#UndiNegaraku - Undi Dan Sistem Pilihan Raya Malaysia
27 Februari 2018

Undi_thumbnail2.jpg

Adakah anda seorang pengundi berdaftar dan layak untuk mengundi?

Atau adakah anda bakal mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti? Tahukah anda apa tanggungjawab seorang pengundi? 

Selalu dengar mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)? Tahu apa sebenarnya peranan mereka? 

Bagi merungkai segala persoalan ini, Undi Negaraku dihasilkan untuk membantu anda mendapatkan maklumat serta memahami sistem pilihan raya negara. 

Undi Negaraku juga satu bentuk inisiatif bagi membantu pengundi baharu memahami bagaimana proses pilihan raya dijalankan, selain menunjukkan dengan cara mudah dan ringkas bagaimana untuk mengundi dengan betul pada pilihan raya umum akan datang. 

Semua langkah untuk mengundi telah diilustrasikan di laman web undinegaraku.com sebagai rujukan, terutamanya bagi pengundi-pengundi baharu.

Malah, peranan ejen-ejen pilihan raya yang terdiri daripada wakil calon atau parti yang bertanding sepanjang proses persediaan, pengundian dan pengiraan dalam memastikan pilihan raya dijalankan secara adil dan telus, juga diterangkan secara lanjut di laman ini. 

Sebagai rakyat Malaysia, hak mengundi adalah hak kita dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Jadi, jangan lupa laksanakan tanggungjawab kita dalam menentukan masa depan dan hala tuju negara. 

Di laman web undinegaraku.com, anda juga boleh mendapatkan Buku Panduan Mengundi. Ia mengandungi beberapa barangan eksklusif seperti pemegang kunci, pemegang pasport, pelekat kereta, pen dan pemegang kad. Semua ini adalah percuma!

Jika anda seorang pengundi baharu, kit Undi Negaraku ini memang khusus untuk anda!

Daftar di laman web 1Malaysia dan kit akan dihantar terus ke alamat pemohon. Cepat rebut peluang ini kerana stok adalah terhad!