#LensaNegaraku: Shafiq Saleh
4 December 2017

Shafiq Saleh adalah salah seorang kurator untuk akaun Instagram 1Malaysia pada tahun 2016. Tertarik dengan hasil petikan lensanya, Shafiq sekali lagi diundang untuk menjayakan kempen terbaru 1Malaysia, #LensaNegaraku di platform yang sama. 

Bagi Shafiq, peluang untuk meneroka tempat-tempat baharu di dalam negara adalah impiannya sejak menyertai Instagram pada tahun 2010. 

Lalu apabila mendapat peluang untuk menyertai #LensaNegaraku yang dicetuskan hasil perbincangannya bersama Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak bersama rakan-rakan media sosial lain pada Mei lepas, Shafiq tidak melepaskan peluang keemasan itu. Maka, bermulalah kembaranya ke pulau legenda, Langkawi.

“Sepanjang 4 hari ke sana, saya berpeluang meneroka beberapa lokasi menarik seperti Tasik Dayang Bunting, menaiki bot mengelilingi pulau seperti Pulau Tuba dan menikmati makanan tempatan yang sangat enak. 

“Ia sememangnya pengalaman yang menyeronokkan terutamanya di Pantai Cenang kerana suasana dan kemeriahan di sana terutama pada waktu malam." 

Ditemani beberapa kenalan dari ibu negara dan Singapura, Shafiq nyata teruja dengan pengalamannya ke sana kali ini.

“Ini adalah pengalaman pertama saya mengembara bersama rakan saya, Yafiq Yusman dari Singapura. Walaupun telah berkenalan sejak 2011 menerusi Instagram, saya rasakan peluang menyertai #LensaNegaraku ini menjadikan pengalaman ke Langkawi kali ini sebagai perkara yang paling tak dapat saya lupakan. Memang seronok!”

Walaupun terkenal dengan foto beridentitikan kehidupan malam di bandaraya, jalanan dan panorama kota, Shafiq turut berkongsi cabaran yang terpaksa diharungi sepanjang berada di pulau itu kerana cuaca buruk.

“Cabaran yang paling sukar ialah sewaktu menaiki bot semasa hujan di tengah lautan. Memang sangat berdebar. Tapi saya terus kekal tenang dan yakin demi mendapatkan foto-foto yang menarik,”

“Saya secara peribadi sangat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana merealisasikan segala perbincangan yang diadakan di Bangi tempoh hari. Malah, saya tak sabar untuk melakukan lebih banyak kerjasama bersama pihak 1Malaysia,” katanya. 

Jika anda ingin melihat karya-karya Shafiq Saleh menerusi #LensaNegaraku, jangan lupa layari akaun Instagram 1Malaysia di www.instagram.com/1malaysia_official/