Wanita Penerima Anugerah Antarabangsa
12 March 2018

photo_2018-03-12_11-11-42.jpg

“Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.”

Dr Shahidah M Shariff membuktikan kemampuannya dalam industri minyak dan gas hingga mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi dunia. 

Ketua Penyelidikan, Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Research Sdn Bhd itu akan ke Amerika Syarikat (AS) bagi menerima anugerah American Chemical Society International Fellow bagi  Bahagian Industri dan Kejuruteraan Kimia.

Pengiktirafan ke atas sumbangannya dalam menerajui pembangunan teknologi penapisan merkuri dalam gas menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama menerima anugerah terbabit serta seorang daripada tiga warga negara luar AS yang pernah menerimanya daripada kumpulan saintifik terbesar dunia itu.

Lebih manis, Dr Shahidah juga bakal dianugerahkan Doctor of Science in Engineering (High Distinction) dari Queens University of Belfast, United Kingdom (UK) dalam tempoh terdekat ini.

Anugerah itu hasil sumbangannya terhadap industri kimia dan penggerak inovasi kejuruteraan kimia dunia.

"Di syarikat ini, kami bekerja bersama lebih 400 penyelidik lain. Kerjasama semua 54,000 kakitangan di seluruh operasi kumpulan turut sama berganding bahu menuju kejayaan.

"Jika dahulu, penyelidikan mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun, kini tempoh itu dapat dipendekkan dengan kerjasama dan interaksi antara penyelidik di sini. Kombinasi semua pekerja dan jurutera dalam lapangan minyak dunia bagi memastikan hasilnya segera disampaikan," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata ini mengakui tempoh 30 tahun berkhidmat di syarikat ini amat mencabar tapi beliau bersyukur memiliki suami yang memahami kerjayanya dalam industri yang didominasi lelaki.

Beliau berkata, wanita yang bekerja di sektor industri berat yang majoritinya adalah lelaki dinasihatkan agar jangan cepat mengalah jika menghadapi sebarang masalah. Sebaliknya, perlu terus mengejar impian menjadi yang terbaik.

"Kita kena yakin tak kira jurutera wanita di pelantar atau yang kerja susah, semua mampu kita lakukan dan tak mustahil kita juga mampu berjaya seperti kaum lelaki.

"Walaupun ada halangan di hadapan atau kita jatuh, segera bangun dan teruskan perjalanan bagi mengatasi halangan," katanya.