#LensaNegaraku: Abeden
13 February 2018

Image 2018-02-07 at 11.52.05.jpeg

“Saya lebih gemar mengambil gambar yang menonjolkan sisi kehidupan. 

“Saya merakam kehidupan, ia termasuk potret mereka yang saya kenali dan tidak kenali, alam sekitar, haiwan dan juga kehidupan bandar. Saya mahu abadikan momen-momen yang tidak akan berulang.”

Bagi Hishamudin Hashim atau lebih mesra dipanggil Abeden, pengalamannya terlibat dalam bidang fotografi pada mulanya hanya suka-suka. 

Abeden yang pernah menjadi kurator Instagram @1malaysia_official pada Julai 2016 memberitahu, dia memilih untuk memberi fokus kepada bidang fotografi selepas timbul minat dan akhirnya menjadi jurugambar sepenuh masa.

“Boleh dikatakan keputusan itu dibuat kerana minat untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencari kepuasan berkarya walaupun hanya menggunakan telefon pintar,” katanya.

Pertemuannya bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas untuk projek #LensaNegaraku telah membawanya ke Taman Negara Mulu, Sarawak. 

“Saya ke Mulu, Sarawak bersama seorang rakan yang dijemput dari Singapura selama 4 hari 3 malam. 

“Memang mencabar sebab dari Lapangan Terbang Miri, kami kemudiannya perlu ke pedalaman. Perjalanan untuk sampai dari satu destinasi ke destinasi lain perlu menaiki mod pengangkutan yang berlainan. 

“Ia semakin mencabar dengan perkhidmatan telefon dan internet yang tak dapat dijangka,” jelas Abeden.

Namun, baginya pengalaman untuk ke Batu Bungan dan bertemu sendiri dengan masyarakat etnik minoriti Penan di sana merupakan satu pengalaman berharga. 

“Saya dapat bertemu dengan masyarakat suku kaum Penan. Kemudian saya sempat juga berjumpa dengan ketua kampung atau lebih dikenali sebagai Tuai Rumah. Mereka masih kekalkan identiti etnik sendiri hingga ke hari ini, memang unik!”

Ikuti perjalanan Abeden ke Taman Negara Mulu yang dikongsikan di #LensaNegaraku, menerusi  www.instagram.com/1malaysia_official.