banner-about_0.jpg

September 29th, 2017

PUTRAJAYA: Program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 yang bakal dilancarkan selewat-lewatnya pertengahan Oktober ini akan dibangunkan secara lebih menyeluruh berbanding hanya satu KR1M bagi setiap Parlimen sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata buat masa ini lebih 10 syarikat sudah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan KR1M.

Katanya, KR1M 2.0 akan menggunakan strategi berbeza, namun masih mengekalkan tumpuan utama untuk meringankan beban rakyat.

"Dari segi produk pula, sebelum ini KR1M memang menjual produk yang bermutu, namun jenama yang tertera pada badan produk berkenaan adalah jenama kita sendiri tetapi rakyat merasakan produk yang dijual bermutu rendah.

"Jadi, kita fikirkan untuk menggunakan jenama sebenar produk terbabit tetapi membuat sedikit penambahan iaitu meletakkan logo milik KR1M, yang secara tidak langsung menandakan ia akan dijual pada harga lebih rendah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDKNN, di sini hari ini.

Perhimpunan Bulanan bertema 'Pengorbanan' itu diadakan bersama Sambutan Ulang tahun Bank Rakyat ke-63 kerana bank berkenaan adalah antara agensi di bawah KPDNKK.

Dalam majlis sama, Hamzah menyerahkan sumbangan derma sebanyak RM50,000 kepada warga Rohingya yang dikutip menerusi Tabung Kemanusiaan Rohingya KPDNKK.

Hamzah berkata, beliau tahu ada di antara masyarakat suka melihat program yang dijalankan kerajaan jatuh merudum, tetapi beliau yakin KR1M akan berjaya pada masa akan datang.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan untuk menamatkan kontrak syarikat pengendali KR1M kerana menjual barangan pada harga lebih mahal berbanding pasaran.

Ahmad Zahid berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu antara punca rakyat membenci kerajaan, sedangkan formula KR1M ialah menawarkan mutu produk sama seperti jenama dan kedai lain, tetapi harganya jauh lebih rendah.

Share in: