banner-about_0.jpg

October 6th, 2017

KLANG – Pelaksanaan konsep baharu program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 yang dijangka dilancarkan pertengahan bulan ini mampu membuka peluang kepada lebih banyak pihak untuk terlibat dalam perniagaan kedai barangan berharga rendah itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata menerusi konsep baharu itu, KR1M 2.0 tidak lagi diusahakan secara francais sebaliknya ditawarkan kepada pihak yang berminat untuk membuka outlet sendiri dengan memohon terus kepada kementeriannya.

“Orang kampung pun kita beri peluang buka kedai KR1M 2.0. Maknanya kedai itu mereka punya cuma kita bantu dari segi bekalan barang-barang keperluan seperti minyak masak, beras, gula, tepung dengan harga yang lebih murah dari tempat lain.

“Melalui konsep ini, kita bukan sahaja memberi peluang pada semua orang berniaga tapi turut membantu rakyat membeli barangan pada harga yang rendah malah pengusaha juga dapat beli bekalan juga pada harga rendah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga akan menghapuskan khidmat orang tengah dalam pembekalan barangan keperluan asas kerana pengusaha KR1M 2.0 akan menerima bekalan terus daripada pembekal yang bekerjasama dengan kementeriannya.

Menurut Hamzah, setakat ini pihaknya menerima 200 permohonan untuk membuka KR1M 2.0 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 500 permohonan pada tahun depan, sekali gus memungkinkan kedai barangan keperluan asas pada harga rendah itu diwujudkan di seluruh negara.

Terdahulu, beliau melawat Kilang Tenusu Kumpulan Etika Dairies Sdn Bhd di Taman Perindustrian Meru, di sini dan pada lawatan itu Hamzah menyampaikan lebih 800 karton susu kotak sumbangan syarikat berkenaan kepada 25 koperasi sekolah iaitu 20 dari Selangor dan lima dari Perak.

Beliau berkata sumbangan susu kotak itu merupakan permulaan jalinan kerjasama antara kementeriannya menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan syarikat swasta dalam pembekalan barangan untuk dijual di koperasi-koperasi sekolah.

“Susu kotak yang diberikan kepada sekolah terpilih tu akan dijual di koperasi mereka dan ia sebenarnya lebih kepada memperluas ilmu perniagaan secara praktikal kepada pelajar dan seterusnya memupuk minat mereka menjadi usahawan muda,” katanya.

Hamzah berkata pihaknya juga bercadang memperluas jalinan kerjasama itu ke koperasi sekolah lain di seluruh negara pada masa depan berikutan syarikat berkenaan telah meningkatkan pengeluaran susu kotaknya. – BERNAMA

Share in: