ENAM IKON 1MALAYSIA NEGERI PERAK_BM PDF Print E-mail

IPOH 18 Okt. - Sumbangan dan jasa mereka menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini membolehkan enam individu dinobatkan sebagai ikon 1Malaysia negeri Perak.

Anugerah tersebut diumumkan pada pelancaran 1Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Perak di sini malam ini.

Salah seorang penerima tersebut ialah pemenang Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22), Allahyarham Yasmin Ahmad.

Allahyarham Yasmin, 51, dipilih kerana karyanya yang menyuntik elemen masyarakat majmuk di negara ini.

Selain Yasmin, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye turut diberi penghormatan sebagai ikon 1Malaysia.

Lam Thye yang bergiat aktif dalam bidang kemasyarakatan banyak membantu menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja-pekerja di negara ini.

Seorang lagi tokoh yang dipilih sebagai ikon 1Malaysia ialah kartunis tersohor negara, Datuk Mohamad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Sementara itu, seorang doktor daripada masyarakat Orang Asli, Dr. Ayob a/l Bah Loh turut dinobatkan ikon 1Malaysia.

Pengorbanan seorang pembantu peribadi yang sanggup menjaga majikan semasa sakit dan kepimpinan seorang ahli Rukun Tetangga yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan pula membolehkan Abd. Rahim Nor Mohamad dan C. Sarmugam antara anak kelahiran Perak yang dinobatkan sebagai ikon 1Malaysia.

Sumber : Utusan Malaysia