banner-about_0.jpg

January 9th, 2017

PUTRAJAYA 5 Jan. – Kerajaan sedang mengkaji mekanisme baharu supaya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diselaraskan dengan latihan kemahiran dan keusahawanan untuk para pene­rimanya memajukan diri.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, kajian juga sedang dilaksanakan untuk menstrukturkan BR1M bagi memudahkan para penerimanya membeli makanan dan barang-barang keperluan asas.

“Kita sedang mengkaji untuk penerima-penerima BR1M dapat berbelanja dengan bijak, sete­rusnya meningkatkan kapasiti serta kemahiran mereka dalam pasaran kerja atau menjadi usahawan.

“Kita perlukan kajian teliti sebelum memperkenalkan meka­nisme baharu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Mohd. Irwan Serigar, menerusi inisiatif dalam Bajet 2017, kerjasama antara kerajaan, Proton serta Bank Simpanan Nasional akan membantu pe­nerima-penerima BR1M untuk membeli Proton Iriz, seterusnya menjadi pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan dalam talian seperti Uber bagi menjana pendapatan.

“Dengan ini, kerajaan mengga­lakkan rakyat miskin untuk keluar daripada kumpulan 40 peratus isi rumah berpendapatan terendah (B40),” katanya yang membe­ritahu inisiatif tersebut akan dilaksanakan tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, BR1M bukan rasuah kerana bantuan tersebut adalah pemberian ikhlas kerajaan untuk meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.

Jelasnya, kajian terbaharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 83.4 peratus daripada penerima-penerima BR1M sangat bersetuju untuk program bantuan tersebut dite­ruskan.

Katanya, BR1M juga merangsang kegiatan ekonomi domestik dengan perbelanjaan yang dilakukan oleh para penerimanya.

Mengulas mengenai persepsi negatif terhadap bantuan kewa­ngan itu, beliau berkata, BR1M sebenarnya memberi makna yang besar kepada para penerimanya kerana bantuan kewangan itu digunakan untuk membeli makanan dan barang-barang keperluan.

“Mereka yang mengkritik ini, di satu sudut mereka tidak suka kos hidup yang tinggi, di satu sudut lagi mereka tidak suka kita memberi BR1M, semua yang kita lakukan adalah tidak betul kepada mereka tetapi apa kita lakukan ini sebenarnya untuk membantu negara,” katanya.

Ujarnya, program bantuan berbentuk wang tunai tidak hanya dilakukan di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain termasuk Australia, Brazil, Bulgaria, Hungary dan Indonesia.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor juga mempunyai pelbagai program bantuan kepada rakyat di negeri berkenaan termasuk Program Bantuan Food Stamp, Skim Mesra Usia Emas, Air Percuma, Program Bantuan Ibu Emas, Program Penghargaan Warga Emas dan Program Anak Emas.

“Adakah semua bantuan diberi oleh negeri-negeri tersebut boleh dikategorikan rasuah. Tentunya tidak,” katanya.

Share in: