Dari Setinggan Ke 'Grand Slam'
15 January 2018

photo_2017-12-28_13-34-24.jpg

13 tahun lalu, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih mesra digelar Qobin pernah menjadi penghuni kawasan setinggan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.

Sekarang, namanya megah di peringkat antarabangsa apabila diiktiraf sebagai penjelajah Grand Slam. Gelaran itu dicapai selepas berjaya melengkapkan 9 ekspedisi wajib iaitu mendaki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua seluruh dunia serta menjelajah ke Kutub Utara dan Kutub Selatan. 

Bagi Qobin, beliau tak pernah menyangka akan memperoleh gelaran berkenaan kerana beliau tidak gemar mendaki gunung mahupun menjelajah. 

“Saya bukan seorang 'kaki’ gunung, tak suka mendaki dan menjelajah sangat, tapi saya suka buat semua benda dan tak mudah kenal erti putus asa," katanya.

Bercakap dalam temubual eksklusif bersama Bernama, Qobin berkata semuanya bermula apabila beliau dan rakan-rakan berjaya menakluki Gunung Everest pada 2004. 

“Memang saya tak rancang semua ni, sebab nak mendaki gunung bukan satu perkara mudah, memerlukan perbelanjaan besar…bila ada rezeki, ada penajaan, saya teruskan," jelasnya.

Selepas berehat selama enam tahun, Qobin mula menakluki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua - Gunung Kilimanjaro, Tanzania di Afrika, Gunung Vinson Massif di Antartika, serta Gunung Mckinley Amerika di Amerika Utara dan Gunung Kosciousko, Australia masing-masing pada 2011.

Beliau akhirnya menawan Gunung Elbrus, Rusia pada 2012 serta Gunung Carstensz Pyramid, Australasia pada 2014.

"Pelbagai cabaran dan dugaan telah saya hadapi…ketika perjalanan pendakian gunung, saya terpaksa berdepan dengan suhu yang terlampau sejuk kadangkala mencecah hingga -20 ke -60, berdepan dengan cuaca tak menentu, ribut salji, berdepan dengan ketinggian… adakalanya tak cukup oksigen, kita akan rasa cepat mengah… tapi Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi semua itu."

Pada usia 36 tahun, anak muda ini juga mencipta sejarah apabila menjadi umat Islam ketiga dan paling muda di dunia serta sebagai rakyat Asia Tenggara kedua yang berjaya menghabiskan penjelajahan itu bersama puluhan penjelajah terawal lain. 

Qobin juga sempat berkongsi kisahnya berski sejauh 111 kilometer semasa di Kutub Selatan dan hampir kehilangan dua jari tangan kirinya. 

"Selepas berjalan lima hingga enam jam pada hari kelima, saya rasa dua jari kiri terlalu kebas dan saya beritahu 'guide' (jurupandu) mengenai jari saya… kemudian dia suruh pasang khemah, berehat dan dia lakukan pemulihan dengan menghangatkan jari saya sebab risau kalau-kalau jari akan menjadi hitam dan bengkak.

"Guide beritahu, saya akan dibawa turun keesokannya… malam tu, saya menangis bukan sebab risau tangan kena gigitan fros, tapi sebab saya fikir bukan mudah nak sampai ke situ (Kutub Selatan), kos mahal dan 13 tahun dah saya lalui, tapi hanya berbaki 16 jam perjalanan, tak dapat nak habiskan, memang rasa sayang," katanya sebelum terpaksa berski lapan jam sehari bagi menghabiskan cabarannya."

Atas kejayaan Qobin itu, beliau akhirnya menjadi warga dunia yang ke-60 berjaya bergelar penjelajah Grand Slam.