Semarakkan Perayaan Dengan Kuih Bulan Halal
28 October 2017

KUCHING, 27 Sept (Bernama) -- Perayaan Kuih Bulan tahun ini membuatkan Noor Asmah Mohamed Mokhtar sibuk lagi, bertungkus lumus dari pagi sejak awal bulan untuk menyiapkan 7,000 tempahan kuih bulan halal.

Kuih bulan ini sinonim dengan sambutan perayaan pertengahan musim luruh masyarakat Cina, namun apa yang menariknya di sini majoriti tempahan yang diterimanya adalah dari kalangan masyarakat Islam, termasuk dari Brunei dan Singapura.

Mengikut kalendar Cina, masyarakat Cina di seluruh dunia menyambut perayaan pertengahan musim luruh atau Perayaan Kuih Bulan ini pada hari ke-15 bulan kelapannya setiap tahun, dan sambutan tahun ini jatuh pada 4 Okt.

Bercakap kepada Bernama, usahawan yang membahasakan diri sebagai Kak Semah ini berkata dia mula membuat dan menerima tempahan kuih bulan pada 2010, setahun selepas memulakan perniagaan kedai rotinya yang beroperasi dari rumah di Kuching.

"Saya dapat resipi kuih bulan daripada arwah ibu mentua saya, seorang mualaf Cina. Penghasilan kuih bulan ini boleh dikatakan bermusim kerana bahan utama iaitu biji teratai hanya diperoleh setahun sekali jadi saya perlu ambil tahu bila sambutan perayaan, sebagai contoh tahun ini (2017) disambut pada 4 Okt tetapi tahun depan akan berubah," katanya.

Bermula dengan hanya menghasilkan kira-kira 300 biji kuih bulan pada 2010, Kak Semah kini boleh berbangga apabila tahun ini beliau menerima kira-kira 7,000 biji tempahan.

"Setiap hari saya boleh hasilkan kira-kira 300 doh serta inti kuih bulan. Penyediaannya tidak boleh tergesa-gesa kerana sebaik sahaja doh disiapkan, ia tidak boleh terus dibakar kerana masih lembik, perlu tunggu sehari untuk pastikan ia sedikit keras bagi proses meletakkan isi (dalam doh)," katanya.

"Hari kedua proses diteruskan dengan membakar doh yang telah disapu dengan kuning telur selama 15 minit pada suhu 180 darjah celsius, kemudian dikeluarkan sebelum disapu dengan kuning telur sekali lagi sebelum dibakar buat kali kedua yang juga mengambil masa 15 minit supaya kuih bulan itu kelihatan berkilat kekuningan," katanya.

Kak Semah berkata selesai proses membakar, kuih bulan perlu 'direhatkan' untuk empat atau lima hari bagi proses 'fermentasi', khusus bagi mengeluarkan minyak untuk menjadikan kuih bulan itu lebih lembut, cantik dan sedap untuk dimakan.

"Pendek kata bagi menghasilkan sebiji kuih bulan yang sesuai dan sedap untuk dimakan, ia mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan," katanya sambil menambah kuih tradisi itu mampu bertahan sehingga empat bulan.

Kak Semah menghasilkan 15 jenis perisa kuih bulan yang dijual pada harga antara RM13 dan RM38 mengikut berat dan jenis, dan antara perisa kuih bulan yang ditawarkannya ialah perisa biji teratai dengan telur masin, biji teratai dengan tausa (kacang hitam), biji teratai dengan pandan, teh hijau dan durian.

Katanya menghasilkan kuih tradisi masyarakat Cina boleh dianggap sebagai 'musim menuai' atau meraih pendapatan lebih kepada perniagaannya, dan hasil tangan ibu kepada tiga cahaya mata ini bukan sahaja dijual di Sarawak malah turut dipasarkan di beberapa negeri di Semenanjung, Wilayah Persekutuan Labuan serta menembusi pasaran Brunei dan Singapura.

"Selain masyarakat muslim yang mencari untuk mencuba kuih bulan ini, saya juga terima tempahan daripada masyarakat bukan Islam serta anggota Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Sarawak" katanya.

Bagi Kak Semah apa yang dilakukannya ketika ini adalah fardu kifayah dalam menyediakan menyediakan pilihan kepada umat Islam yang sebelum ini was-was untuk mencuba kuih bulan. Kuih bulan tidak halal mengandungi minyak haiwan.

Menghampiri kurang seminggu sambutan perayaan, Kak Semah dibantu suaminya Mohd Azaman Abdul Rahman, 50, serta tiga anaknya Adriana Aisya Farhan, 16, Ahmad Rasydan, 14 dan Amanda Rania Zafreen, 11 yang turut giat menyiapkan tempahan selain turut melakukan penghantaran kepada pelanggan.

Di Kuching, Festival Kuih Bulan Antarabudaya Kuching Ke-16 bermula Khamis ini (28 Sept) hingga 4 Okt depan di Lebuh Carpenter sebagai usaha meningkatkan semangat integrasi kaum etnik dan budaya di negeri.

-- BERNAMA