banner-about_0.jpg

May 12th, 2017

Alor Setar: Pertambahan bilangan majikan khususnya swasta menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) saban tahun sejak dilancarkan 1 Jun 2011 bukti jelas program kebolehpasaran itu mencapai objektifnya membantu graduan menganggur mendapat pekerjaan.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata, jika sebelum ini kebanyakan majikan yang menyertai SL1M adalah syarikat dan agensi kerajaan, kini program itu semakin mendapat pengiktirafan sektor swasta.

Beliau berkata, sehingga Disember 2016, kira-kira 99,000 graduan dibantu mendapatkan pekerjaan menerusi SL1M.

“Saya gembira semakin banyak majikan mengambil bahagian dalam skim ini kerana ia terbukti memberi manfaat kepada peserta yang mencari peluang pekerjaan dan majikan.

“Jadi, kami komited menarik lebih ramai majikan dari seluruh negara mengambil bahagian dalam skim ini bagi membantu lebih ramai graduan menganggur dan belia untuk memasuki pasaran kerja,” katanya ditemui selepas

Majlis Perasmian Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Utara dan Festival Keusahawan Industri Asas Tani 2017 di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunann Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob; Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Fouzi Ali.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah itu menarik 20,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran.

Dr Rahamat Bivi berkata sebanyak 8,000 peluang pekerjaan daripada 60 syarikat ditawarkan menerusi SL1M Zon Utara.

“Program Temuduga Terbuka SL1M zon utara ini istimewa kerana pengunjung turut didedahkan pelbagai peluang perniagaan dalam bidang pertanian menerusi Festival Keusahawan Industri Asas Tani 2017.

“Selain mencari kerja, pengunjung berpeluang mendapat pendapatan sampingan sebagai usahawan tani,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah dalam ucapannya menekankan supaya graduan mencuba pelbagai peluang kerja dan usah terlalu memilih pekerjaan.

Beliau berkata, sikap terlalu memilih pekerjaan hanya merugikan graduan kerana banyak peluang termasuk dalam bidang usahawan tani boleh diterokai.

“Lebih baik cuba pelbagai bidang pekerjaan kerana kita tidak tahu peluang pekerjaan yang ditunggu itu akan tiba sekali lagi atau tidak,” katanya.

Share in: