukan sahaja berjaya melepasi pungutan 111 pingat emas seperti yang disasarkan, malah ia lebih manis apabila kita menjadi juara keseluruhan temasya tersebut dengan meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Senarai kutipan pingat keseluruhan oleh atlet-atlet negara di KL2017

 

Pencapaian membanggakan ini ibarat sebagai ‘hadiah’ kepada negara yang secara kebetulan menyambut Hari Kebangsaan, sehari selepas penutup temasya.

Kegembiraan berganda itu turut menjadi kenangan manis untuk seluruh rakyat Malaysia!

Bagi berkongsi kejayaan ini, Majlis Sukan Malaysia (MSN) telah mendirikan ‘Wall of Fame’ di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Di sini, wajah setiap satu penyumbang pingat emas negara dipaparkan. Bermula daripada acara chinlone yang mendapat emas sulung negara hinggalah ke emas terakhir yang disumbangkan pasukan luncur ais lelaki negara.

Pasukan akuatik antara yang paling menyerlah pada temasya itu apabila menyumbangkan pingat emas terbanyak buat negara. Kejayaan Gan Hua Wei membuka tirai kemenangan sukan ini, sebelum disusuli  rakan seperjuangan termasuk Welson Sim dan atlet-atlet Olimpik penerjun negara seperti Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong serta Nur Dhabitah Sabri.

Sejarah turut tercipta pada KL2017 apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menjadi kerabat diraja pertama yang menyertai temasya tersebut. Baginda yang mewakili skuad ekuestrian negara turut cemerlang apabila mencatat rekod baharu dalam acara kuda lasak individu sekaligus menggondol pingat emas buat Malaysia.

Tidak kurang hebat, Juara Keirin Dunia, Azizulhasni Awang yang memungut emas ke-111 negara, tepat pada sasaran!

Wajah atlet-atlet muda dan baharu seperti Jellson Jabillin, Gabriel Gillbert Daim dan Adam Yoong Hanifah pula membuktikan usia dan pengalaman bukan satu penghalang untuk beraksi cemerlang dalam kejohanan peringkat Asia Tenggara ini.

Lebih mengejutkan, atlet-atlet Paralimpik negara seperti Muhamamd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly buat julung kali diberi peluang untuk bersaing dengan atlet lain tanpa mengira perbezaan antara mereka.

Prestasi atlet-atlet negara ini seharusnya dipuji dan diberi penghormatan atas usaha mereka bertungkus-lumus berbakti kepada negara. Mereka bukan sahaja telah berjaya mengharumkan nama Malaysia, malah berhasil menjadi ejen nadi perpaduan rakyat.

Semoga kejayaan mereka ini akan dapat diulangi serta ditambah baik pada temasya Sukan SEA edisi ke-30 yang akan berlangsung di Manila, Filipina pada 2019 nanti.

Ayuh Malaysia! Teruskan rentak kemenangan ini! Semarakkan api perpaduan untuk menyokong atlet-atlet negara kerana perjuangan mereka masih belum selesai.

Selepas ini bermula 17 hingga 23 September, Sukan Para Asean 2017 pula menanti. Marilah kita bangkit bersama memberikan sokongan yang lebih jitu kepada atlet paralimpik kita supaya mereka menjadikan kelainan pada diri sebagai satu ‘kekuatan luar biasa’ untuk melakar penghormatan buat negara.

Bangkit Malaysia, kita sahut cabaran untuk #CiptaSejarahBersama. Semuanya demi 1Malaysia Negaraku!

Share in: