banner-about_0.jpg

April 7th, 2017

MELAKA 6 April – “Saya tidak pernah menganggap kekurangan diri ini sebagai penghalang untuk berjaya menguasai al-Quran seperti orang lain yang normal.”

Demikian prinsip dipegang seorang qari, Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi, 22, yang mewakili Sabah dalam majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1438H/2017M yang diadakan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini malam tadi.

Muhammad Fiqry yang merupakan peserta tunggal kategori orang kurang upaya (OKU) penglihatan bagaimanapun tidak meletakkan dirinya sebagai insan istimewa malah bersaing seperti biasa dengan peserta-peserta normal yang lain.

Dilahirkan di Kapit, Sarawak, beliau mula mendalami ilmu al-Quran sejak berumur tujuh tahun atas minat sendiri semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Princess Elizabeth, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur.

Minatnya dalam bidang taranum membuatkan beliau terus menanam keazaman untuk me­nguasai al-Quran sehingga berjaya walaupun berdepan kesukaran mempelajarinya menggunakan kaedah braille.

“Tidak mudah mempelajari ilmu al-Quran ini dengan kekurangan dimiliki. Saya mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menguasai sepenuhnya ilmu al-Quran, namun dalam masa sama masih belajar bagi memperbaiki kelemahan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Fikry, ibu bapa serta guru merupakan pendorong utama kepada kejayaannya hari ini malah sokongan dan kata-kata semangat daripada mereka yang membuatkan dia tidak berputus asa mendalami ilmu al-Quran.

Sementara itu, seramai tujuh peserta iaitu tiga qari dan empat qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam akhir yang diadakan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, esok.

Mereka ialah qariah Negeri Sembilan, Normalina Alias, Nurul Nadiah Hashim (Johor), Sanayah Janaid (Sabah) dan Noor Sihaiza Chulan (Wilayah Persekutuan).

Qari yang akan memperdengarkan bacaan pula membariskan wakil Kedah, Yusri Abd. Rahim, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi (Kelantan) dan Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad (Wilayah Persekutuan).

Share in: