Karol Krismas
24 December 2017

christmas carol_0.jpg

Setiap kali menjelang Krismas, alunan nyanyian dan muzik karol pasti dapat didengari di kebanyakan rumah, terutama bagi mereka yang meraikan perayaan itu.

Kumpulan nyanyian karol akan melawat dari sebuah rumah ke rumah lain untuk mendendangkan penghuninya dengan lagu-lagu Krismas. Walaupun amalan ini semakin hilang ditelan zaman, namun ia masih bergerak aktif terutamanya di kawasan luar bandar. Atas sebab itu, mereka yang ingin mendapatkan khidmat dendangan kumpulan karol ini perlu membuat tempahan awal.

Bagi kumpulan sepupu dan sahabat dari Kampung Mandap, Kota Belud, Sabah ini, mereka telah mula berlatih mendendangkan lagu karol sejak minggu kedua bulan Disember.

Menurut Felix Ranjos­to Gusting, 31, kumpulannya akan mendendangkan lagu di setiap rumah dengan iringan sebuah gitar dan nyalaan lilin.

Katanya mereka akan bermain lagu Krismas pada setiap petang hingga malam Krismas bagi menghiburkan jiran tetangga.

“Sudah lama kami berkecimpung dalam aktiviti nyanyian karol ini. Kami suka mendendangkan lagu-lagu Krismas kerana setiap tahun inilah masanya untuk rakan-rakan dan ahli keluarga berkumpul beramai-ramai.

Seronok melihat belia kita datang bersama untuk sertai kami,” katanya sambil berharap tradisi ini akan kekal berterusan.

Sementara itu, kumpulan karol Bible Apostolate Sacred Heart yang diketuai Esther George pula sibuk menghiburkan orang ramai di bandar Kota Kinabalu.

Wanita berusia 32 tahun ini berkata, kumpulannya akan menyanyikan lagu karol berdasarkan janji temu dan masa yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Masa telah berubah tapi kami mahu kekalkan tradisi ini. Kami seronok sebab inilah waktunya untuk kami berkumpul dan menyanyi sambil menyebarkan kegembiraan Krismas bersama mereka di luar sana. Malah ia akan menjadi lebih istimewa jika keluarga itu nyanyi bersama-sama kami.

“Semua senyuman dan kegembiraan yang kami bawakan menerusi lagu Krismas sentiasa memberi kenangan manis kepada kami. Saya harap amalan ini takkan lenyap begitu saja,” jelasnya.