banner-about_0.jpg

February 14th, 2017

KUALA LUMPUR: Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) memperkenalkan Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) bagi membantu golongan berpendapatan pertengahan memiliki rumah sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias berkata skim itu menawarkan akses kepada jumlah pinjaman lebih tinggi dan membolehkan pembeli yang layak membayar ansuran bulanan pinjaman rumah pada kadar lebih rendah daripada pinjaman biasa.

Beliau berkata skim itu juga meningkatkan peluang kepada pembeli rumah pertama untuk mendapat pinjaman daripada pihak bank.

"PR1MA perkenalkan skim khas dikenali Skim Pembiayaan Fleksibel bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan pertengahan untuk memiliki kediaman sendiri.

"Skim SPEF merupakan kerjasama antara Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan empat bank tempatan iaitu Maybank, CIMB, RHB, dan Ambank," katanya dalam sidang media bagi memperkenalkan SPEF di sini, Isnin.

Menurutnya asas SPEF adalah pembiayaan 'step-up' atau berperingkat tanpa melibatkan pengeluaran mana-mana akaun KWSP manakala kaedah pembiayaan 'step-up' kedua adalah dengan pengeluaran akaun 2 KWSP, dan dalam tempoh lima tahun pertama hanya faedah yang perlu dibayar, bergantung kepada pilihan pembeli.

Jelasnya, pembayaran bagi jumlah 'principal' atau bayaran asas hanya akan dibuat mulai tahun keenam sehingga pembayaran pinjaman selesai.

"Pilihan 'step-up' berserta dengan pengeluaran dari akaun 2 KWSP bermaksud para pembeli kediaman PR1MA memperoleh akses kepada jumlah pinjaman yang lebih tinggi mengikut kemampuan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Mutalib berkata PR1MA menyasarkan untuk menyiapkan 15,000 unit rumah di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya setakat Januari lalu sejumlah 260,188 unit kediaman telah diluluskan oleh Anggota Perbadanan PR1MA dan sebanyak 132,352 unit kediaman kini dalam proses pembinaan. - BERNAMA

Share in: