banner-CM.jpg

April 30th, 2017

Budaya menikmati secawan kopi di kafe sudah menjadi gaya hidup masyarakat masa kini. Oleh itu, semakin ramai menghargai seni membuat kopi dan bukan setakat rasanya semata-mata. Malah, seni ini kini menjadi sumber pendapatan buat ramai anak muda. 

Melalui kopi, ia mampu membawa individu mengembara seantero dunia dan membina kerjaya sebagai pembancuh kopi profesional dikenali sebagai ‘barista’.

Empat anak muda yang menemui 'cinta' mereka itu di sebuah kafe di Sri Hartamas, berbangga untuk bergelar barista.

Luca Fucile, 22 tahun dan Tafadzwa Shepherd, 28, mengakui kopi menjadi penghubung untuk mereka berkomunikasi dan mendekati budaya serta cara hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

Luca yang berasal dari Itali berkata, kopi ibarat pembakar tenaga sebelum memulakan pekerjaan atau aktiviti harian sesetengah orang.

“Setiap pelanggan yang datang selalunya akan mencari barista yang boleh membuat kopi mengikut citarasa mereka. Jadi secara tak langsung, hubungan mesra antara barista dan pelanggan itu sendiri wujud.”

Melalui kopi, pelanggan dan barista dapat berhubung tanpa mengira latar belakang dan bangsa mereka.

Daripada perbualan yang awalnya berkisar cara-cara membuat kopi, ia bertukar kepada perbualan harian dan akhirnya, mencipta sebuah persahabatan.

Bagi Tafadzwa atau lebih mesra dipanggil Taff dari Botswana, kemesraan rakyat Malaysia memudahkan dirinya untuk bercampur dengan masyarakat tempatan. 

Malah, beliau juga kini tinggal bersama sebuah keluarga angkat berbangsa Melayu yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri. 

“Rakyat Malaysia sangat jujur dan lebih mesra berbanding di tempat asal saya. Kedatangan saya sangat dialu-alukan dan saya dapat rasakan persahabatan bersama pelanggan di kedai ini lebih seperti hubungan keluarga’.

Tak perlu lagi berhibur di kelab atau sebagainya kerana di kedai kopi, kita semua lebih mudah untuk berhubung dengan selamat dan selesa.”

Muhammad Aqil Hakimi Zainal Abidin, 24, graduan muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengakui dirinya ‘terjun’ ke dalam bidang tersebut tanpa sebarang ilmu.

“Saya mula kerja di sini sebagai pelayan biasa tapi satu hari, pengurus kedai meminta pertolongan saya membancuh kopi kerana dia ada hal kecemasan. Dari situ, saya mula minat mempelajari cara-cara membancuh kopi secara profesional”, jelas Aqil.

“Melalui kopi, kita boleh mendekati keperibadian pelanggan. Mereka selesa apabila kita menganggap mereka seperti keluarga dan mereka selesa di sini, seolah-olah berada di rumah.”

Tambahnya lagi, ramai penggemar kopi di Malaysia lebih menggemari jenis kopi Brazil.

Bagi Mohamad Nor Akmal Hakim Mohamad Misron, 27 tahun, minat yang mendalam terhadap kopi membuatkan beliau sanggup melupakan hasratnya untuk menjadi seorang chef kulinari.

Katanya, bergelar seorang barista bukan mudah kerana selain perlu menjaga kualiti setiap kopi disediakan, mereka juga perlu tahu dan mahir mengenai jenis-jenis kopi yang ada.
Ini memudahkan mereka menyediakan kopi diminta pelanggan kerana setiap kopi ada perbezaan dari segi tekstur, rasa, dan baunya.
Pengalaman selama enam tahun bergelar barista membuatkan anak muda ini memenangi dua pertandingan seni kopi iaitu Latte Art Throwdown 2016 dan Barista Guild Asia 2016.

“Anak muda terutamanya Melayu perlu merebut peluang dan ambil risiko mempelajari seni membuat kopi daripada pakar kopi seluruh dunia. Dengan cara itu, kita akan lebih maju dan mampu buktikan Malaysia juga boleh hasilkan rasa kopi setanding negara luar”.

Share in: