Pesta Emping Imbau Nostalgia
5 Januari 2018

TAMPIN – Sawah bendang yang sudah bertukar menjadi kebun sayur serta ladang tidak mematahkan hasrat penduduk di Kampung Ulu Yuh, di sini, untuk meneruskan tradisi pesta mengemping warisan nenek moyang mereka.

Suasana pesta yang meriah bukan hanya daripada selingan tumbukan lesung, bahkan sesekali jeritan dan latahan penduduk apabila bunyi bertih digoreng semakin bertalu-talu.

Ketua Umno Cawangan Ulu Yuh, Zakaria Sinin berkata, pesta yang sudah masuk tahun kedua penganjurannya itu, berjaya menarik penyertaan lebih 200 penduduk pelbagai peringkat umur sejak diadakan dari jam 2 petang dan tamat pada jam 2 pagi.

Menurutnya, kampung berkenaan sudah lebih 20 tahun tidak memiliki sawah padi sendiri, namun ia bukan alasan untuk penduduk tidak melakukan aktiviti mengemping dan memperkenalkan budaya itu kepada anak cucu.

 

“Adun Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said ada memberitahu sekarang ni musim menuai padi di Londah, Gemas. Jadi kami ambil kesempatan tu dan beli kira-kira empat guni padi, seberat 200 kilogram untuk tujuan mengemping.

“Untuk aktiviti mengemping, kami mula dari petang. Padi dijemur dulu, dimasukkan dalam air untuk buang antahnya.

"Kemudian baru dipilih, direndam dan ditoskan. Yang dah dipilih tu pula akan digoreng tanpa minyak selama 10 minit dan kemudiannya ditumbuk dengan lesung,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena Pesta Mengemping di Balairaya Ulu Yuh, di sini, baru-baru ini.

Bagi Pengerusi JKKK Kampung Ulu Yuh, Md Salleh Abd Rashid, pesta berkenaan sangat istimewa kerana menghidupkan semula tradisi lama yang mana suatu masa dahulu menjadi antara acara bagi mengeratkan hubungan masyarakat.

“Malah kita dapat tunjuk pada generasi muda seperti kanak-kanak yang sekarang ini ada yang tak kenal padi, apatah lagi emping ni makanan tradisi yang rangup, lemak manis serta sedap untuk dinikmati.

“Jadi dalam program seperti ini kita dapat kenalkan mereka dengan padi serta peralatan yang diguna pakai bagi memproses emping," katanya.

Imbau kenangan lama

Bagi seorang penduduk, Abdullah Ali, 71, walaupun sudah uzur, dia tetap bersemangat menyertai program mengemping berkenaan selama dua tahun berturut-turut.

Menurutnya, semasa menumbuk lesung bagi menghasilkan emping, dia turut mengimbau kenangan lama iaitu sewaktu zaman bujangnya yang melakukan aktiviti berkenaan bersama sanak-saudara serta jiran tetangga.

“Dulu mengemping ni dibuat di rumah yang ada sawah padi. Bila dah musim menuai, waktu lepas Isyak tu semua akan mengemping. Jadi meriah dan seronok rasanya.

“Malah malam ni pun saya rasa seronok dan sihat pula kerana memang saya dulu minat sangat dengan sawah padi dan proses mengemping. Dulu-dulu semuanya guna tenaga sendiri untuk usahakan sawah, tak seperti sekarang ini.

“Saya harap agar pesta mengemping ini bukan hanya dapat diadakan di sini saja, bahkan di tempat lain agar generasi kini berpeluang melihat warisan tradisi masyarakat dahulu," katanya.

Turut hadir memeriahkan sambutan pesta ialah Abd Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu serta Adun Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.