Saintis Malaysia Terima Anugerah Antarabangsa
19 March 2018

"Saya kehilangan kata-kata. Saya tidak pernah jangka akan dipilih kerana penerima terdahulu adalah saintis yang sangat terkenal"

Itu luahan Prof Dr Ng Kwan Hoong selepas beliau menjadi saintis pertama dari negara membangun yang menerima Anugerah Marie Sklodowska-Curie.

Anugerah tersebut mengiktiraf saintis yang telah menyumbang kepada pendidikan dan latihan fizik perubatan, pelajar dan kakitangan kesihatan serta kemajuan profesion.

"Ini adalah satu pengalaman yang membuat saya rendah hati untuk disebut di pentas yang sama dengan tokoh yang saya kagumi,” kata Kwan Hoong yang merupakan seorang pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM).

Penyelidikan utama Kwan Hoong adalah dalam bidang pemeriksaan kanser payu dara.

Dia berusaha keras dalam meningkatkan pengesanan kanser pada tahap awal dan bekerjasama dengan rakan-rakan penyelidik di Singapura untuk menggunakan kecerdasan buatan dalam diagnosis bantuan komputer.

Kwan Hoong yang juga tersenarai dalam 50 ahli fizik terbaik oleh Pertubuhan Antarabangsa Fizik Perubatan (IOMP) 
berkata pengiktirafan itu cukup istimewa kerana ia membuktikan saintis dari negara membangun juga boleh menyumbang kepada isu-isu kemanusiaan.

“Anugerah antarabangsa ini cukup bermakna untuk saya kerana bidang ini masih baru di Malaysia,” katanya.

Antara sumbangan besar, Kwan Hoong di peringkat tempatan ialah dengan mewujudkan program pascasiswazah dalam bidang fizik perubatan di UM, dua dekad lalu.

Ia adalah satu-satunya program akademik pascasiswazah di luar United Kingdom dan Ireland yang diiktiraf oleh Institut Fizik dan Kejuruteraan Perubatan UK.