Cacat Bukan Halangan Untuk Berkarya
16 December 2017

photo_2017-12-16_20-12-25.jpg

Meskipun dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU), ia tidak mematahkan semangat Aliah Talib, 30, untuk menghasilkan lukisan-lukisan indah dan mengagumkan walaupun hanya menggunakan kaki bagi memegang berus lukisan.

Dilahirkan tanpa kedua belah tangan, bakat semula jadi yang dikurniakan Allah kepada wanita ini sentiasa menarik perhatian orang ramai. Malah sikapnya yang tak mudah berputus asa, positif dan sentiasa ingin meningkatkan kemahirannya membuatkan orang sekelilingnya mudah mendekatinya.

“Saya mula melukis sejak berusia sembilan tahun, tetapi ketika itu cuma pandai melukis potret hitam putih. 

Saya sanggup datang dari Alor Setar, Kedah untuk menunjukkan bakat serta membuka mata orang ramai yang hadir Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017). Walaupun bergelar OKU, kami boleh berdikari untuk mencari rezeki,” katanya.

Malah bagi Aliah, kekurangan dirinya itu tidak membantutkan usahanya untuk berkarya meskipun terpaksa bersaing hebat dengan pelukis normal lain. 

Sebaliknya, dia mencipta identiti sendiri dengan menghasilkan karya bertema batik kontemporari seperti potret, pemandangan atau bahan berkaitan kehidupan terutama yang melibatkan wanita.