SL1M Sasar Latih 25,000 Graduan
9 Januari 2018

photo_2018-01-09_11-56-44.jpg

Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) menyasarkan untuk membantu 25,000 graduan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor berlainan dan sekaligus mendapat pekerjaan. 

Sejak diperkenalkan pada 2011, sebanyak 140,860 graduan telah mendapat latihan di bawah SL1M.

Menurut Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, pihaknya yakin jumlah graduan yang disasarkan ini akan mendapat latihan secukupnya sebelum diambil bekerja oleh mana-mana majikan menerusi program berkenaan. 

“Melalui SL1M, para graduan tidak hanya berpeluang untuk makan gaji malah mereka turut berpeluang menjalani latihan bagi mencari pengalaman atau belajar cara yang betul bagi menjadi seorang usahawan,” katanya.

Pihak SL1M juga akan menganjurkan Hari Terbuka Temu Duga SL1M yang pertama pada 24 dan 25 Februari ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

“Kami menyasarkan seramai 30,000 individu akan hadir untuk menyertai temu duga. Sesi berkenaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kelulusan pendidikan selain dimuatkan dengan pelbagai aktiviti,” katanya.

Norashikin turut menyeru agar lebih banyak syarikat swasta tampil menyertai SL1M dalam meneruskan program temu duga terbuka seperti mana yang disarankan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak  sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.