Biskut Heong Peah Gunung Rapat
5 February 2018

photo_2018-02-05_15-41-12_0.jpg

Kampung Baru Gunung Rapat begitu sinonim dengan biskut tradisional Cina ‘heong peah’ walaupun manisan ini dikatakan berasal dari Teluk Intan, Perak.

“Menurut cerita orang tua-tua, pembuat biskut heong peah di Gunung Rapat belajar membuatnya dari Teluk Intan.

“Sekarang beberapa keluarga di kampung ini merupakan keturunan kedua pembuat biskut berkenaan,” kata ketua kampung, Tee Seng Har. 

Jelasnya, terdapat lebih 10 kilang heong peah di Kampung Baru Gunung Rapat yang terletak hanya di pinggir bandar Ipoh. 

Ketika ditanya bagaimana kampung ini boleh terkenal dengan heong peah, Tee memberitahu penduduk di sini sangat arif dan pandai menilai rasa biskut tersebut sehingga mereka mampu menyempurnakan rasanya.

“Biskut dengan rasa terbaik perlu dihasilkan segar dari ketuhar,” menurut Tee yang ternyata sangat berbangga dengan populariti kampung itu hasil penjualan biskut heong peah. 

Malah pada awalnya seorang lagi penduduk kampung ini, Yee Hup hanya menjalankan perniagaan menjual heong peah secara kecil-kecilan di kampung itu. 

Namun, kini dia mampu melebarkan sayap perniagaannya termasuk menjual pelbagai biskut tradisi Cina lain yang dieksport ke luar negara. 

Dalam pada itu, kilang kecil yang banyak diusahakan oleh kaum keluarga terus menjadi identiti unik kampung ini.

Teoh Seng Kwok, 49, merupakan generasi kedua pembuat biskut heong peah. Ibunya, Chew Yoke Kim yang berusia 70 tahun pula tetap bertenaga membantu anaknya mewarisi perniagaan keluarga. 

Chew asalnya hanya bekerja di kilang penghasilan biskut heong peah sebelum membuat keputusan untuk membuka perniagaan sendiri. 

Hari ini, Teoh menghasilkan tiga jenis biskut heong peah – termasuk yang berperisa durian. 

“Durian sangat popular pada masa kini dan nampaknya ramai yang boleh menerima perisa baru ini,” katanya yang turut menjual biskut berperisa asli serta kacang bijan. 

Menurut Teoh, untuk menilai kesegaran biskut-biskut ini, ia bergantung kepada kerangupannya. 

Perubahan gaya hidup masyarakat moden hari ini membuatkan Teoh mengurangkan rasa manis biskutnya memandangkan semakin ramai pembeli yang menjaga kesihatan mereka. 

Selain biskut heong peah, semakin banyak peluang perniagaan dilihat wujud di Gunung Rapat untuk menjana pendapatan penduduk tempatan, antaranya dalam sektor pelancongan. 

Sebagai contoh, kawasan Gunung Rapat sangat popular dalam kalangan penggemar makanan dari Ipoh dan luar bandaraya ini. 

Terletak hanya 7 kilometer dari Plaza Tol Simpang Pulai, Gunung Rapat sering menjadi pilihan untuk orang ramai menikmati aneka makanan. 

Malah kedudukan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh yang terletak 2 kilometer dari kampung ini juga banyak membantu menarik pelancong ke sini. 

Kebanyakan kedai kopi di sini juga pasti penuh dengan pengunjung terutama pada waktu sarapan dan tengah hari. Walaupun terpaksa menempuh kesesakan jalan, itu tidak menjadi penghalang untuk mereka tetap berkunjung ke Kampung Baru Gunung Rapat semata-mata bagi merasai sendiri keenakan dim sum, mi dan pau.