Puan Subaidah Sahib
10 March 2016

"Semasa bermula sebagai seorang pengusaha kantin sekolah, saya tiada pengalaman langsung mengenai dunia perniagaan atau mempunyai sebarang modal. Kebetulan waktu itu ada pengusaha lain ingin menjual perniagaannya. Penuh tekad untuk menceburi bidang ini, saya terus mengambil alih perniagaan sedia ada.

Saya meminjam sebanyak RM10,000 dari Koperasi Serbaguna Guru-Guru Melayu Selangor untuk mula beroperasi. Saya juga meminjam dengan ahli keluarga bagi menampung perniagaan. Pada masa sama, saya bekerja sebagai pembantu am rendah sekolah dengan gaji hanya RM320/bulan.

Seawal jam 3 pagi, saya membeli barangan dapur untuk menyediakan makanan di pasar. Saya akan memastikan persiapan masakan selesai jam 7 pagi sebelum masuk bekerja seperti biasa di sekolah. Namun selepas empat tahun, saya kehilangan tender itu.

Saya tidak berputus asa dan terus mendapat sokongan suami dan ahli keluarga. Saya cuba memohon di beberapa sekolah lain hingga mendapat peluang di Sekolah Kebangsaan AU Keramat, Kuala Lumpur.

Anak-anak yang masih kecil waktu itu menjadi pencetus semangat saya. Mereka amat memahami. Alhamdulillah, penat lelah saya berhasil apabila tiga daripada mereka berjaya ke menara gading hasil perniagaan ini.

Walaupun modal terhad, setiap orang harus berani menyahut cabaran. Peluang rezeki terbuka luas dengan usaha berlipat ganda. Malah, sokongan keluarga menjadi tulang belakang saya. Tanpa mereka, tak mungkin saya berada di sini."

Berkat kegigihan Puan Subaidah Sahib selama 20 tahun, kini beliau mengendalikan makanan di tiga buah sekolah sekitar ibu negara. Setiap hari, beliau mampu menjana pendapatan sekitar RM6,000 sehari dibantu oleh 22 orang pekerja.

Kegigihannya membuktikan setiap perkara boleh dilakukan dengan semangat dan iltizam yang tinggi. Malah sokongan daripada orang sekeliling adalah pencetus semangat kepada setiap kejayaan. Syabas kami ucapkan!