Mahir Berbahasa Tamil
10 January 2018

rubainah tamil copy.jpg

Tindakan Rubainah Saruji, 56, menegur dua pemuda India sewaktu menaiki bas dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur tahun lepas nyata memeranjatkan mereka.

Tidak menyangka wanita Melayu ini memahami percakapan mereka dalam bahasa Tamil, kedua-dua pemuda berkenaan terus terdiam kerana terkejut.

Lebih membanggakan, ibu kepada enam anak ini juga bukan sahaja mampu bertutur dalam bahasa Tamil malah boleh menulis dan membaca bahasa itu.

“Seingat saya semasa umur enam tahun saya sudah boleh faham dan bercakap bahasa Tamil. Nak menulis dan membaca pun boleh tapi tidak semahir dulu kerana sudah lama tidak berlatih.

“Daripada 11 beradik hanya saya dan kakak boleh berbahasa Tamil, sementara yang lainnya faham tapi tidak boleh bertutur bahasa tersebut,” katanya yang pernah tinggal dalam estet berjirankan komuniti India.

Malah, Rubainah juga berbangga dengan kebolehannya itu kerana sangat jarang orang Melayu mampu bertutur dalam bahasa Tamil berbanding bahasa Cina. 

Beliau juga lebih gemar untuk berbahasa Tamil apabila berbual dengan kaum India. 

“Kawan-kawan kata bahasa Tamil saya lebih baik daripada mereka yang kini menggunakan bahasa pasar sedangkan saya masih menggunakan bahasa baku,” jelasnya.

“Walaupun kawan India cakap Melayu, saya akan membalasnya dalam bahasa Tamil kerana sudah terbiasa. Saya juga pandai masak menu kaum India yang rasanya dijamin asli.

“Memang ramai orang Melayu pandai masak kari tapi rasanya tak sama dengan yang asli. Disebabkan saya rajin duduk di rumah jiran dulu, jadi saya belajar dari situ. Selain kari saya boleh masak kuah dal, tosai, payasam dan nasi manis (ponggal),”

Bagi rakannya, U Vimala, 43, Rubainah bagaikan kakaknya sendiri lebih-lebih apabila mereka berkenalan sejak dia berusia 15 tahun lagi. 

“Ibu saya dan Rubainah bekerja di kilang sama jadi bila saya masuk bekerja memang saya sudah kenal dia. Kebanyakan masa saya banyak dihabiskan bersamanya sehinggalah sekarang.

“Bila musim perayaan memang kami akan saling kunjung-mengunjungi. Jika kami berkursus biasanya kami akan duduk sebilik.

Walaupun mereka berlainan agama, ia tak menjadi satu masalah kerana bagi Vimala yang bersekolah dalam aliran kebangsaan sebelum ini, dia memahami tuntutan agama Islam yang memerlukan Rubainah bersembahyang atau berpuasa.